
Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor Prof Emeritus Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dipilih sebagai Ahli Dewan Negara untuk Selangor bagi tempoh tiga tahun.
Turut dipilih bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai Tiew Way Keng yang juga Setiausaha DAP Selangor. Pemilihan itu diumumkan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San.

Terdahulu, cadangan pemilihan kedua-dua Ahli Dewan Negara itu dicadangkan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizan Zamanhuri dan EXCO Pelaburan Ng Sze Han sebelum dipersetujui blok kerajaan.
DNS turut meluluskan tiga usul di Bawah Peraturan Tetap 76(5) berhubung isu banjir di Selangor yang dibawa Michelle Ng Mei Sze selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur Dan Mobiliti (JPK – Infragro).

Sidang dewan turut meluluskan usul berkaitan pelaksanaan program Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dan hala tuju masa hadapan yang dibawa wakil rakyat Dusun Tua Datuk Wira Johan Abd Aziz.
Turut diluluskan usul penambahbaikan peranan Koridor Utiliti Selangor (Kusel) yang dibentang ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad.-SelangorKini