Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menerima bayaran untuk membuat persembahan sempena program sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa lalu.
Penyanyi tersohor negara itu tampil memberi penjelasan menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, menyatakan bahawa beliau hadir ke majlis tersebut sebagai tetamu dan tidak menerima sebarang imbuhan atas persembahan yang dibuat.
“Saya diundang sebagai tetamu, saya hadir dan datang menyantuni majlis. Saya dengan rela hati membuat persembahan – saya tidak diundang atas kapasiti artis yang membuat persembahan,” jelasnya.
Siti Nurhaliza atau mesra disapa Tokti turut menegaskan bahawa tindakan mengaitkan KKM dengan dakwaan tidak berasas ini adalah satu bentuk fitnah yang memberi kesan buruk kepada banyak pihak.
“Kepada semua yang menyampaikan hal palsu ini – baik media, individu mahupun netizen – saya berharap agar anda sedar akan implikasi fitnah kepada seseorang dan kepada institusi yang dikaitkan secara tidak adil,” katanya.
Beliau menzahirkan rasa kecewa apabila namanya dijadikan mangsa tohmahan dan digunakan sebagai alasan untuk menyerang pihak lain termasuk KKM yang menjalankan program sempena perayaan itu.
“Jika anda mahu menzahirkan rasa tidak puas hati atau mengkritik mana-mana jabatan atau agensi, lakukan dengan berhemah dan berlandaskan fakta. Jangan sesekali kaitkan atau cipta naratif palsu yang akhirnya menimbulkan fitnah kepada individu lain,” katanya lagi.

Tokti turut menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat di media sosial dan menasihatkan supaya memastikan kesahihan sesuatu perkara sebelum menularkannya.
“Fitnah, komen, petikan nama, gambar dan ulasan tidak benar memberi implikasi yang sangat tidak baik, sedangkan saya hadir seikhlas hati untuk menghiburkan tanpa sebarang bayaran,” tambahnya.
Dalam suasana Hari Raya yang sepatutnya diisi dengan kebaikan dan kasih sayang, Siti Nurhaliza berharap semua pihak dapat lebih beretika dan bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta menjaga maruah insan lain.