
Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi disertai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, akan bertemu Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia bagi mencari penyelesaian tindakan penguatkuasaan yang disifatkan terlalu tegas terhadap nelayan negara ini yang didapati berada dalam perairan Indonesia.
Pertemuan itu bagi memperhalusi bentuk penguatkuasaan kepada nelayan, terutamanya membabitkan tindakan sitaan atau rampasan peralatan.
“Saya dengan Menteri KPKM akan ke Indonesia dan selesaikan masalah ini dengan negara berkenaan,” kata Dr. Ahmad Zahid kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Nelayan Zon Pantai Barat di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak; dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.
“Insya-Allah, kami yakin Datuk Seri Mohamad Sabu yang lebih berpengalaman, akan berjumpa dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia untuk menyelesaikan masalah ini, dan saya akan bantu,” katanya lagi.

Difahamkan, pencerobohan nelayan asing secara berterusan, menggugat periuk nasi nelayan tempatan apabila setiap tahun lebih 150 hingga 200 bot nelayan asing dikesan menceroboh perairan Malaysia dengan menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dianggarkan lebih RM6 bilion hasil laut Malaysia dicuri oleh nelayan asing setiap tahun.
Hal berkenaan juga terkait dengan isu keselamatan apabila terdapat nelayan tempatan semakin bimbang dengan laporan bahawa kumpulan jenayah bersenjata dari negara luar menggunakan kapal nelayan sebagai penyamaran untuk aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Bulan lalu, media tempatan melaporkan APMM negeri Perak menerima lapan aduan berkaitan vesel atau bot nelayan tempatan yang ditahan penguat kuasa Indonesia bagi tempoh Januari 2023 hingga bulan lalu, dengan terdapat enam kes dicatatkan pada tahun 2024 yang membabitkan penahanan pihak berkuasa Indonesia ke atas bot berasal dari Hutan Melintang. –Berita Harian