SelangorToday

TPM ZAHID ARAH SEMUA PEMEGANG TARUH LAKSANA PROJEK PEMBANGUNAN DENGAN SEMPURNA

Setiap pemegang taruh dalam ekosistem pembangunan luar bandar perlu memastikan program atau projek pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat disempurnakan sebaiknya bagi membolehkan rakyat menerima manfaat dengan segera.

Perkara itu ditekankan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Bilangan 1 Tahun 2024.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi tahun ini, kementerian itu telah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM7.44 bilion yang melibatkan 1,763 program atau projek.

“Alhamdulillah prestasi kementerian menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

“Namun, saya tekankan di dalam mesyuarat tadi ialah prestasi perbelanjaan tidak boleh dijadikan kayu pengukur semata-mata, tetapi yang lebih penting projek dan program dilaksanakan dapat dirasai dan dimanfaati oleh rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook.

Mengenai mesyuarat berkenaan, Ahmad Zahid berkata, ia bertujuan memperhalusi Prestasi Pelaksanaan Projek Pembangunan KKDW sepanjang tahun ini.

“Saya percaya mesyuarat ini adalah platform yang penting dalam memastikan perancangan, strategi dan pelaksanaan program atau projek kementerian dapat berjalan lancar.

“Dengan kehadiran wakil-wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta wakil-wakil kementerian dan agensi yang berkaitan, saya yakin dapat memastikan urusan pembangunan desa dapat diuruskan dengan sempurna,” katanya. – Sinar Harian

Exit mobile version