SelangorToday

TUJUH BLOK TERMASUK BANGUNAN UTAMA UNISEL SHAH ALAM DIJENAMA SEMULA

Tujuh blok termasuk bangunan utama Universiti Selangor (Unisel) Kampus Shah Alam di sini dijenamakan semula dengan nama baharu.

Bangunan utama yang menempatkan pengurusan pentadbiran dijenamakan sebagai Berlian berbanding nama asal Satelit dan dirasmikan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi.

Manakala blok-blok yang menempatkan kelas pembelajaran yang sebelum ini dikenali A,B,C,X,Y,Z dinamakan sebagai Delima, Nilam, Kristal, Mutiara, Zamrud dan Platinium.

Najwan berkata pertukaran itu secara tidak langsung memberi semangat baharu kepada kakitangan dan pelajar institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan sejak 1999.

“Tukar nama ini ada aura baharu, nama ini bukan perkara remeh kalau kita hendak namakan anak pun kita akan berikan nama yang terbaik. Kita rujuk orang agama, alim.

“Nama ini penting, macam di sini kalau kita sebut blok sahaja macam tiada jiwa sekadar satu abjad. Kalau ada nama ini lebih cantik,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Unisel mempunyai beberapa fasiliti di dua kampusnya iaitu Bestari Jaya yang menempatkan kemudahan kejuruteraan, pendidikan, sains komputer dan bioteknologi.

Sementara kampus Shah Alam pula menempatkan pemilihan, sains kesihatan, seni industri dan reka bentuk, dan fakulti perniagaan.

Exit mobile version