Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menyanggah dakwaan yang dibuat oleh Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa kemenangan PN di dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram mampu mengubah Kerajaan Persekutuan. Kata Hj Azli, dakwaan ini semata-mata disampaikan kepada pengundi PRK sebagai harapan palsu bagi memastikan PN mendapat sokongan yang tinggi dikalangan pengundi. Dengan andaian, PN mampu merampas kedua-dua kerusi tersebut hanya dengan memainkan propaganda tersebut.
Hakikatnya Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu berkata, sama ada PN kalah atau menang di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram tidak akan mengubah parti pemerintah di peringkat persekutuan termasuk kerajaan Negeri Johor. Hal ini kerana, Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim telah pun mendapat sokongan majoriti 2/3 di Parlimen merangkumi 148 kerusi. Jika keputusan Parlimen Pulai menyebelahi PN sekali pun, PN tetap gagal untuk membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan.
Hj Azli turut menambah, dengan dendangan harapan palsu oleh PN, ia mampu menimbulkan kegusaran dan ketidaktentuan pelaburan memandangkan kejadian tukar kerajaan di pertengahan penggal pernah berlaku. Jelasnya, PAS sanggup menimbulkan sentimen keresahan ini demi mendapat kemenangan di dalam PRK, sedangkan dapat menambah 1 kerusi parlimen, ia hanya menjadi PN kekal sebagai pembangkang di Parlimen. Sepatutnya, PN memainkan peranannya sebagai pembangkang yang berwibawa dan bukannya sebagai kelompok yang mahu mengganggu gugat kestabilan politik negara. – Selangor Today