SelangorToday

TUN DAIM DAN ANWAR IBRAHIM, APA KISAHNYA?

Apabila SPRM menyita Menara Ilham kepunyaan tokoh korporat dan bekas Menteri Kanan, Tun Daim Zainuddin baru-baru ini, suasana politik kembali hangat diperkatakan, memandangkan khabar angin yang mendakwa tindakan SPRM itu adalah kehendak dan kemahuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Namun Perdana Menteri ke-10 itu telah menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan kebebasan kepada SPRM selaku badan pencegah amalan rasuah di Malaysia mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja termasuk orang berpangkat tinggi jika bukti dan faktanya jelas dan mencukupi.

Hampir seminggu bangunan yang menempatkan pejabat, hotel dan beberapa premis lain itu disita, Tun Daim mempertahankan kedudukan beliau dengan mendakwa bahawa tindakan SPRM itu ada kaitan dengan serangan politik Pengerusi HARAPAN itu kepadanya. Apakah yang dimaksudkan oleh Tun Daim? Benarkah ada isu antara Tun Daim dan Anwar Ibrahim? Jika benar, apakah isu tersebut?

Dalam lipatan sejarah, Tun Daim dan Anwar merupakan orang kepercayaan Tun Mahathir Mohamad selain Almarhum Sanusi Junid. Mereka bertiga merupakan tokoh politik naungan Tun Mahathir dalam UMNO dan kerajaan Malaysia era 80an dan 90an. Sebelum Anwar diamanahkan sebagai Menteri Kewangan, jawatan itu disandang oleh Tun Daim setelah Tun Mahathir menukar Tengku Razaleigh Hamzah dari Kementerian Kewangan kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Tun Daim juga mengambil alih tugas Bendahari UMNO sehinggalah pucuk pimpinan UMNO beralih daripada Tun Mahathir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sebelum Tun Daim diserap masuk ke dalam UMNO pun, Tun Daim telah menjadi tokoh korporat yang berjaya serta pengamal undang-undang terlatih.  Keberadaan Tun Daim dalam kerajaan dianggap sebagai pelantikan seorang petugas yang membawa misi memperkasakan agenda ekonomi yang diidamkan oleh Tun Mahathir.

Tetapi itu mungkin peranan awal Tun Daim sahaja, hal ini kerana Tun Mahahthir ketika itu cenderung untuk menempatkan Anwar sebagai Menteri Kewangan apabila Anwar sudah cukup berpengalaman memandangkan sejak Anwar menyertai UMNO sehingga mendapat kedudukan sebagai Menteri paling berkuasa itu hanyalah dalam tempoh 8 tahun sahaja. Dalam tempoh yang singkat, Anwar dilihat tokoh yang telah disediakan oleh Tun Mahathir untuk menggantikannnya.

Apabila Anwar menjawat jawatan itu, Tun Daim berehat daripada kabinet. Hari demi hari, ruang dan peluang yang diberikan oleh Tun Mahathir dikatakan menyebabkan Tun Daim jauh hati dengan Tun Mahathir selain Sanusi Junid juga dihantar menjadi Menteri Besar Kedah setelah proksi Anwar berjaya menamatkan kerjaya Sanusi di Pusat. Seolah-olah Anwar kini telah berjaya mendapatkan sepenuhnya kepercayaan Tun Mahathir.

Dalam buku tulisan-tulisan penulis politik era 90an, pertembungan antara Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir juga ada terkait dengan Tun Daim. Kata penulis buku ‘Krisis Anwar – Mahathir’, Allahyarham Ahmad Lutfi Othman, hubungan Anwar dan Tun Daim mula renggang sejak 1994. Sedangkan sebelum itu, Tun Daim merupakan rakan yang mesra dengan Anwar memandangkan mereka berdua selain Sanusi dalam kem  yang sama mempertahankan dan mengukuhkan kedudukan Tun Mahathir. Malah kata penulis, Tun Daim lah yang mencadangkan jawatan menteri Kewangan beliau diserahkan kepada Anwar.  

Sebaliknya beberapa sebab yang boleh dijadikan asas mengapa tiba-tiba Tun Daim dan Anwar mula merenggang, pastinya salah satu disebabkan oleh keputusan-keputusan yang dibuat oleh Anwar dalam Kementerian Kewangan tidak dipersetujui atau tidak disukai oleh Tun Daim. Boleh disimpulkan juga, ketidakpuasan hati Tun Mahathir terhadap tindakan Anwar mengheret Tun Daim sama, memandangkan ideologi ekonomi Tun Mahathir dan Tun Daim adalah sama.

Apabila Anwar diberi tiga bulan memangku jawatan Perdana Menteri, beberapa tindakan Anwar tidak disukai oleh Tun Mahathir menyebabkan kemuncaknya pada tahun 1998, Tun Mahathir membawa Tun Daim ke dalam kabinet sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dan Pengarah Majlis Tindakan Ekonomi Negara(MTEN). Umum melihat pelantikan Tun Daim itu untuk mengikat semula kuasa yang telah diberikan kepada Anwar sebelum ini bagi membolehkan keputusan Anwar yang tidak disukai Tun Mahathir dan Tun Daim dihentikan.

Setelah dipecat oleh UMNO dan Kerajaan, Anwar sebagai pejuang reformasi di kedudukan oposisi sering mengaitkan Tun Daim antara konspirator yang menjatuhkan Anwar. Malah Anwar dalam beberapa siri ceramah Pilihan Raya berikrar untuk menghentikan amalan yang didakwa Anwar sebagai memunggah kekayaan negara oleh beberapa pembesar negara termasuk Tun Daim.

Paling menjadi pengetahuan umum apabila nama Tun Daim tersenarai sebagai antara politikus yang dalam kertas pandora. Kertas tersebut adalah laporan yang mendedahkan senarai urus niaga membabitkan tokoh politik, ahli perniagaan dan selebriti yang membuka akaun di pusat kewangan luar pesisir di serata dunia.

Apakah krisis antara Anwar dan Tun Daim-Tun Mahathir satu ketika dahulu merupakan serangan politik hari ini seperti yang didakwa oleh Tun Daim, atau terdapatnya isu lain yang tidak diketahui umum menjadi motivasi kepada Anwar untuk mengganggu-gugat kedudukan tokoh kewangan terkemuka itu. Sebaliknya jika benar, Anwar membuat serangan politik terhadap Tun Daim dan Tun Mahathir atas skandal yang diketahui umum, adakah tindakan tersebut salah dan tidak bermoral?

Exit mobile version