Khamis yang lalu, melalui pengikut-pengikut Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumpul sebilangan figura-figura yang prihatin kepada maslahat melayu Islam. Figura yang hadir bukan sahaja dikalangan orang biasa-biasa yang risau akan masa depan orang melayu, namun ia turut dihadiri oleh bekas menteri kabinet, pemimpin politik daripada parti melayu Islam dan agamawan.
Perjumpaan tersebut dilihat serius dan permulaan ke arah menyuarakan pendapat tentang melayu Islam dalam era Kerajaan Malaysia MADANI. Melalui ucapan sebilangan mereka yang hadir, perjumpaan tersebut sebagai titik tolak kepada perjuangan mereka secara bersama untuk memperjuangkan perihal melayu Islam. Gambarannya kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang mendapat pengiktirafan sebagai 100 orang muslim berpengaruh di dunia itu tidak membela melayu Islam serta melayu mula terpinggir.
Komitmen ini sangatlah berguna dan baik, tambahan pula dalam keadaan hari ini, melayu menguasai 97% daripada keseluruhan penagih dadah yang ada di Malaysia. Malah golongan melayulah yang paling ramai terpengaruh dengan sentimen abaikan pelajaran untuk menjadi pempengaruh media sosial.
Jelaslah situasi diatas menggambarkan perlunya usaha ke arah memperkemaskan struktur sosial, ekonomi dan politik orang melayu agar melayu tidak terus terkebelakang. Namun apakah langkah Tun adalah tepat dalam keadaan sekarang? Mengapakah kini baru Tun mahu memperjuangkan isu melayu? Apakah yang dijemput dalam perjumpaan Tun itu merangkumi semua aspek penting masyarakat melayu?
Dapat dihidu bahawa Tun akan menggunakan elemen atau perjuangan melayu Islam apabila Tun mahu mendapatkan kuasa. Kenyataan ini boleh dibuktikan dengan usaha Tun disaat Tun mengasak Tunku Abdul Rahman untuk turun sebagai Perdana Menteri sekitar tahun 60an.
Tun telah menulis satu surat penting kepada Tunku terkait dakwaan Tunku gagal mengimbangkan kuasa politiknya untuk orang cina dan melayu. Ibaratnya Tun menyalahkan gaya kepimpinan Tunku yang didakwa melebihkan orang cina berbanding orang melayu yang mengakibatkan Tun sendiri kalah di Parlimen Kota Setar ditangan Hj Yusof Rawa(bapa Dr. Mujahid-Timbalan Presiden AMANAH) pada tahun 1969.
Surat yang mengkritik kepimpinan Tunku itu memaparkan nilai ultra melayu yang dibawakan oleh Tun Mahathir. Surat itu tersebar ke seluruh masyarakat atas inisiatif pihak yang tidak diketahui. Kesannya imej Tunku di mata orang melayu semakin buruk, malah surat itu berjaya merobek ketenangan Tunku dalam mengemudi Malaysia sehingga melepaskan jawatan Perdana Menteri pada tahun 1970.
Walaupun sebelum itu, Tun dipecat dalam UMNO, namun Tun berjaya kembali kepada UMNO setelah beberapa tahun Tun Abdul Razak memikul tugas negara. Atas nilai ultra melayu itu, Datuk Harun Idris yang merasakan Tun sejiwa dengannya membawa Tun kembali pada UMNO.
Nilai ultra melayu yang ada pada Tun ketika itu berjaya untuk menurunkan Tunku sebagai Perdana Menteri, membentuk imej pemimpin melayu masa depan tehadapnya serta menjadi pendorong kuat ahli UMNO mengangkat beliau ke puncak kuasa selepas itu.
Ironinya,apabila Tun menjadi PM, nilai ultra melayu yang sebelum ini tidak diterjemahkan dalam kepimpinannya. Malah beliau memimpin negara dalam amalan yang lebih terbuka dan tidak menumpukan kepada satu-satu kaum sahaja. Tun tetap bekerjasama dengan kaum cina dari segi perniagaan, ekonomi dan politik. Dengan dasar penswastaan yang Tun gagaskan, kaum cina tetap menerima limpahan manfaatnya disamping sebilangan melayu kecil yang menerima untung.
Mengapa ketika Tun menjadi PM, Tun turut bersikap terbuka sama seperti apa yang Tun kritik terhadap Tunku? Apakah sebab Tun tidak bersikap ultra melayu dalam kepimpinan Tun? Semuanya kerana Tun sedar bahawa mengemudi Malaysia mestilah dalam keadaan berimbang antara semua kaum. Masyarakat majmuk yang telah dibentuk ketika zaman kolonial memerlukan pemimpin yang neutral kepada semua pihak. Cuma Tun menggunakan nilai ultra melayu untuk mendaki puncak kuasa sahaja.
Sementara itu, ketika momentum politik Malaysia berkecamuk akibat tangan Tun sendiri yang melucut, memecat dan menyingkirkan bekas anak emasnya Anwar Ibrahim daripada kerajaan, UMNO dan Barisan Nasional, Tun terpaksa menerima tempias penurunan sokongan orang melayu kepadanya.
Kebijakan Almarhum Ustaz Fadzil Noor menggembleng usaha membela Anwar berjaya mengotorkan imej Tun sebagai negawaran ulung. Justeru kesepakatan PAS, DAP, PRM dan PKN(KEADILAN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1999 berjaya meruntuhkan legasi melayu yang sebelum ini menyebelahi BN. Jika dibiarkan lebih lama, keserasian antara parti dalam gabungan Barisan Alternatif itu akan lebih erat dan tidak mustahil ketika itu BA berjaya mengalahkan BN.
Ketika itulah cerita-cerita tentang perpaduan melayu antara UMNO dan PAS mula tersebar. Kata-kata angin yang bertiup sepui-sepui bahasa, UMNO dan PAS perlu duduk semeja dalam membincangkan soal masa depan melayu yang dikatakan kelam dan terkebelakang.
Menariknya mengapa cerita ini muncul ketika Tun telah mengemudi UMNO bagi tahun yang ke-20. Adakah sebelum itu, persaingan UMNO-PAS membawa banyak manfaat untuk orang melayu? Bukankah Tun yang telah menjadikan melayu berbilang-bilang kelompok dengan pengharaman UMNO sehingga tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46?
Perpaduan melayu digunakan ketika PAS semakin serasi bersama BA dan sokongan orang melayu kepada UMNO semakin merosot. Usaha itu dikatakan sebagai langkah bagi melunturkan semula sokongan orang melayu kepada PAS(sebagai tonggak BA) dan melambatkan momentum BA menumbangkan BN.
Namun pertemuan secara rasmi atas nama melayu Islam antara UMNO dan PAS tidak berjaya diadakan, sebaliknya Ustaz Fadzil dan Hj Hadi bersedia bersama Tun dan Tun Abdullah diatas satu pentas atas nama perjuangan kepada pembebasan Palestin sahaja.
Al-kisahnya, kedua-dua peristiwa yang dibangkitkan diatas membantu kita menilai sejauh mana sebenarnya Tun membela dan memperjuangkan isu melayu Islam. Selama 22 tahun ditambah dengan 22 bulan menjadi PM ke-4 dan ke 7, suatu tempoh yang sangat lumayan buat Tun memperkukuh dan membangunkan kelompok melayu Islam. Jika melayu Islam hari ini lemah dan terpinggir, Tun juga ada saham atas penglibatannya selama 23 tahun 10 bulan sebagai PM Malaysia.
Sebaliknya mengapa hari ini disaat semua sedar akan seteru utama Tun iaitu Anwar menjadi PM, sentimen perjuangan melayu Islam mula dimainkan semula. Apakah ia usaha yang sama sedang dilakukan seperti mana Tun melakukanya kepada Tunku, atau Tun sedang mengepong sokongan PAS agar tidak beralih kepada Anwar yang akan mengukuhkan kerajaan MADANI jika PAS bersama Anwar?