 
                SANDAKAN, 13 Ogos – Dalam kesibukan jadual lawatan kerja di beberapa fasiliti kesihatan di Sandakan dan Kinabatangan semalam, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad memilih untuk meluangkan masa menyampaikan sendiri surat lantikan tetap kepada dua doktor muda, sebagai simbol komitmen Kementerian Kesihatan memperkukuh perkhidmatan di pedalaman Sabah.
Dua pegawai perubatan itu ialah Dr Zulika Farina Zainon, anak jati Sandakan dan graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kini berkhidmat di Klinik Desa Karamunting, serta Dr Muhammad Izrin Syukri Mohd Nasri, anak kelahiran Puchong dan graduan National University of Ireland yang bertugas di Hospital Kinabatangan.

Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada 307 Pegawai Perubatan Tetap di bawah e-Placement Fasa 1, langkah strategik bagi mengatasi masalah agihan tidak seimbang pegawai perubatan di Sabah.
“Kehadiran mereka bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan, tetapi memperkukuh benteng hadapan sistem kesihatan agar rakyat di pedalaman tidak lagi terpaksa menempuh perjalanan berjam-jam untuk mendapatkan rawatan,” tegas Dr Dzulkefly.

Beliau turut memuji iltizam dan pengorbanan kedua-dua pegawai muda tersebut, menyifatkan semangat mereka sebagai inspirasi buat generasi doktor yang bakal menyusul.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            