 
                SHAH ALAM, 1 Ogos — Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Ir. Izham Hashim menempelak dakwaan pembangkang berhubung kenaikan harga barang keperluan asas yang disifatkan tidak tepat dan tidak berasaskan fakta.
Menurut beliau, kenyataan yang dibuat sesetengah pemimpin pembangkang seolah-olah tidak berpijak pada realiti semasa kerana harga beberapa barangan asas seperti ayam, telur dan beras sebenarnya telah menunjukkan penurunan ketara hasil langkah proaktif kerajaan negeri dan persekutuan.
“Pimpinan besar ni, mereka boleh cakap ayam naik, telur ayam naik. Tapi mereka turun ke pasar tak? Harga ayam sekarang dah turun. Dulu kita jual seekor RM10, sekarang dah RM8. Telur ayam papan gred B dulu RM10, sekarang kita turunkan jadi RM8,” jelasnya dalam satu ucapan.
Ir. Izham juga menegaskan bahawa kerajaan sentiasa peka dan sensitif terhadap kenaikan harga barang serta mengambil langkah segera untuk membantu rakyat. Beliau turut menyatakan bahawa harga beras 5kg yang sebelum ini dijual pada harga kawalan RM13 kini boleh didapati pada harga RM10, hasil daripada lambakan stok di pasaran.

Beliau menasihatkan pemimpin politik agar turun padang melihat sendiri situasi sebenar di pasar dan tidak membuat kenyataan tanpa asas yang kukuh.
“Kalau boleh, nasihat saya, pemimpin hari ini turunlah ke pasar. Tengok sendiri, harga barang memang dah turun. Kita bukan nak buat kenyataan kosong. Kena tepat dan berdasarkan fakta,” katanya lagi.
Ir. Izham turut memuji pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi ruang luas untuk perbahasan dan kritikan, namun menggesa agar ruang tersebut dimanfaatkan dengan menyampaikan pandangan yang membina serta berlandaskan kebenaran.
“Saya puji Datuk Seri Anwar yang beri ruang, tapi gunalah ruang itu untuk bawa idea yang bagus dan fakta dalam perbahasan. Barulah betul,” tegas beliau.
Ucapan beliau mendapat perhatian ramai yang turut bersetuju bahawa sebahagian besar kenyataan pembangkang mengenai isu harga barang tidak selari dengan keadaan sebenar di lapangan.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            