 
                Beberapa minggu ini Parti AMANAH Negara sibuk meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke 10. Parti yang diambil alih secara sulit daripada Parti Pekerja-Pekerja Malaysia itu secara rasminya dinamakan sebagai Parti Amanah Negara atau AMANAH pada 16 September 2015.
Walapun parti ini dilihat kecil, muda dan sederhana, namun semasa penubuhannya dahulu Parti AMANAH berjaya meneruskan momentum rakyat untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional satu ketika dahulu sebelum ia diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Parti Peribumi Bersatu Malaysia(PPBM) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ramai penganalisis melihat kewujudan AMANAH memberi makna yang mendalam kepada penubuhan Pakatan Harapan serta pemobilisasian rakyat untuk berada dibawah payung pembangkang. Mohamad Sabu dan Ustaz Ahmad Awang misalnya antara pimpinan dari AMANAH yang mampu meyakinkan sokongan muslim demokrat yang ada di Malaysia khususnya di kawasan bandar dan separa bandar. Manakala tokoh-tokoh pimpinan PAS yang menyertai AMANAH seperti Salahuddin Ayub, Dr Mujahid Yusof Rawa, Husam Musa, Mahfuz Omar, Dr Siti Mariah Mahmud, Ir. Izham Hashim dan lain-lain telah menjadi pemangkin kepada golongan profesional yang berjiwa keislaman untuk menyokong PH.

Namun dalam usia yang menjangkau satu dekad ini, masih ramai yang tidak mengerti tujuan sebenar atau asas utama mengapa AMANAH ditubuhkan. Ia bukan sahaja berlegar dikalangan pesaing AMANAH yang mahu memperlekehkan AMANAH dengan meletakkan tujuan AMANAH ditubuhkan hanya semata-mata mahu menjadikan Mohamad Sabu sebagai Presiden Parti dan seorang menteri sahaja, tetapi turut mengaburi minda masyarakat awam yang tidak mengambil maklum atau sedar pun akan latar peristiwa dalam PAS hingga AMANAH tertubuh.

Memang benar AMANAH ditubuhkan selepas setandan pimpinan PAS tewas dalam pemilihan parti di Kuala Selangor pada tahun 2015. Memang tepat apabila dikatakan bahawa AMANAH ditubuhkan oleh bekas pimpinan yang kecewa dengan keputusan pemilihan parti yang berlangsung secara terancang itu.
Mereka yang tewas dan menubuhkan AMANAH itu bukanlah budak mentah dalam PAS, bukan tokoh yang baru sehari dua masuk PAS dan diangkat sebagai pemimpin, tetapi mereka merupakan ahli PAS yang telah menyertai parti tersebut berpuluh-puluh tahun yang lalu. Ada dikalangan mereka yang pernah ditahan dibawah ISA atas nama PAS. Dikalangan mereka mula bertapak dari bawah sehingga mendapat tempat dalam pucuk pimpinan PAS. Pastinya mereka merasa terkilan apabila diperlakukan sedemikian rupa(tersingkir atas tohmahan dan fitnah) sedangkan sebelumnya jiwa raga mereka diserahkan bulat-bulat kepada perjuangan menegakkan syariat Islam dalam PAS.

Pun begitu, itu bukanlah alasan utama mengapa mereka sanggup meninggalkan parti yang mereka cintai puluhan tahun itu dan memilih untuk bersusah payah membangunkan parti baru. Ia juga bukan disebabkan oleh penubuhannya semata-mata untuk melengkapkan jumlah sokongan agar Anwar Ibrahim layak diangkat sebagai Perdana Menteri seperti yang didambakan sejak 1998. Bukan hanya kerana penubuhan AMANAH untuk membolehkan Pakatan Harapan ditubuhkan. Itu semua antara asas sampingan.

Jika benar pimpinan AMANAH menubuhkan AMANAH kerana gilakan jawatan dalam parti dan kerajaan, pimpinan AMANAH boleh sahaja menyertai KEADILAN atau DAP yang hampir pasti mendapat tempat yang sebaiknya. Jika benar kerana kalah pemilihan parti, mereka menubuhkan parti baru, sudah berapa kali pimpinan AMANAH tewas dalam pemilihan PAS? Berkali-kali, tetapi mengapa kali ini ijtihad mereka untuk meninggalkan PAS dan menubuhkan AMANAH terpaksa dipilih? Ada dikalangan mereka bukannya insan biasa, anak bekas Presiden PAS, anak Mursyidul AM PAS, mengapa sanggup mereka tinggalkan lapangan juang ayahanda mereka?

Ini semua bertitik tolak kepada pengamalan dan pembudayaan yang berlaku di dalam PAS pasca kepimpinan Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz. Budaya berbeza pendekatan dan pemikiran dalam memperjuangkan syariat Islam memang berlaku dalam sebuah organisasi termasuk PAS. Ia bukan bermula sekarang, tetapi sejak dahulu lagi, dan kepelbagaian itu memang terwujud serta terangkum dalam kesyumulan Islam. Perbezaan ini berjaya disepadukan ketika Ustaz Fadzil dan Tok Guru Nik Aziz menjadi teraju utama PAS. Sebaliknya, pasca peninggalan mereka ke alam abadi, PAS semakin terhimpit dengan satu jalur pemikiran sahaja dan terang-terangan pemikiran yang ditolak itu dianuti pimpinan AMANAH hari ini.

Justeru aspek toleransi tehadap kepelbagaian strategi dan pendekatan(bukan akidah) yang mahu diperjuangkan dalam PAS terhakis malah semakin tipis keterbukaannya. Nilai keterangkuman yang menjadi tunjang PAS diangkat sebagai parti alternatif rakyat Malaysia luntur dari pembawakan pimpinan PAS. Asas kesederhanaan dalam menangani sesuatu isu baik bersifat agama, kaum ataupun isu awam menjadi azimat penting meletakkan PAS sebagai parti suara rakyat tidak lagi menjadi keutamaan PAS. Sedangkan semua itu terkandung dalam Islam. Ia juga menjadi batu asas penting untuk meletakkan syariat Islam itu berjaya diresapi dalam masyarakat dan pentadbiran.


Maka persepsi yang dibentuk oleh PAS seharusnya diimbangi dengan sebuah lagi parti baru yang beteraskan Islam untuk menawarkan konsep Islam yang selaras dengan jiwa dan demografi Malaysia. Membiarkan PAS berseorangan sebagai parti Islam tunggal hanya mempersepsikan bahawa Islam itu hanya PAS dan PAS sahaja yang Islam. Ini memburukkan citra Islam yang sebenar tambahan lagi apabila PAS memilih haluan yang berbeza dengan dekad-dekad 80an, 90an dan 2000an PAS. Perlulah AMANAH diwujudkan.

Pimpinan AMANAH melihat dalam keadaan rakyat bersama pembangkang untuk menurunkan kepimpinan Malaysia sedia ada, sebuah parti Islam perlu berada di dalam Pakatan Harapan yang menjadi platform rakyat bersandar harapan. Keberadaan AMANAH dalam PH membuktikan bahawa Islam menentang keras soal korupsi dan mengkhianati tanggungjawab. Selaras dengan namanya sebagai AMANAH nilai itu menjadi pendorong dan tawaran baru buat rakyat Malaysia untuk mewujudkan negara Malaysia itu lebih membangun dan bermakna dalam erti kata integriti disanjung tinggi.

Oleh itu, jauh lebih utama penubuhan AMANAH sebagai keperluan untuk memperlihatkan citra Islam yang ada dalam paksi politik akibat pertembungan pemikiran dalam PAS. Selain itu, penubuhan AMANAH untuk menawarkan nilai utama yang semakin terhakis dalam politik dan kepimpinan Malaysia ketika itu iaitu integriti.

AMANAH akan meraikan ulang tahunnya secara besar-besaran 4 Oktober ini di Stadium Titiwangsa. Semua pimpinan dan penggerak parti mengenang perjalanan mereka yang sarat dengan gelora politik Malaysia. Namun kesemua keadaan itu tidak mematikan fikrah perjuangan mereka untuk membawa pendekatan Islam yang lebih serasi dengan budaya Malaysia serta politik nilai sebagai tawaran utama AMANAH kepada nusa dan bangsa.
Cikgu Syazmir HN
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            