SelangorToday

ULASAN | APA PETANDA BILA TIADA SENTUHAN ‘MAGIS’ HADI AWANG DI KKB?

Memasuki minggu kedua kempen Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Kubu Bharu, kedua-dua parti utama yang bertanding memperlihatkan kesungguhan mereka bagi memastikan KKB menjadi milik mereka. Bagi parti penyandang, keserasian antara HARAPAN dan BN lebih menyerlah apabila mereka bergerak secara tersusun bersasar menawan hati pengundi. DAP dan KEADILAN tertumpu dikawasan bandaran dan bukan melayu khususnya cina. AMANAH dan UMNO pula bergerak seiring dikawasan melayu dan luar bandar. MIC pula memainkan peranan di kawasan majoriti india.

Bagi PN pula, setelah bergelumang dengan dakwaan kesahihan kelayakan akademik calon dan status kedudukan kewangannya, barulah calon PN mengemukakan 5 tawarannya kepada pengundi KKB beberapa hari yang lalu. Meskipun Menteri Komunikasi mendakwa bahawa PAS sedang memboikot PRK tersebut apabila calon BERSATU diturunkan di KKB, namun beberapa pimpinan PAS dilihat turun membantu calon PN yang sudah memasuki usia 54 tahun itu. Bagaimanapun berbeza dengan Pilihan Raya sebelum ini, Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang tidak kelihatan turun berkempen.

Semestinya bagi penyokong dan ahli PAS, turunnya Presiden PAS yang ke-7 itu mampu meniupkan semangat juang kepada jentera parti seterusnya mempengaruhi pengundi untuk mengundi calon PN, Sebaliknya, tiadanya keberadaan Hj Abdul Hadi di KKB memberi isyarat atau tanda yang pelbagai kepada keputusan PRK KKB dan juga perjalanan politik Malaysia akan datang.

Menyedarikan akan keadaan kesihatan Hj Abdul Hadi yang tidak berapa baik, keberangkalian untuk beliau turun KKB adalah hampir tidak berlaku. Ini ditambah pula bahawa bukan calon PAS yang bertanding mewakili PN disitu. Tetapi hakikat yang lebih menyerlah apabila peranan yang dimainkan oleh PAS dalam PRK kali ini sangat minima. Misalnya sehingga hari ini, Hj Abdul Hadi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau kerahan daripada ahli dan penyokongnya untuk tetap mengundi PN. Yang ada hanya kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang mendakwa arahan keluar mengundi adalah wajib daripada Presiden PAS. Benar atau tidak Hj Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan tersebut hanya beliau dan Takiyuddin sahaja yang tahu.

Peliknya, bertebaran pula ucapan Hj Abdul Hadi semasa era Pakatan Rakyat dulu apabila Hj Abdul Hadi mendakwa siapa yang menyatakan DAP akan memerintah Malaysia, mereka itu tidak memahami politik. Ahli Parlimen Marang itu memberikan bukti apabila kerusi bukan melayu hanyalah 60 hingga 70 kerusi sahaja, jika DAP berjaya memenangi kesemua kerusi bukan melayu sekali pun, DAP tidak akan mampu membentuk kerajaan bersendirian kerana pembentukan kerajaan persekutuan memerlukan 112 kerusi minima. Jelasnya lagi dalam video tersebut, Hj Abdul Hadi berkata sama ada PAS ataupun UMNO mesti berada dalam kerajaan mewakili melayu memerintah Malaysia, oleh itu ketika situasi tersebut Hj Abdul Hadi menyeru orang melayu jangan takut kepada DAP dan menyokongnya.

Kendatipun ucapan tersebut disampaikan pada masa lalu dalam konteks gabungan politik masa lalu, namun bila difikirkan semula, pembuktian tersebut masih relevan digunakan pada hari ini. DAP hari ini masih tidak perlu ditakuti sebagai anggota kerajaan memandangkan UMNO bersama DAP bagi mewakili nasib orang melayu. Maka wajar ucapan itu diambil perhatian oleh orang melayu di KKB menjelang hari pengundi.

Berbalik kepada peranan PAS yang sangat minima dalam PRK kali ini, PAS tidak mampu lagi menyembunyikan kekecewaannya kepada BERSATU lagi. Apa sebabnya? Barang kali dengan gagalnya Mahiaddin Yassin mengemudi BERSATU sehingga tujuh wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membuatkan PAS berasa perlu lebih dominan berbanding BERSATU di dalam PN.

Redanya PN apabila mereka sedia berunding dengan kerajaan MADANI untuk mendapatkan peruntukan mereka sebagai Ahli Parlimen lebih menjelaskan hakikat misi untuk menumbangkan Anwar sebagai PM ke-10 sudah pun gagal dan berakhir. PAS mula meredakan sikap anti-kerajaannya apabila ketiga-tiga ketua kerajaan negeri pimpinan PAS mula mesra dan bekerjasama dengan Pengerusi HARAPAN itu. PAS ibarat sedang bergerak solo meskipun sebumbung dibawah PN. Apa lagi yang perlu mengikat mereka sebagai satu gabungan memandangkan misi menumbangkan kerajaan telah gagal, PAS mampu memerintah solo di negeri-negeri pembangkang serta PAS lebih dominan dalam politik Malaysia berbanding BERSATU.

Adakah Hj Abdul Hadi merestui calon PN? Semua pihak tidak mampu menjawab sama ada calon tersebut diakui Ketua Pembangkang Dewan Rakyat tahun 2002 hingga 2004 itu atau tidak. Namun hasil semakan gaya dan sikap Hj Abdul Hadi sebelum ini, kesemua calon yang beliau restui pastinya Hj Abdul Hadi akan turun menyeru pengundi menyokong calon yang direstu. Sehinggakan satu ketika bukan setakat calon DAP, calon MCA di Tanjung Piai juga pernah direstui oleh Hj Abdul Hadi. Malah calon MCA itu diarahkan oleh Hj Abdul Hadi untuk diundi oleh pengundi melayu berbanding imam yang dicalonkan oleh HARAPAN.

Maka jelas bahawa PAS memainkan peranan yang sangat minima dalam PRK kali ini hanya semata-mata PAS tidak bertanding di situ atau sebab lain yang difikirkan halal dilakukan oleh PAS. PAS mempunyai rekod tidak bersama dalam satu gabungan politik dalam tempoh yang panjang, semuanya dalam tempoh yang singkat. Mengapa Hj Abdul Hadi seolah-olah tidak memberi restu kepada calon PN dari BERSATU itu juga menjadi kemusyikilan.

PRK KKB ini bukan setakat akan mempengaruhi momentum PN untuk terus hidup dalam arena politik Malaysia dari sokongan rakyat, sebaliknya ia juga menjadi penentu kepada keutuhan kerjasama antara PAS dan BERSATU khususnya.

Exit mobile version