Ketika PRK Kuala Kubu Bharu berjalan minggu lalu, isu calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional(PN) untuk PRU ke-16 berbangkit. Ia bertitik-tolak daripada maklum balas Ketua Penerangan BERSATU, Azmin Ali bahawa PN tetap meletakkan Muhyiddin Yassin Pengerusi PN selaku calon PM untuk PRU seterusnya.
Daripada maklum balas tesebut, PAS melalui Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pencalonan PM bagi PN menuju PRU akan datang belum dibincangkan. Hal ini memberikan reaksi pelbagai dan pandangan yang berbeza-beza daripada pemerhati politik termasuk penyokong PAS dan BERSATU.
Netizen mendakwa maklum balas Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberi signal bahawa PAS bersedia mencalon pimpinan lain sebagai calon PM berbanding Muhyiddin yang gagal membawa PN membentuk kerajaan pasca PRU ke-15. Malah setelah Timbalan Presiden BERSATU, Ahmad Faizal Azumu mewakili seluruh pimpinan dan ahli BERSATU menyatakan kebersamaan mereka bersama Muhyiddin sebagai calon PM, PAS tidak mengeluarkan sebarang maklum balas atau reaksi.
Dalam konteks hari ini, perlu dilihat hakikat bahawa PAS wajar menyatakan pendiriannya meskipun berbeza haluan dengan rakan komponennya BERSATU dan GERAKAN. Hal ini kerana, peluang telah diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu membawa PN menjadi kerajaan persekutuan sama ada melalui PRU ke-15 mahupun ketika dipertengahan jalan kerajaan MADANI memerintah. Namun sehingga hari ini, Muhyiddin gagal berbuat demikian dan 7 wakil rakyatnya pula yang menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim.
Sebagai pimpinan nombor dua dibelakang Hj Abdul Hadi, pastinya Tuan Ibrahim dianggap layak menjadi calon PM melihat kepada ketidaksediaan Hj Abdul Hadi untuk dipilih sebagai calon PM. Untuk rekod, Hj Abdul Hadi tidak pernah dicalonkan sebagai PM dalam PRU sebelum-sebelum ini. Ketika PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah(1990) calon PM nya ialah Tengku Razaleigh Hamzah, ketika era Reformasi, calon PM adalah Anwar Ibrahim(ini dinyatakan sendiri oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor-1999) dan ketika PAS dalam Pakatan Rakyat, calon PM adalah Anwar Ibrahim atau Tengku Razaleigh.
Tuan Ibrahim layak menggantikan Muhyiddin sebagai calon PM daripada PN. Mengapa tidak? Kalau ikutkan komposisi kerusi parlimen sekali pun, PAS mempunyai bilangan ahli parlimen lebih banyak daripada BERSATU. Ini membuatkan seorang calon PM mempunyai sokongan yang lebih kuat apabila partinya sendiri dilihat mendominasi kerusi di Dewan Rakyat.
Meskipun BERSATU mempunyai seorang bekas Perdana Menteri, tetapi tahap sokongan PAS daripada pengundi terbukti lebih kuat berbanding BERSATU. Ini dibuktikan apabila PAS berjaya menambah majoriti undi kemenangannya ketika PRK Kemaman dan Kuala Terengganu. Sebaliknya BERSATU yang meletakkan calon melayu mewakili PN gagal menawan kerusi dalam PRK termasuk Kuala Kubu Bharu.
Seperti alasan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat satu ketika dahulu adalah kerana mahu mendominasi tahaluf siyasi tersebut. Kata PAS, Islam yang PAS bawa mesti memimpin, maka ketika itu PAS meninggalkan PR kerana ia dipimpinan oleh KEADILAN, diikuti parti komponen kedua iaitu DAP dan barulah PAS ditangga ketiga. Kini setelah PAS bukan setakat mempunyai jumlah kerusi lebih banyak dalam PN, malah di Dewan Rakyat, mengapa PAS tidak mengambil pendirian untuk memimpin PN sekaligus menjadikan Tuan Ibrahim sebagai calon PM?
Soal Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Naib Presiden PAS lebih layak menjadi PM perlu difikirkan semula. Memang Dr. Ahmad Samsuri ada wibawanya tersendiri, namun Tuan Ibrahim lebih lama dan matang sebagai pemimpin PAS dan wakil rakyat.
Tuan Ibrahim menjadi wakil rakyat sejak 1999 di DUN Pahang, kalah di pelbagai kerusi untuk PRU 2004, 2008, 2013. Kembali semula ke Parlimen dan DUN Pahang tahun 2018 sehingga kini. Jatuh bangun Tuan Ibrahim diuji dengan kekalahan beberapa siri PRU selain pernah kalah ditangan Presiden AMANAH dalam pertandingan 3 penjuru merebut kerusi Timbalan Presiden PAS pada tahun 2011.
Tuan Ibrahim mempunyai kelebihan apabila beliau berada dalam kelompok agamawan yang mungkin boleh diketengahkan sebagai pimpinan arus perdana PAS PRU ke-16 nanti. Berbanding Dr. Ahmad Samsuri yang lebih menonjol pasca PRU 2008 apabila dipertanggungjawabkan sebagai Setiausaha Politik Presiden PAS mengambil alih tugas Dr. Syed Azman Syed Nawawi(bekas MP PAS – Kuala Terengganu). Ruang seluas-luasnya diberikan kepada Dr. Ahmad Samsuri memanjat kepimpinan PAS persis ruang yang Almarhum Ustaz Fadzil Noor berikan kepada bekas Timbalan Presiden PAS, Dr. Nasharudin Mat Isa.
Dr. Ahmad Samsuri berjaya dipilih sebagai Naib Presiden PAS pun ketika semua kelompok yang pro kepada PR dalam PAS tersingkir dan keluar PAS. Jika itu tidak berlaku pastinya laluan sukar buat Dr. Ahmad Samsuri naik ke puncak. Kerusi yang Dr. Ahmad Samsuri tandingi buat pertama kali dalam PRU itupun merupakan kerusi ‘pasti menang’ oleh PAS memandangkan sejak 80an lagi, DUN Rhu Rendang itu dipimpin oleh Hj Abdul Hadi Awang. Berbeza dengan Tuan Ibrahim, yang kekal bertahan di Pahang sebagai kubu UMNO meski kalah mahupun menang.
Penjelasan diatas memberikan hujah dan fakta bahawa tidak salah Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air diletakkan sebagai calon PM mewakili PN. Fakta yang dihuraikan juga memberi maksud yang Tuan Ibrahim lebih layak berada di depan Muhyiddin dan Dr. Ahmad Samsuri memimpin PN menuju PRU ke-16 kelak.
Ssiapa jua dlm kpmimpinan brhak utk dlantik utk mnerajui krjn yg penting buat yg dsuruh tingal dlarang