SelangorToday

ULASAN | APABILA STEVEN SIM BERUCAP ISU KONTRAK SOSIAL

--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Minggu lalu Menteri Sumber Manusia, Steven Sim telah mengetuai Delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-112 di Geneva, Switzerland. Penyertaan Malaysia dalam sidang tersebut telah membuahkan hasil yang baik apabila setelah terlewat selama 43 tahun, akhirnya Malaysia mendepositkan dokumen ratifikasi Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1981(No.155) Pertubuhan Buruh Antarabangsa(ILO) kepada Ketua Pengarah ILO, Gilbert F. Houngbo.

Langkah Malaysia yang berjaya dilaksanakan semasa era Malaysia MADANI ini merupakan satu komitmen kerajaan bagi memastikan standard perburuhan negara dapat ditingkatkan selari dengan standard perburuhan antarabangsa. Matlamat dasar tersebut ialah untuk mencegah kemalangan dan kecederaan kepada kesihatan yang berpunca dari berkaitan dengan atau berlaku semasa bekerja.

Namun keberadaan Steven yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP ditumpukan kepada ucapan beliau yang menyentuh isu Kontrak Sosial. Beliau yang menyampaikan ucapan negara dalam sidang plenari itu mencadangkan pembaharuan kontrak sosial dilakukan. Cadangan itu juga selaras dengan tema persidangan ILC tahun ini iaitu Menuju Kepada Kontrak Sosial Baharu.

Di Malaysia sesetengah pihak yang anti kepada kerajaan Malaysia MADANI telah memain isu ini apabila mereka menyatakan pimpinan DAP itu telah menyentuh Kontrak Sosial yang merujuk kepada persefahaman antara kaum ketika pembentukan Malaysia satu ketika dahulu. Tohmahan tersebut menghayunkan isu perkauman dengan mendakwa Steven mahu kontrak sosial(merujuk antara kaum) diperbaharui yang akan mengubah status quo.

Jelas sekali tohmahan tersebut mahu menjejaskan kewibawaan Steven dalam membawa era baru dunia perburuhan. Sedangkan banyak kejayaan yang telah dicapai setelah beliau memimpin Kementerian Sumber Manusia atau KESUMA.

Hakikatnya, cadangan pembaharuan Kontrak Sosial yang dimaksudkan oleh Steven merujuk kepada konteks perburuhan. Kata Steven sebuah model baharu yang mengangkat darjat manusia sebagai pekerja dan tidak lagi merendahkan maruah mereka. Rangka kerja yang dibina harus memperkasakan lelaki dan wanita, muda dan tua, orang kurang upaya dan semua kaum dan agama.

Kontrak Sosial itu juga menekankan ke arah keadilan sosial antara majikan dan buruh bagi mengelakkan diskrimasi yang menjurus ke arah amalan perhambaan.

Dalam masa yang sama Steven yang mendokong Perlembagaan Persekutuan menyatakan komitmen KESUMA untuk memupuk tenaga kerja Malaysia yang kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan yang boleh bersaing dengan berkesan di pasaran global.

Seharusnya komitmen Steven dan KESUMA ini tidak wajar dimanipulasikan demi keuntungan politik sesetengah pihak. Kehadiran beliau membarisi kabinet Malaysia juga mengiktiraf peranan dan komitmen DAP dalam menyanjungi kedudukan sedia ada Malaysia.

Momokan DAP sebagai ancaman orang melayu telah dilumpuhkan memandangkan KESUMA yang memimpin sektor pekerjaan turut menyantuni warga melayu Islam.

Exit mobile version