SelangorToday

ULASAN | FADHLINA PALING SESUAI JADI PENGARAH JENTERA PRK SUNGAI BAKAP

Setelah PRK Kuala Kubu Bharu berakhir awal bulan lalu, menjelang pertengahan Jun ini Malaysia akan menghadapi satu lagi Pilihan Raya Kecil di Sungai Bakap, Pulau Pinang. PRK yang diadakan setelah kematian penyandangnya itu merupakan PRK kali pertama diadakan di Pulau Pinang pasca PRU ke-15 dan PRN Pulau Pinang tahun lalu.

Jika sebelum ini, AMANAH telah bertanding di PRK Parlimen Pulau dan DUN Simpang Jeram, UMNO di DUN Pelangai, GPS di DUN Jepak dan DAP di DUN Kuala Kubu Bharu, kini giliran KEADILAN pula diberikan peluang mewakili HARAPAN dan PERPADUAN di kerusi tersebut jika semua pimpinan dalam PERPADUAN bersepakat mengekalkan kerusi tersebut ditandingi oleh parti sebelum ini bertanding disitu iaitu KEADILAN.

Namun perbezaan kali ini, PRK yang bakal diadakan merupakan kerusi yang harus ditawan oleh kerajaan perpaduan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan. Hal ini demikian kerana, kerusi ini dimenangi oleh PAS-PN. Ia seumpama sama seperti PRK di Kuala Terengganu dan Kemaman dimana KEADILAN dan BN perlu menawan kerusi tersebut.

Bezanya PRK ini diadakan dibawah pemerintahan kerajaan perpaduan berbanding di Terengganu dibawah kepimpinan PAS. Kedua, jumlah majoriti kemenangan calon PAS di Sungai Bakap PRN lalu adalah dalam linkungan bawah dua ribu undi sahaja. Ini memperlihatkan peluang kedua-dua calon baik pembangkang mahupun kerajaan adalah seimbang.

Pastinya perihal calon yang bakal dipertaruhkan bakal menjadi isu hangat dalam setiap PRK termasuk PRK kali ini. Namun penulis tidak mahu terlalu awal mengulas isu tersebut, sebaliknya penulis mahu mengetengahkan figura yang wajar diberikan peranan memimpin jentera pilihan raya PERPADUAN dalam PRK Sungai Bakap.

Penulis merasakan, Menteri Pendidikan iaitu Fadhlina Sidek paling sesuai diketengahkan sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap. Atau apa sahaja nama jawatan yang diletakkan, Fadhlina figura yang perlu diberikan tanggungjawab tersebut. Ini bukan kerana beliau seoarang Menteri Pendidikan, sebaliknya kerana beliau merupakan ahli parlimen yang turut merangkumi DUN Sungai Bakap.

Fadhlina memenangi kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU ke-15 tahun 2022. Dalam parlimen tersebut mempunyai tiga DUN iaitu DUN Jawi, DUN Sungai Bakap dan DUN Sungai Acheh. DUN Jawi diwakili oleh H’ng Mooi Lye dari DAP, manakala DUN Sungai Acheh diwakili oleh Rashidi Zinol daripada BN. Memandangkan KEADILAN merupakan calon daripada PERPADUAN yang bertanding di Sungai Bakap, maka wajarlah Fadhlina yang juga dari KEADILAN dan Ahli Parlimen disitu memimpin jentera Pilihan Raya.

Dijangka juga KEADILAN akan mengekalkan calon dari kelompok wanita memandangkan calon sebelum ini juga seorang wanita iaitu Nurhidayah Che Rose. Maka walau siapa pun calon wanita yang bertanding di Sungai Bakap, sentuhan Fadhlina diperlukan oleh kerana beliau adalah Ketua Wanita KEADILAN.

Kerusi Sungai Bakap mempunyai hampir 60% pengundi melayu. Ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh HARAPAN khususnya. Tetapi jika kemenangan berjaya dijelmakan atas kerjasama HARAPAN dan usaha UMNO, maka gelombang  hijau itu benar-benar telah mati di keteguhan kerajaan perpaduan.

Wajar juga karisma Fadhlina yang dianggap sebagai anak cendikiawan Islam iaitu Dr. Siddiq Fadzil memberikan seluruh komitmennya dalam PRK kali ini. Aspek insaniah yang selalu diketengahkan oleh Fadhlina dan almarhum ayahandanya boleh menjadi magis kecenderungan rakyat memilih HARAPAN.

Jika Fadhlina berjaya mengemudi jentera dengan ramuan HARAPAN – BN sehabis baik, nescaya PRK kali ini bakal dimenangi oleh PERPADUAN. Malah kewibawaan Fadhlina juga bakal terserlah. Bukan tidak mahu meletakkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebagai peneraju utama, tetapi kerusi Sungai Bakap bermajoriti melayu 60% ini wajar mengetengahkan tokoh politik berwajah melayu Islam berbanding kepimpinan DAP yang masih ada igauan dalam kalangan orang melayu.

Tambahan ,Setiausaha Politik Fadhlina juga dikatakan kerap menyantuni masyarakat di Nibong Tebal termasuk Sungai Bakap mewakili Fadhlina, maka tidak salah kalau Setiausaha Politik Fadhlina juga diberikan peluang menjadi antara calon dalam PRK kali ini.

Exit mobile version