SelangorToday

ULASAN | IMEJ DAN KARISMA, CIKGU JOOHARI MENDAHULUI ABANG ABIDIN

Berbaki beberapa hari sahaja lagi memasuki fasa pembuangan undi untuk Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap, jentera parti yang bertanding meningkatkan tempo gerak kerja mereka bagi memastikan rayuan undi kepada penduduk Sungai Bakap dilakukan semaksima mungkin. Selain beekrja di lapangan, jentera media secara maya juga dimanfaatkan sehabis baik kedua-dua belah pihak antara Cikgu Joohari Ariffin mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Abang Abidin mewakili Perikatan Nasional(PN).

Namun secara kasarnya atau umumnya, banyak ketempangan yang jelas kelihatan kepada jentera PN apabila calon yang diperturunkan daripada PAS, rentak jentera antara PAS dan BERSATU kelihatan tidak seiring dan sejalan menyebabkan ura-ura BERSATU memboikot PRK tersebut bertebaran. Manakala kesediaan parti keramat UMNO-BN untuk turut membantu calon HARAPAN dilihat sebagai satu kesepaduan yang boleh menyakinkan pengundi salah satu DUN di Parlimen Nibong Tebal itu untuk memilih calon yang turut mewakili parti komponen PERPADUAN.

Jika dilihat daripada karisma calon kedua-dua pihak, Cikgu Joohari mendahului Abang Abidin meskipun Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal itu merupakan orang kanan bekas wakil rakyat Sungai Bakap. Pengalaman Cikgu Joohari sebagai pendidik adalah satu kunci utama yang membolehkan Cikgu Joohari mampu memahami dan bertindak penyelesai masalah penduduk Sungai Bakap dengan tempoh masa yang singkat. Sifat seorang pendidik yang perlu berkemahiran menilai aspek kelebihan dan kelemahan sesuatu perkara khusus terhadap anak didiknya, membuatkan Cikgu Joohari tahu dan faham apa isu yang berbangkit di Sungai Bakap dan apa yang perlu dilakukan untuk membetulkannya. Seolah-olah Cikgu Joohari mengenal dan menjiwai keadaan di situ.

Ciri seorang wakil rakyat juga tambahan pula di era MADANI ini, perlu mempunyai sifat mendidik yang membawa rakyatnya keluar dari kepompong kemiskinan, kejahilan dan kemalasan. Tuntutan ciri wakil rakyat zaman Pengerusi HARAPAN yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) itu ada pada Cikgu Joohari. Kini, rakyat bukan sahaja memerlukan wakil rakyat yang mampu membantu semata-mata, malah boleh membuahkan idea untuk merintis jalan kepada rakyatnya meniti kehidupan yang lebih baik. Jika zaman remaja, kepada siapakah kita merujuk jika menemui jalan buntu dengan seribu masalah? pastinya pada guru kita mahupun jurulatih. Jadi di Sungai Bakap, Cikgu Joohari mempunyai keghairahan untuk membantu, menyantuni dan maju bersama rakyat.

Diberi tanggungjawab mengemudi atau mentadbir sebuah institusi yang melahirkan pemimpin pendidikan seperti Pengetu/Guru Besar, Penolong Kanan, Pegawai Pendidikan Daerah dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, imej Cikgu Joohari kian menyerlah dilapangan Pilihan Raya. Visi dan misinya sangat jelas ke mana hendak dibawa Sungai Bakap ini. Meletakkan beliau sebagai wakil rakyat adalah sumbangan rakyat dalam mengangkat institusi legislatif Negeri Pulau Pinang ke tahap yang lebih intelektual dan progresif.

Berpaksikan akronim ‘PADU’ sebagai manifesto Cikgu Joohari, beliau telah pun bersedia mengangkat agenda yang mustahak sama ada di Dewan Undangan Negeri(DUN) Pulau Pinang mahupun hubungan baik bersama pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan. Mahu rakyatnya diisi dengan ilmu agar mereka maju.

Faktor-faktor ini yang meletakkan kedudukan Cikgu Joohari lebih ke depan berbanding calon PN. Meskipun beberapa hari selepas itu PN pula melancarkan manifestonya, sokongan kepada HARAPAN melalui Cikgu Joohari sudah pun diperoleh dengan jumlah yang menyakinkan untuk menobatkan Cikgu Joohari sebagai ADUN Sungai Bakap yang baharu. – SelangorToday

Exit mobile version