SelangorToday

ULASAN | KEJUTAN DI NENGGIRI, APA PETANDA DALAM POLITIK MALAYSIA?

Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri yang berlangsung sabtu 16 Ogos 2024 memberi tamparan hebat buat gabungan Perikatan Nasional yang dianggotai oleh PAS, PPBM dan GERAKAN. Ia sekaligus memberi kejutan kepada penganalisis dan pengamal politik memandangkan kerusi PRK yang diadakan itu dibawah pemerintahan PAS. Malah ia kerusi pertama bertukar tangan sejak PRU.

Walau bagaimanapun, keputusan tersebut memberi beberapa petanda atau isyarat yang wajar dipertimbangkan oleh semua pihak, baik pembangkang mahupun kerajaan. Jelas bahawa keputusan DUN Nenggiri yang menobatkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri akan merubah struktur politik negara.

GELOMBANG HIJAU

Dengan berlakunya perubahan mendadak di kesemua Pusat Daerah Mengundi(PDM) ia memberi petunjuk bahawa kemenangan PPBM di kerus DUN Nenggiri pada Pilihan Raya Negeri Ogos 2023 hanya disebabkan tempias propaganda ‘Gelombang Hijau’ yang dimainkan semata-mata. Bermaksud, kemenangan PN di situ bukan kerana keupayaan dan kewibawaan calon serta parti yang menang, namun ia dipilih atas dasar sentimen dan trend yang memuncak ketika itu semata-mata. Ini menyebabkan DUN tersebut tumbang sedangkan sejak merdeka, kerusi tersebut tidak pernah dimenangi oleh PAS mahupun PN.

Jika PRN lalu, BN hanya memenangi 7 PDM sahaja, namun PRK kali ini BN berjaya menawan 10 lagi PDM menjadikan 17 PDM menyebelahi BN serta 3 PDM yang kalah jumlah undiannya semakin merapat. Perbezaan yang ketara, PAS tidak memainkan momentum ‘gelombang hijau’ dalam PRK kali ini dan lebih berminat untuk menggunakan peluru DAP sebagai bahan serangan. Akibatnya, sentuhan jentera BN dan toleransi DAP untuk memberikan ruang sepenuhnya kepada BN dan parti melayu Islam dalam kerajaan perpaduan berkempen disana telah mengembalikan Nenggiri kepada PERPADUAN.

DOMINASI PAS DALAM PN

Penulis pernah menulis sebuah rencana yang menyatakan belum pun kempen PRK bermula, PPBM telah pun kalah. Kalah ditangan siapa? Ditangan PAS memandangkan calon yang PPBM perturunkan adalah ahli PAS yang menyertai PPBM beberap hari sebelum penamaan calon. Ini petunjuk yang jelas bahawa PAS telah pun mendominasi PN secara tidak langsung. Secara tersiratnya PAS berkuasa mutlak dalam setiap perjalanan PN. Manakala PPBM terus menjadi parti tempelan yang perlu bertahan demi mengekalkan momentum penyokong PN serta kedudukan Ketua Pembangkang daripada PPBM.

Tambahan lagi, kekalahan calon PN yang diperturunkan oleh PPBM di DUN Nenggiri terus melemahkan PPBM. Bayangkan PAS bertanding di kerusi yang negeri pemerintahnya adalah PERPADUAN(DAP) di Sungai Bakap mampu menang selesa, tetapi PPBM yang bertempur di negeri mereka sendiri memerintah tewas ditangan BN. Ini satu pembuktian yang sangat jelas, PPBM tiada keupayaan menawan sokongan pengundi lagi, malah PPBM kini menjadi liabiliti kepada PAS sedangkan PAS kuat dan gagah mengemudi partinya dengan jumlah kerusi yang terbesar di Dewan Rakyat.

RAKYAT MENOLAK KEANGKUHAN PEMIMIPIN

Satu kejadian yang luar biasa, apabila isu kekayaan pimpinan menjadi bahan kempen PRK kali ini. Serangan bertubi-tubi PERPADUAN khususnya BN kepada pimpinan utama PN yang memaparkan kekayaaan mereka ketika menyantuni rakyat telah memberi impak secara tidak langsung kepada sokongan rakyat Nenggiri. Mereka berani dan yakin menolak parti yang memaparkan kekayaan mereka kepada rakyat. Sedang kerajaan MADANI serba-serbi dalam kesederhanaan meletakkan aspek penjimatan dan nilai ihsan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, mereka memaparkan kekayaan mereka.

Lebih mengejutkan, atas keyakinan bahawa rakyat tidak akan termakan dengan kempen pembangkang, pemimpin PN yang diserang akibat kekayaan tersebut menempelak pembangkang dengan menyatakan segala yang mereka punya hari ini adalah milik, ikut kehendak mereka sama ada nak tayangkan atau tidak. Jawapan itu pasti merobek sanubari rakyat yang sedang membina kehidupan lebih baik pasca pandemik Covid-19. Malah jawapan yang berbentuk angkuh itu wajar diprotes memandangkan rakyat sedang memperbaiki runtuhan ekonomi yang berlaku akibat kepimpinan PN memerintah Malaysia dahulu. Orang asli yang hidup dengan kesederhanaan tersendiri memberi pukulan KO kepada PN yang ditunjukkan melalui PDM-PDM mereka.

–fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

TINDAKAN SPEAKER DEWAN RAKYAT TEPAT

Beberapa hari menjelang PRK Nenggiri, seorang ahli parlimen PN dari kawasan Machang, Wan Ahmad Fayshal digantung selama enam bulan di menjalankan tugas sebagi ahli Dewan Rakyat. Penggantungan itu diusulkan oleh kerajaan kepada Ketua Pemuda PPBM itu setelah didakwa mengaitkan nama penjawat awam dalam isu yang dibahaskan dalam dewan. Keputusan tersebut yang diadili oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat digunakan oleh PN untuk mendakwa kerajaan sebagai diktator. Keputusan tersebut dijaja oleh pimpinan PN termasuk Wan Ahmad Fayshal sendiri dengan harapan rakyat bersimpati dengan tindakan tersebut dan bangkit menyokong PN.

Namun keputusan PRK DUN Nenggiri boleh dijadikan petunjuk awal bahawa langkah tersebut tidak memberi sebarang kesan kepada sokongan rakyat. Malah meskipun pimpinan PN membacakan doa qunut nazilah selepas keputusan penggantungan dibuat tidak memberi sebarang kesan signifikan kepada sokongan rakyat kepada PN. Hari demi hari, rakyat dapat melihat PN akan memperalat semua situasi yang ada demi mengekalkan sokongan rakyat kepada mereka. Sedangkan rakyat dan pimpinan kerajaan sedang menumpu ke arah memulihkan ekonomi dan pembangunan negara. Boleh disifatkan juga keputusan DUN Nenggiri adalah satu petanda rakyat menerima tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dan bersetuju Wan Ahmad Fayshal diambil tindakan.

MAGIKA TENGKU RAZALEIGH TERUS MENYALA

Langkah BN meletakkan Tengku Razaleigh atau Ku Li sebagai penggerak utama jentera BN di DUN Nenggiri sedikit sebanyak memberi impak yang baik kepada BN serta melunturkan sokongan pengundi kepada PAS. Ku Li merupakan ahli parlimen Gua Musang yang terletak DUN Nenggiri didalamnya sejak tahun 60an hingga 2022. Beliau tidak pernah kalah meskipun berubah parti daripada UMNO-BN ke Semangat 46 dan kembali kepada UMNO-BN. Berbeza dengan Annuar Musa yang mengetuai jentera PAS di situ mengalami pasang surutnya apabila beliau menang dan kalah parlimen di Kelantan bergilir-gilir. Momentum Gelombang Hijau menumpaskan Ku Li dengan majoriti tipis. Sentimen mengatasi kewibawaan, kesannya menanglah si pemain sentimen.

Ku Li yang diberi kuasa penuh memenangkan calon BN di Nenggiri disamping Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Ahmad Jazlan Yaacob mencatur peluang dan ruang bagi memaksimakan sokongan. Ku Li sangat mengenali tingkah laku dan dorongan orang Gua Musang khususnya Orang Asli, maka strategi veteran UMNO itu membuktikan beliau kekal mempunyai magika seorang tokoh politik yang mampu memindahkan semula sokongan pengundi daripada PAS kembali kepada BN.

AHMAD ZAHID TEWASKAN ANNUAR MUSA

Di saluran lain, penulis pernah mengimbas kembali pertempuran empat penjuru jawatan Ketua Pemuda UMNO yang melibatkan Rahim Tamby Chik, Ahmad Zahid Hamidi, Annuar Musa, Isa Samad dan Rahman Salleh. Disebabkan oleh PRK DUN Nenggiri dilihat lebih kepada serang balas antara Ahmad Zahid dan Annuar Musa, penulis mengimbau kenangan apabila Ahmad Zahid yang ketika itu hanyalah ahli parlimen biasa, berjaya mengalahkan Annuar Musa yang juga seorang menteri persekutuan. Anggapan penulis, PRK kali ini juga dijadikan sebagai pertempuran kedua antara Ahmad Zahid dan Annuar Musa memandangkan mereka paling ke depan untuk berkempen, malah calon-calon yang diperturunkan adalah proksi masing-masing.

Maka tercatatlah dalam sejarah hari ini, apabila Ahmad Zahid berjaya menewaskan Annuar Musa buat kali keduanya. Ada pun kali ini sedikit berbeza apabila Annuar telah memakai baju PAS manakala Ahmad Zahid kekal berbaju BN, tetapi pertempuran tetap pertempuran dan yang kalah dan menang tetap ternobat. Keyakinan yang semakin tinggi Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dengan tewasnya bekas Setiausaha Agung UMNO itu. Bekas pimpinan UMNO yang menjaja pendirian Ahmad Zahid yang setuju menubuhkan kerajaan bersama HARAPAN juga gagal menggugat sokongan rakyat. Tegaslah bahawa pendirian Ahmad Zahid ada tepat, wajar dan diterima.

DASAR PM ANWAR IBRAHIM MULA DITERIMA

Kejayaan merampas kerusi daripada PAS kepada BN juga satu petunjuk yang jelas bahawa dasar-dasar kerajaan MADANI dibawah kepimpinan Anwar Ibrahim sudah mula diterima rakyat. Ia juga bertitik-tolak daripada kesan baik yang mula dirasai rakyat untuk mendorong mereka menyokong PERPADUAN melalui BN. Anwar tidak berkempen PRK kali ini, namun berita prestasi kerajaan Anwar yang melatari kempen turut menjadi faktor keyakinan pengundi kepada PERPADUAN. Dari pengukuhkan nilai ringgit, ekonomi berkembang buat suku kedua tahun ini serta pengumuman pelarasan gaji baru penjawat awam juga meletakkan PERPADUAN dihadapan meninggalkan PAS.

Anwar juga tidak mengamalkan politik dendam akibat perbezaan mazhab politik, malah menghormati semangat berpersekutuan apabila menurunkan peruntukan yang seimbang buat negeri yang diperintah oleh PAS. Baginya, keperluan utama adalah rakyat menerima manfaat berbanding bermain politik.

Kesimpulannya, kejutan yang berlaku di DUN Nenggiri memberi petunjuk dan petanda yang pelbagai. Ada pun politik bersifat dinamik, namun PERPADUAN khususnya BN dan HARAPAN telah mencapai rentah dan tempo yang serasi mengemudi bahtera cetusan Yang Dipertuan Agong satu ketika dahulu. Pengajaran demi pengajaran wajar ditimbang oleh PAS mahupun PN bagi mengekalkan sokongan mereka kelak.

Exit mobile version