Site icon SelangorToday

ULASAN | KEPERLUAN SEKURITI MAKANAN

jamcover2

Semasa memandu kereta petang tadi saya mendengar siaran podcast ‘The Journal’ yang diterbitkan oleh The Wall Street Journal.

Ia membicarakan tentang kenaikan mendadak harga daging lembu di AS. Wartawan WSJ membuat siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kenaikan harga daging lembu di pasaran AS.

Tidak seperti di negara kita di mana kebergantungan ke atas daging import menjadi punca kesukaran mengawal harga daging, keadaan agak berbeza di AS.

Penternak lembu di AS berhadapan dengan masalah penurunan harga lembu kerana lambakan lembu di pasaran, manakala pengguna pula menghadapi masalah kenaikan mendadak harga daging lembu kerana kekurangan bekalan daging lembu di pasaran. Di mana silapnya?

Pertama, kita perlu maklum bahawa undang-undang di AS tidak membenarkan aktiviti penyembelihan dan pemerosesan daging lembu (undang-undang ini meliputi semua haiwan ternakan) melainkan di fasiliti yang dilesenkan sahaja. Di AS, tempat ini dipanggil ‘meat packaging center’. Di negara mereka, menyembelih lembu sendiri dan menjual daging di tepi jalan atau di pasar seperti yang banyak berlaku di negara kita adalah menyalahi undang-undang. Jadi para penternak lembu tidak mempunyai pilihan selain menjual lembu mereka kepada ‘meat packaging center’.

Fasiliti penyembelihan dan pemerosesan haiwan untuk bekalan makanan dikawal sangat ketat oleh undang-undang AS. Spesifikasinya sangat tinggi dan penguatkuasaan sangat ketat. Kos penyediaan fasiliti dan operasinya sangat tinggi kerana ia memerlukan pekerja yang terlatih dan berdisiplin. Atas faktor ini, fasiliti ini hanya mampu dimiliki oleh syarikat yang bermodal tinggi. Hanya empat atau lima syarikat sahaja yang menguasai perniagaan ini di seluruh AS. Dalam kata lain, berlaku suasana ‘kartel’ dalam perniagaan ini.

Mengikut siasatan WSJ, fasiliti ‘meat packaging center’ ini berhadapan dengan masalah kekurangan kakitangan yang sangat serius sejak bermulanya pandemik Covid-19 yang lepas. Ini menjejaskan keseluruhan kapasiti penyembelihan lembu dan pemerosesan daging lembu. Akibatnya mereka terpaksa mengurangkan pembelian lembu dari penternak dan bekalan daging lembu di pasaran juga berkurangan.

Situasi ini jika tidak diatasi segera boleh menjejaskan industri ini secara keseluruhan. Para penternak lembu akan kerugian besar dan mungkin menutup terus perniagaan mereka. Bagi setiap hari kelewatan penjualan lembu mereka, mereka terpaksa menganggung kos penjagaan dan makanan tambahan. Ini cukup membebankan para penternak.

Masalah ini menunjukkan kepada kita bahawa isu sekuriti makanan perlu dilihat secara holistik, dan bukannya secara secebis-secebis. Seluruh rangkaian rantaian bekalan (supply chain network) perlu di teliti. Aspek perundangan dan penguatkuasaan juga perlu lebih pragmatik dan relevan dengan keperluan sektor yang terbabit. Aspek pasaran buruh juga memainkan peranan penting. Pendeknya, semua aspek perlu dirancang dengan teliti.

Malaysia ketika ini masih berhadapan dengan masalah bekalan di peringkat ladang dengan SSL yang sangat rendah. Pun begitu, penyelesaian bekalan di peringkat ladang tidak menjamin sekuriti makanan kalau keseluruhan supply chain network tidak disediakan dengan baik dan terancang.

Tulisan Jamzuri Ardani

Exit mobile version