Hampir kesemua ahli nujum politik tidak menduga bahawa Pakatan Harapan(HARAPAN) yang dianggotai KEADILAN, AMANAH, DAP dan UPKO mampu membentuk kerajaan persekutuan bersama Barisan Nasional(UMNO, MCA, MIC dan PBRS) pasca PRU ke-15. Namun atas keterbukaan pimpinan untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang lalu, Kerajaan Perpaduan berjaya dibentuk.
Namun hari demi hari pembangkang sentiasa memainkan naratif kerajaan yang turut disertai oleh Gabungan Parti Sarawak(GPS), Gabungan Rakyat Sabah(GRS) dan WARISAN bakal tumbang. Sehinggalah PERPADUAN memperoleh momentum sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai, propaganda jatuhnya kerajaan Perpaduan semakin terhakis. Tambahan pula, Sultan Johor menaiki takhta sebagai Yang Dipertuan Agong Februari lalu yang tidak mahu negara diheret ke kancah permainan politik pihak tertentu mematikan berita palsu kerajaan bakal tumbang.
Perkelahian yang tercetus antara HARAPAN dan BN sejak sebelum era reformasi lagi mengekokkan cara Kerajaan Perpaduan bergerak. UMNO dan DAP khususnya masih belum dilihat sekata dan seirama pada isu yang bukannya dasar utama kerajaan, sebaliknya isu-isu yang dicetuskan oleh pihak tertentu demi memecahkan kesatuan Kerajaan Perpaduan. Tetapi apabila mereka membincangkan isu dasar kerajaan yang sebenarnya lebih utama, parti berasaskan kaum melayu bumiputera dan parti utama bukan melayu itu mudah sepakat.
Jelas ketika detik ini, Kerajaan Perpaduan telah jauh dari sebarang anasir besar yang mampu menggugat kerajaan. Pembangkang pula sentiasa memainkan isu remeh demi menghilangkan tumpuan kerajaan menyantuni rakyat. Maka sepatutnya Kerajaan Perpaduan harus melebarkan tumpuan mereka dalam memberi kesan baik kepada rakyat atas dasar yang mereka tetapkan. Ia juga mesti diringi oleh sebarang pencerahan yang mampu mencelikkan rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan sedang membantu rakyat keluar dari kepompong kemiskinan.
Yang lebih utama anggota dalam Kerajaan Perpaduan perlu bergerak sebagai satu pasukan yang serasi. Kebertanggungjawaban bersama dalam satu barisan kabinet mesti diterjemahkan dalam setiap figura. Kebersamaan ini langsung mampu mematikan seluruh elemen pepercahan yang senantiasa dimanipulasikan oleh pihak pembangkang. Jika tangan Perdana Menteri pun boleh menjadi isu yang dimainkan pembangkang inikan pula jika anggota dalam kerajaan tidak saling bersama.
Misalnya, Pangkatan Data Utama(PADU) yang menjadi salah satu dasar utama kerajaan perpaduan atau kerajaan MADANI telah diperkenalkan oleh Kementerian Ekonomi pimpinan Rafizi Ramli. Namun bicara soal PADU ia masih dibawah lingkaran Kementerian itu sahaja, belum ada mana-mana menteri daripada portfolio lain yang secara langsung mahupun tidak langsung memberi sokongan atau menyeru rakyat Malaysia untuk mengemaskini sistem tersebut. Sedangkan hakikatnya setelah PADU boleh digunakan kelak, semua kementerian akan menjadi sistem yang dibina oleh penjawat awam Malaysia itu sendiri sebagai rujukan.
Bukankah ketika hampir tamat tarikh mengemaskini data tersebut, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mengemaskini? Boleh sahaja Menteri Pendidikan mengarahkan semua penjawat awam di bawah KPM mengemaskini data tersebut. Menteri Pertahanan juga boleh menyarakan semua anggota ATM termasuk kelompok veteran untuk memastikan maklumat mereka berada pada situasi terkini. Ini lebih memudahkan kerajaan dan menyerlahkan kesepaduan kerajaan MADANI.
Begitu juga apabila kementerian yang dipertanggungjawabkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memperkenalkan dasar pemerkasaan Program Pendidikan Dan Latihan Teknikal & Vokasional atau Technical & Vocational Education and Training(TVET). Usaha ini mestilah dilestarikan secara bersama termasuk dengan Kementerian Sumber Manusia(KESUMA), Kementerian Beslia dan Sukan(KBS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi(KPT). Ulasan dan sokongan yang diberikan oleh pelbagai kementerian mampu mematikan hujah bahawa ahli kabinet kerajaan MADANI bergerak secara silo semata-mata.
Program membasmi kemiskinan yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim perlu disambut secara tuntas dan bersama melibatkan kementerian lain, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama Islam dan Wilayah) serta lain-lain lagi. Inilah satu peluang yang tercipta daripada kesepakatan yang tidak mudah dibayangkan sebelum ini. Namun pelbagai sifir dan faktor menyebelahi kerajaan MADANI. Maka bertahanlah dan bergerak sederap bersama.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi boleh juga menawarkan kepakaran apabila Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menggagaskan ‘Gelombang Padi’ sebagai dasar utama keterjaminan makanan negara.
Oleh yang demikian perihal politik kepartian mungkin sukar untuk ditinggalkan memandangkan aspek politik menjadi asas kemenangan dalam sistem demokrasi di Malaysia, namun sebagai parti pemerintah, gunakan ruang yang ada demi menzahirkan kesepaduan dan kejituan kerajaan MADANI. Ini juga boleh disifatkan sebagai komitmen semua parti untuk terus bersama pasca PRU ke-16 kelak.