Tahun 2025 diramalkan tahun yang tenang buat Kerajaan Perpaduan memandangkan kurangnya Pilihan Raya Kecil perlu diadakan dan semua tertumpu kepada persediaan menghadapi PRN di Sabah. Namun disaat politik antara kerajaan dan pembangkang tenang tambahan pula tiada isu tukar kerajaan, parti-parti politik masing-masing mengalami suhu mendidih akibat pergolakan dalam.
Ia bermula dengan pemilihan dalam BERSATU diikuti DAP serta KEADILAN. Namun tumpuan umum lebih kepada pemilihan KEADILAN yang baharu sahaja selesai bulan lalu. Meskipun mengalami fasa krisis yang akan berlarutan sehingga PRN Sabah berlangsung, tetapi perjalanan kerajaan dikira masih stabil. Pun begitu, menjelang September ini, sebuah parti keramat yang bernuansa lama di Malaysia iaitu PAS, akan mengadakan pemilihannya.

Sedar atau tidak, sebagai parti yang mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam Dewan Rakyat serta menguasai empat negeri di semenanjung, PAS menjadi tumpuan utama selepas keadaan politik dalam KEADILAN dan UMNO. Walaupun berstatus pembangkang, PAS dikira sama pentingnya dengan parti-parti dalam kerajaan dari sudut soal pergerakan dan masa depan parti.
Justeru kehangat pemilihan PAS mula dirasai apabila khabar-khabar angin bahawa Haji Abdul Hadi Awang yang telah berjaya mencipta rekod Presiden PAS paling lama berkhidmat akan mengundurkan diri dalam pemilihan kali ini. Entah dari datang mana sumbernya, tetapi khabar angin itu berjaya membentuk reaksi yang pelbagai baik diperingkat akar umbi mahupun pimpinan PAS. Secara tidak langsung, reaksi masing-masing telah menzahirkan pembentukan fraksi dalam PAS untuk bertempur dalam pemilihan pasca pengunduran Hj Hadi.
Walaupun begitu, persoalan yang lebih utama, adakah Hj Hadi benar mahu berundur? Persoalan yang lebih besar adalah, mahukah Hj Hadi berundur disaat, rakan seperjalanannya Anwar Ibrahim sedang berada di puncak kuasa? Tidakkah Hj Hadi akan dianggap tewas sepenuhnya ditangan Anwar dalam perlumbaan politik antara mereka dua.
Umum mesti sedar bahawa Anwar dan Hj Hadi adalah rakan sebaya yang berjuang dalam politik dalam tempoh era yang sama. Kedua-dua mereka merupakan anak tokoh popular di kawasan masing-masing serta mewarisi bakat kepimpinan dan keilmuan ayahanda mereka. Mereka berdua juga ditunaskan bakat dan kewibawaan bermula daripada Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM). Kedua-duanya mempunyai bakat yang menyerlah dalam pidato masing-masing.
Pun begitu, citra perjuangan mereka diperlihatkan dengan dua wajah yang berbeza. Anwar sebagai pemimpin muslim moderat dan menepati citarasa dan intipati seorang Perdana Menteri di Malaysia seperti penyandang sebelumnya. Manakala Hj Hadi agamawan konservatif yang membawa pendekatan yang lebih tradisional. Langkah politik Anwar juga dilihat kontroversial dengan memilih UMNO sebagai wadah siyasahnya berbanding Hj Hadi yang meneruskan legasi di dalam PAS.
Sebagai bintang muda parti pemerintah, Anwar sentiasa ditumpukan oleh media massa. Justeru ketokohannya menyerlah dan membumi di ruangan television rakyat. Hj Hadi pula membina pengaruh berakar di kawasan pengajiannya di Rusila Marang, serta menyampaikan isi fikiran dan hatinya dalam pidato kepada kelompok agama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan utara Perak.
Mereka berdua berjuang dan menyerlah digaris masa yang sama. Satu bintang yang bakal mengemudi kerajaan, manakala satu lagi bintang yang mampu mencetuskan fenomena kepada dunia politik Malaysia. Mereka bertempur diruangan politik masing-masing sehinggalah Anwar dipecat dari UMNO dan Kerajaan. Hj Hadi kurang menyerlah dalam penglibatan reformasi tetapi membela Anwar dalam tuduhan Qazaf. Malah Hj Hadi mendapat keuntungan politik dari simpati rakyat kepada Anwar apabila Hj Hadi dimandatkan untuk menerajui Terengganu tahun 1999.
Memasuki tahun 2008, kerjasama Hj Hadi dan Anwar mula erat hasil terbentuknya negeri-negeri anti-BN di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Mereka berdua dilihat serasi dan mampu menggugat dominasi BN sebagai pemerintah. Anwar diimbangi dengan keberadaan Hj Hadi. Tetapi ruang tidak selalu lama, perjalanan tidak selalu lancar. Berakhirnya PRU 2013, hubungan dalam Pakatan Rakyat khususnya Hj Hadi dan Anwar mula renggang dan keruh. Ia dinoktahkan apabila Anwar masuk penjara dan Tok Guru Nik Aziz Berundur. Terlerai hubungan erat mereka berdua sama terlerainya PR.
Dari segi pentadbiran, Anwar dilihat lebih terkehadapan sebagai muslim yang memacakkan nilai Islam dalam pentadbiran. Peranan beliau baik sebagai Menteri satu ketika dahulu serta Perdana Menteri hari ini lebih menyerlahkan kefahaman dan keupayaannya menterjemahkan nilai Islam. Namun Hj Hadi meskipun pernah bergelar orang nombor satu di Terengganu serta Duta Khas bertaraf menteri era PN memerintah, kurang menonjolkan keupayaannya sebagai calon PM yang didambakan dari PAS.
Perseteruan antara mereka lebih jelas selepas PRU 2013 itu dan tidak mampu diredakan walaupun PAS mempunyai peluang. PAS berpeluang kekal sebagai kerajaan jika menerima pelawaan Anwar untuk membentuk kerajaan perpaduan. Namun atas faktor perseteruan itu, mereka gagal disatukan.
Disaat Anwar sedang berada dipuncak kuasa, menyerlahkan bakat dan keupayaannya menerajui Malaysia dan Asia Tenggara. Adakah Hj Hadi mahu berundur. Disaat PAS mempunyai kekuatan har ini, jika Hj Hadi berundur, siapalah yang mampu menggugat Anwar? Maka dapat dilihat bahawa Hj Hadi dijangka tidak akan mengundurkan diri dalam pemilihan PAS kali ini demi menumpukan lonjakan besar PAS menuju PRU ke-16.