SelangorToday

ULASAN | MAMPUKAH PASUKAN ‘KITA PEMUDA’ MENDOMINASI KEPIMPINAN PEMUDA AMANAH

Esok Pemuda AMANAH Nasional bakal mengadakan proses pemilihan yang menyaksikan pertembungan gagasan antara kelompok Pemuda AMANAH yang membawa idea dan kepimpinan ‘Kita Pemuda’ serta satu lagi kelompok menggagaskan idea dan kepimpinan ‘Arah baru’.

Sejak proses pemilihan di peringkat kawasan mula berlangsung dua bulan lalu, pertembungan antara 2 kelompok ini dilihat sebagai perlawanan antara pasukan penyandang dan pasukan pencabar. Senator Hasbie Muda selaku penyandang dicabar oleh exconya sendiri dari Perak, Azhar Rahman. Pengumuman demi pengumuman menunjukkan pihak ‘arah pemuda’ benar-benar mahu mengetuai sayap pemuda itu.

Sebaliknya Senator Hasbie lebih bersikap tenang dalam menjawab pelbagai dakwaan pasukan lawan kepada beliau. Tumpuan beliau lebih kepada peranan yang beliau mainkan sebagai anggota legislatif di Dewan Negara memandangkan beberapa bulan ini pelbagai RUU perlu dibahas dan diluluskan termasuk Belanjawan Madani 2024.

Namun pada Selasa lalu, Danial Al-Rashid Harun bersama calon Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional bagi zon tengah mengisytiharkan kerjasama mereka dengan Senator Hasbie bagi pemilihan kali ini. Meskipun Senator Hasbie tidak mengumumkan secara konkrit siapakah pasukan beliau, tetapi pengumuman kerjasama wakil rakyat Batu Tiga Shah Alam itu menandakan bahawa mereka akan membentuk pasukan ‘Kita Pemuda’ bersama Senator Hasbie.

Senator Hasbie tidak mudah dikesampingkan dalam pemilihan kali ini, memandangkan beliaulah orang yang dipilih atau diminta untuk mengemudi Pemuda AMANAH Nasional ketika organisasi tersebut berkeadaan lemah dan tepu akibat situasi politik dan konflik kepimpinan. Beliau menerima tanggungjawab tersebut disaat AMANAH sedang menjadi pembangkang dan menerima tamparan setelah satu demi satu wakil rakyatnya berpindah parti.

Senator Hasbie juga bukan pemimpin berisi kosong, jika diamati hujah beliau di Dewan Negara beliau mempunyai keupayaan intelektual yang tinggi menjadikan hujah beliau ketika berbahas sangat konstruktif. Beliau sering dijemput dalam Program Selamat Pagi Malaysia dan Bual Bicara Bernama bagi memberikan pendapatan, idea dan jawapan balas kepada dasar kerajaan sejak Malaysia MADANI digagaskan.

Mengenai Danial pula, selepas berjaya menumbangkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat era PN, Rina Harun di kerusi DUN Batu Tiga, nama beliau sering menjadi bualan media memandangkan beliau juga Ketua Pemuda HARAPAN Selangor.

Untuk rekod, Danial juga mengalami keadaan yang sama dengan Hasbie apabila perlu mengambil alih Pemuda AMANAH Selangor ketika ketuanya meletakkan jawatan dan menyertai parti baharu. Beliau kekal memimpin pasukan itu sehingga kini.

Danial pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Anak Istimewa Selangor atau ANiS. Jabatan yang ditubuhkan selepas Dr. Siti Mariah Mahmud dipilih sebagai Exco Wanita dan Keluarga Selangor tahun 2018. Danial berjaya mengemudi jabatan tersebut yang berperanan menyediakan pelbagai aspek kebajikan, kemudahan, latihan dan penerangan kepada anak-anak istimewa di Selangor. Sehinggakan Selangor berjaya menubuhkan Tadika khas untuk kanak-kanak istimewa di Selangor.

Arus perubahan itu memang selalu berlaku dan mudah untuk dilakukan. Tetapi hakikat yang perlu diterima bagaimana istiqamah sebuah perjuangan melakukan perubahan untuk. Mungkin gandingan Hasbie dan Danial mampu memberi nafas segar dan kukuh Pemuda AMANAH Nasional seterusnya melakukan pemerkasaan akar umbi berskala besar.

Jaminan itu ada memandangkan mereka berdua mempunyai testimoni sebagai pemimpin Pemuda AMANAH Nasional dan Selangor dan sentiasa berada dalam arus kepimpinan disaat AMANAH jatuh mahupun bangun. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai modal mereka dalam mengangkat kedudukan AMANAH dalam masyarakat melalui pencapaian dan keupayaan mereka sebelum ini.

Apa-apa pun kita serahkan kepada perwakilan esok untuk menentukkannya.

Exit mobile version