 
                Parti AMANAH Negara wujud dalam politik Malaysia atas beberapa faktor yang telah sedia diketahui umum termasuk dalam tulisan penulis sebelum-sebelum ini. Bagaimana pun peranan dan gaya politik Parti AMANAH dalam arus pasca normal serta memasuki gerbang Kerajaan Perpaduan, Parti yang bakal menjengah umur 1 Dekad September ini mempunyai citra tersendiri.
AMANAH tidak dapat lari dari herdikan dan pandangan sinis baik kawan dan lawan akan kewujudannya. Bekas pemimpin utama kepada pimpinan AMANAH satu ketika dahulu, Hj Abdul Hadi Awang meramalkan AMANAH mampu bertahan untuk beberapa bulan sahaja. Ada juga yang meramal serta mengharapkan AMANAH akan lenyap selepas PRU 2022 akibat Langkah Sheraton. Namun semua ramalan dan pengharapan itu terus meleset. AMANAH terus hidup dan bertahan mencapai umur 10 tahun.

Berbekalkan pimpinan utama yang bertindak secara kolektif di bawah kepimpinan Hj Mohamad bin Sabu, jumlah wakil rakyat yang turun dan naik, AMANAH kekal bertahan dalam politik Malaysia yang tidak ketinggalan sebagai pemain utama kepada setiap percaturan politik yang berlaku di tanah air. Bagaimanakah AMANAH mampu bertahan? Apakah ramuan yang diaplikasikan sehingga AMANAH mampu menafikan ramalan sinis Hj Abd Hadi serta memintas prestasi parti seperihan PAS yang lain termasuk BERJASA dan HAMIM?
Meskipun AMANAH itu wujud barulah sepuluh tahun yang lalu, namun mereka yang merintis jalan parti bertemakan ‘Jingga’ itu mempunyai pengalaman yang luas dalam Gerakan Islam termasuk membangunkan PAS. Pimpinan AMANAH hampir semua yang pernah diuji ketika jasad dan jiwa mereka dikorbankan untuk PAS. Berbanding ulamak konservatif muda yang menyingkirkan pimpinan AMANAH secara terancang, Hj Mohamad seorang menteri yang pernah dihambat ke dalam ISA selama 2 kali. Hj Khalid juga turut sama terkesan ditekan dibawah ISA akibat kelantangannya. Hj Salahuddin Ayub serta Mahfuz Omar merupakan pemimpin massa yang dipenjarakan semata-mata menolak kehadiran pasukan kriket Israel satu ketika dahulu.

Mereka tidak berganjak dalam perjuangan mengemudi PAS kerana yakin akan kepimpin Ustaz Fadzil Noor yang mengikat dan mengukuh perpaduan dalam PAS. Penasihat Umum AMANAH pula,Ustaz Ahmad Awang pernah dibekukan baik kedudukan dan peranan sebagai penjawat awam hanya kerana berani menegur tindak-tanduk sang Perdana Menteri yang bercanggah dari Islam era 80an dan 90an. Dr Mujahid, Dr Mohd Hatta, Dr Dzulkefly, Dr Mariah dan ramai lagi pimpinan AMANAH menganggap tekanan dari pihak berkuasa serta keluar masuk lokap merupakan resam biasa dalam perjuangan.
Sebab itu apabila Langkah Sheraton berlaku, pimpinan dari AMANAH lah mula-mula sekali yang sedia meninggalkan kedudukan sebagai menteri. Mereka tidak ralat untuk meninggalkan singgahsana yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepada mereka selama 22 bulan. Malah aksi mereka lebih berbisa apabila segala peruntukan sebagai ahli parlimen ditarik balik akibat ketidakstabilan politik. Ujian yang lebih berat pernah mereka alami satu ketika dahulu menjadikan mereka lebih optimis dalam menghadapi tekanan baru serta bertekad untuk terus bangkit menghidupkan AMANAH sebagai sebuah wadah mencerdikkan ummah.

Kedudukan AMANAH sentiasa menjadi perhatian umum kerana tidak melatah dengan keadaan politik yang sentiasa berubah-ubah. Setiakawan AMANAH kepada rakan sepakatannnya baik semasa pembangkang, menjadi kerajaan,menjadi pembangkang semula dan kini menjadi kerajaan sekali lagi telah meletakkan AMANAH mempunyai nilai dan kewibawaannya tersendiri. Dalam politik Malaysia yang menekankan kepada kecukupan angka, AMANAH yang mempunyai 11 orang ahli parlimen penggal lalu serta 8 orang ahli parlimen penggal ini turut menjadi sasaran buat kelompok gila kuasa untuk mendapatkan sokongan AMANAH. Pun begitu AMANAH kekal dengan setiakawannya walaupun akan dihimpit pelbagai tekanan.
Bagi AMANAH, setiakawan itu sebagai teras kepada kestabilan politik negara. Sikap pengkhianatan dan tikam belakang akan mewujudkan krisis dalam politik semasa yang mengakibatkan rakyat menerima impak buruknya. Sedangkan sepatutnya semua parti politk menerima setiap keputusan Pilihan Raya dengan terbuka dan mengambil jalan yang sederhana dalam persaingan politik.

AMANAH mengalah disaat kebuntuan agihan kerusi antara BERSATU dan KEADILAN sebelum PRU 2018, kesannya AMANAH diberi kepercayaan memimpin 5 kementerian serta 5 orang timbalan menteri. AMANAH kekal bersama Anwar Ibrahim meskipun dipujuk menyertai Perikatan Nasional. Kini AMANAH mendapatkan peranan dalam kementerian terkanan dan penting kepada orang melayu serta masyarakat. Setiakawan yang AMANAH pegang membantu AMANAH untuk terus subur dalam arus politik Malaysia.
Pasca kejatuhan Najib Tun Abdul Razak, pelbagai parti politik ditubuhkan. Kedinamikan dan rencam ini memaksa AMANAH memilih satu sudut untuk kekal bertahan dan terus menumbuh dalam politik Malaysia. Justeru AMANAH berpegang kepada prinsipnya dalam setiap percaturan politik. AMANAH tidak goyah dengan gelombang yang membadai politik negara kerana berpegang kepada prinsip sama ada prinsip parti yang dijiwai atau prinsip yang ditemeterai dalam pakatan politik. Prinsip yang AMANAH pegang memandu hala tuju parti yang mengikat kedudukan mereka.

AMANAH akan turut dikenang sebagai parti yang mencipta sejarah tersendiri dalam politik Malaysia apabila merekalah antara yang menaikkan semula Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, AMANAH jugalah antara parti yang membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional yang ditentang bertahun-tahun lamanya dahulu. Paling gemilang apabila AMANAH lah antara parti yang berjaya menjulang Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang didambakan lebih 20 tahun itu. Semua ini bukan semata-mata dilihat untuk keuntungan politik semata-mata, lebih utama ditentukan atas prinsip yang telah ditetapkan oleh AMANAH sendiri.
Justeru keberadaan AMANAH selama satu dekad ini tidak boleh dipandang enteng, sebaliknya mempercayai dan meyakini bahawa AMANAH melalui payung ‘Rahmatan Lil Alamin’ bakal menjadi parti kini dan masa depan yang lebih memenuhi citra masyarakat Islam di Malaysia. Lantas menenggelamkan parti sejarah yang penuh kekerasan dan elemen kebencian.
Cikgu Syazmir HN
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            