SelangorToday

ULASAN | MENAFSIR KARENAH KETUA PEMUDA UMNO KE-15

UMNO sebagai parti tertua di Malaysia memilih jalan politik yang tidak terfikir dek akal sebelumnya apabila mereka bersetuju menubuhkan kerajaan persekutuan bersama Pakatan Harapan(HARAPAN) yang dianggotai oleh KEADILAN, AMANAH, DAP dan UPKO. Pemilihan tersebut dianggap sebagai satu pilihan terbaik buat masa itu memandangkan alternatif keduanya adalah bersekutu bersama BERSATU dan PAS yang jelas sebelum ini menikam UMNO ketika mereka memerintah bersama.

Desas-desus bantahan daripada beberapa pimpinan UMNO-BN menentang kerjasama antara BN dan HARAPAN itu jelas kelihatan apabila senarai sepuluh ahli parlimen BN yang telah menyatakan sokongan kepada Mahiaddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri mula tersebar. Gerakan untuk menolak kerjasama dengan HARAPAN itu tersekat apabila perjanjian telah ditermeterai sebelum calon bertanding dalam Pilihan Raya yang memberi mandat kepada Pengerusi BN untuk menentukan kerjasama selepas PRU.

Namun pasca pemilihan UMNO selepas PRU ke-15, muncul nama Akmal Saleh yang berjaya memenangi kedudukan sebagai Ketua Pemuda UMNO ke-15. Diharapkan menjadi panglima perang yang memperkukuhkan UMNO sebagai sebahagian parti pemerintah perseketuan, jangkaan itu mula meleset apabila Akmal dilihat lebih kritikal dengan kerajaan yang terbina atas titah Yang Dipertuan Agong itu. Malah selepas Konvensyen Perpaduan yang disertai oleh semua parti dalam kerajaan perpaduan temasuk sayap-sayap wanita, pemuda dan wanita muda, Akmal kelihatan lebih agresif bertembung hujah dengan pimpinan kerajaan.

Apakah yang sedang berlaku antara Akmal dan pimpinan kerajaan perpaduan? Lebih utama, apakah isyarat yang sedang dibawa oleh Akmal yang baru pertama kali menjadi wakil rakyat itu dalam setiap karenahnya bersama kerajaan?

Harus difahami, Akmal adalah pimpinan muda UMNO yang diberi tanggungjawab ketika UMNO masih berada dalam keadaan minoriti politik Malaysia. Namun Akmal sedikit beruntung apabila memimpin ketika UMNO masih sebahagian daripada kerajaan berbanding Asyraf Wajdi yang mengemudi Pemuda UMNO ketika UMNO menjadi pembangkang. Situasi kedua-duanya mendesak Pemuda UMNO dilihat sebagai berprestasi tinggi mengemudi sayap itu dengan harapan UMNO kembali mendominasi politik Malaysia khususnya melayu. Jelas Akmal kelihatan terdesak untuk menguasai sokongan undi melayu dengan beberapa langkah politiknya seperti memboikot kedai yang memanipulasikan Kalimah ‘Allah’ dan menggenakan syarat penguasaan bahasa melayu sebelum diberi peluang menyertai matrikluasi.

Saranan Akmal itu dari satu sudut amatlah berpatutan, namun apabila memilih laluan lebih keras sehingga menjadi pertelingkahan dengan rakan seperpaduannya, Akmal seolah-olah sedang memilih haluan berbeza dengan pimpinan UMNO. Kelihatan sangat ketara, pimpinan UMNO seperti Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dr. Zambry Abd Kader dan Lokman Nor Adam mahu UMNO kembali bangkit dan menguasi segmen melayu dengan cara bersama rakan seperpaduan. Ini dibuktikan apabila mereka turun bersama meraih kembali undi melayu walau siapa pun wakil perpaduan yang bertanding dalam Pilihan Raya. Keutamaan pimpinan UMNO adalah mengukuhkan UMNO dalam kerangka politik kerajaan perpaduan.

Sebaliknya ia berbeza dengan Exco Kerajaan Negeri Melaka itu yang mahu mendapatkan undi melayu dengan berseteru dengan rakan perpaduan. Ia juga bertindak mirip pembangkang yang dikhayalkan dengan gelombang hijau. Terkini, Akmal ditempelak oleh beberapa pemimpin kanan UMNO apabila gagal memahami keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat terkait kedudukan ahli parlimen yang dipecat oleh BERSATU. Akmal kata Pengarah Komunikasi UMNO, Lokman Nor Adam dilihat sebagai jurucakap Perikatan Nasional(PN) yang terikut dengan kenyataan Ahli Parlimen Pagoh, Mahiaddin selepas kecewa dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mungkin Akmal bercita-cita besar untuk menjadi lebih baik atau setaraf Harun Idris, Anwar Ibrahim mahupun Dr. Ahmad Zahid yang berupaya mengangkat imej Pemuda UMNO dengan nilai dan idealisme perjuangan yang terarah dan rasional meskipun ada ketika mereka kritikal dengan UMNO induk.  Tetapihakikatnya ia jauh berbeza dengan karenah Akmal hari ini. Adakah langkah Akmal telah berjaya meraih sokongan melayu kepada UMNO? Atau Akmal berjaya menambah sokongan melayu kepada PN?

Seharusnya ruang yang diberikan sebagai ketua sayap UMNO digunankan sehabis baik untuk mendapatkan sokongan pengundi muda melalui strategi yang lebih matang dan tidak memanipulasikan kecerdikan rakyat. Setelah rakan sekutu UMNO seperti MCA hilang daya upaya untuk merebut sebarang undi dalam Pilihan Raya, Akmal sepatutnya bekerjasama dengan pimpinan muda KEADILAN, DAP dan AMANAH untuk mengekalkan kelangsungan UMNO dalam politik Malaysia.

Akmal perlu mengelak daripada bertindak yang tidak menguntungkan UMNO sehingga dikatakan Akmal dipilih sebagai Ketua Pemuda hanya kerana tiada pilihan lain. Ini amat mengecewakan. Potensi yang ada pada Akmal harus dialirkan kepada pembangunan UMNO semula dengan bergerak sebagai parti nasionalis yang lebih moderat dan terpimpin. Tidak sepatutnya Akmal berkelakuan untuk menguntungan pihak lawan yang jelas sekali mahu UMNO diruntuhkan dalam arus politik Malaysia.

Adakah Akmal yang mempunyai taraf pendidikan seorang Doktor kesihatan tidak mempunyai idea yang baik berbanding Rafizi Ramli dalam merangkul semula sokongan melayu kepada UMNO? Atau Akmal telah memilih jalan yang mudah untuk menggunakan strategi yang sama digunakan oleh PAS khususnya panglima mereka Sanusi Md Nor untuk mempengaruhi orang melayu?

Banyak ruang untuk Akmal menjadi sehebat Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam, Wan Ahmad Mokhtar, Sanusi Junid dan Abdullah Ahmad Badawi setelah menduduki kerusi Ketua Pemuda UMNO. Mereka yang disenaraikan tidak pun menjadi Ketua Pemuda, tetapi berjaya membawa nama dan imej yang menyerlah serta mempunyai jasa dan pengorbanan kepada rakyat. Inikan pula Akmal mempunyai kedudukan itu berbuatlah satu yang bermanfaat untuk parti dan bangsa melayu.

Exit mobile version