SelangorToday

ULASAN | Merungkai Jawapan Mengapa Artis Pilih AMANAH

ULASAN | Dua minggu berturut-turut, Parti AMANAH Negara menerima kemasukan anak-anak seni yang pernah mencipta fenomena dalam Industri muzik dalam keluarga besar Parti AMANAH. Anak jati Negeri Johor Darul Takzim yang popular dengan lagu ‘Takdir dan Waktu’ serta ‘Bayangan Gurauan’ iaitu Rahmad Tohak dari kumpulan Rock termasyur ‘Mega’ telah menyerahkan borang penyertaannya sebagai ahli AMANAH kepada Hj Mohamad Sabu selaku Presiden parti.

Selain itu, turut menyertai AMANAH juga adalah vokalis Kumpulan Rock ‘Okay’, Nazrin Ahmad semasa AMANAH mengadakan program khasnya di Johor minggu lalu. Penyertaan itu disambut oleh Timbalan Presiden AMANAH, Dr Mujahid Yusof serta Pengerusi Negeri, Aminolhuda Hassan. Penyertaan ini memperlihatkan satu persepsi baharu buat AMANAH yang sebelum ini(di peringkat awal penubuhan parti serta era awal AMANAH menjadi Kerajaan Persekutuan) menerima kemasukan tokoh-tokoh agamawan yang moderat namun tinggi keilmuan dan pengalamannya.

Justeru kemasukan anak-anak seni dalam AMANAH ini bukan sahaja membina jaringan yang lebih meluas tetapi ia juga telah mengukuhkah kedudukan dan imej AMANAH sebagai sebuah parti yang merangkul kepelbagaian dalam bingkai Islam. Pemilihan AMANAH sebagai jalur buat kelompok yang pelbagai pastinya atas tekad dan komitmen masing-masing dalam menghayati konsep Islam yang sebenar lantas mahu menjalani kehidupan dalam keadaan yang lebih harmoni. Sudah tentu sebagai anak seni, Rahmad dan Nazrin menyertai AMANAH bukan menjadikan kedudukan dan keuntungan berpolitik sebagai matlamat utama, kemasyuran yang lebih tinggi pernah mereka rasai dizaman kemuncak mereka. Namun yang lebih utama adalah turut sama menjadi sebahagian dari jaringan yang memacakkan konsep Rahmatan Lill Alamin dalam kehidupan dan bernegara.

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”  Surah Al-Anbiya ayat 107.

AMANAH seperti yang diketahui umum meletakkan Gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin sebagai payung utama dalam meneruskan kelangsungan, menghadapi cabaran serta mencongak masa depan. Atas prinsip Rahmat yang boleh dirujuk akan peranan dan pelaksanaannya melalui sosok mulai Rasulullah SAW yang diutuskan oleh Allah SWT. Utusan mulia ini bukan hanya dirasai keberadaan dan kasih sayangnya eksklusif untuk orang Islam sahaja, namun ia melimpah kepada yang bukan Islam. Toleransi serta hikmah yang menjadi pendekatan Rasulullah merupakan asas kepada politik Rahmatan Lil Alamin yang diperjuangkan oleh AMANAH.

AMANAH menyedari Malaysia telah ditakdirkan oleh Allah SWT sebagai negara yang mempunyai kepelbagaian dalam budaya, beragama serta kelas sosial. Belum dikira lagi kepelbagaian dalam disiplin ilmu yang wujud akibat acuan fahaman dan demografi penduduk Malaysia. Maka AMANAH tidak menolak kepelbagaian itu, sebaliknya berperanan sebagai jalur yang merangkul kesemuanya dalam bingkai Islam. Anak-anak seni misalnya yang mahukan suasana yang harmoni, mendamaikan serta syiar Islam yang tertegak akan memilih AMANAH berbanding parti Islam yang lain.

Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.” – Surah Hud Ayat 118.

Pemilihan politik Rahmatan Lil Alamin ini bukan sahaja meletakkan anak-anak seni merasa selesa berada sebagai sebahagian daripada ahli keluarga, namun ia juga memposisikan peranan anak seni sebagai utusan dakwah dan tarbiyah kepada golongan tertentu. Seni sebagai salah satu disiplin ilmu harus diraikan keberadaan dan diiktiraf peranannya dalam mengembangkan jalur dakwah. Kepelbagaian itu wujud dan diakui oleh Islam oleh itu ada ruang dan peluang untuk semua kelompok berperanan mengangkat syiar Islam.

Seharusnya dalam ruang negara yang sedang bergerak laju mendepani cabaran global serta reformasi besar-besaran dalam negara, peluang itu mesti dimanfaatkan oleh masyarakat untuk melihat AMANAH sebagai parti yang sesuai untuk kini dan masa depan. AMANAH layak diangkat sebagai parti yang bepengaruh serta mendapat kepercayaan pelbagai kelompok kerana pendirian AMANAH dalam merangkul kepelbagaian dalam bingkai Islam.

Pilihan kepada AMANAH tidak wajar diragui keislamannya kerana AMANAH tetap berpegang kepada tauhid Islam yang satu walaupun menerima kepelbagaian agama lain. Mengakui kewujudan agama lain bukan bererti semua agama yang ada dunia ini adalah sama. Namun kepelbagaian yang wujud itu boleh dijadikan hujah untuk menyatakan kebenaran dan Islam.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version