 
                Pemilihan PAS peringkat pusat yang bakal berlangsung hangat menjelang September ini. Ini ditunjukkan dengan keputusan mengejut yang berlaku dalam pemilihan parti tersebut di peringkat kawasan yang sudah pun bermula sebulan lalu.
Wajah-wajah yang sebelum ini menjadi dambaan PAS sebagai figura yang mempunyai ketokohan dan kewibawaan seiring gelombang hijau yang kononnya melanda negara PRU 2022 itu ditewaskan oleh mereka yang berakar umbi di kawasan masing-masing. Misalnya baru semalam, satu-satunya ahli PAS yang berjaya dinobatkan sebagai Menteri Besar Perlis, Cikgu Shukri Ramli tidak berjaya memenangi jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Arau kali ini.

Meskipun kekalahan itu dianggap biasa oleh Shukri, namun ia menjadi petunjuk yang signifikan untuk melihat keadaan pemilihan PAS seterusnya. Logiknya, sebagai seorang Menteri Besar dari PAS,sewajarnya Shukri diberikan tempat diakar umbi sebelum kemudiannya ditempatkan di peringkat pusat sebagai pimpinan. Kewajarannya adalah bahawa sokongan Shukri yang berakar sehinga ke pucuk pimpinan akan melayakkan beliau kekal memimpin Kerajaan Negeri Perlis pasca pemilihan parti. Sebaliknya kekalahan beliau di kawasan tersebut bukan sahaja memberi ruang buat beliau(Shukri) bermuhasabah, namun ia akan memberi maksud bahawa orang lain perlu dipilih menggantikan sebagai peneraju negeri paling utara itu.
Lebih mengejutkan, hero PAS yang dilambung hingga langit ke-7 selepas PRU 2018, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut terhumban sama di Terengganu. Walaupun dari yang tersurat, Dr Samsuri mengundurkan diri sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, tetapi dari maksud tersirat. Ia seakan-akan menunjukkan jalan keluar buat Dr Samsuri dari negeri penyu bertelur. Mana tidaknya, seorang Menteri Besar buat penggal kedua dan calon Perdana Menteri dari PAS itu tidak mempunyai sebuah kawasan untuk diwakili.

Mengapa Dr Samsuri berundur sedangkan kedudukan itu dikhaskan buat beliau sejak berkhidmat di Terengganu? Apakah dengan tiadanya suara Dr Samsuri dalam Perhubungan PAS Terengganu, kedudukannya bakal digugat dan digantikan pihak lain? Persoalan ini muncul lalu menjadi persepsi yang berimpak setelah Dr Samsuri mengumumkan pengundurannya. Mahu tidak mahu, cakap-cakap pertukaran MB Terengganu itu kembali berkumandang.
Kini secara tiba-tiba, ahli PAS berkelulusan agama yang duduk dalam Dewan Ulamak PAS, Mokhtar Senik mencadangkan pemimpin PAS yang popular, Sanusi Muhammad Nur sebagai calon yang layak menduduki kerusi Naib Presiden PAS. Cadangan itu timbul disaat khabar angin yang menderu bahawa kedudukan Dr Samsuri di peringkat pusat juga semakin goyah. Jika benar sekalipun keyakinan Dr Samsuri bahawa beliau melepaskan jawatan dalam PAS Marang untuk menumpukan tugasnya sebagai Naib Presiden, ertinya Dr Samsuri sedang menumpukan untuk mempertahankan kedudukannya di pusat, tak begitu? Sebab bukan baru sekarang pakar aeroangkasa itu memikul tugas sebagai YDP PAS Marang serta Naib Presiden PAS dalam masa serentak? Mengapa sekarang baru perlu melepaskan tugas di Marang untuk menumpukan tugas di pusat? Tidak tertumpukah kerja Dr Samsuri sebelum ini? Atau benar wujudnya usaha mengeluarkan beliau dari Terengganu.

Berbalik kepada cadangan Mokhtar Senik itu, mengapakah pencalonan Sanusi bakal menggugat Dr Samsuri? bukannya Idris Ahmad mahupun Nik Muhd Amar. Dalam PAS, hubungan antara golongan agamawan dan profesional selalu meruncing. Sejak era 90an lagi, pertembungan itu berlaku. Siapa yang mengancam dan siapa yang terancam tidak perlu dibahaskan, namun dari krisis yang melanda PAS setahun 2015 dahulu telah membuktikan kelompok manakah yang sentiasa tidak menyenangi kelompok lain.

Oleh itu, dari 5 kepimpinan tertinggi PAS, hanya Dr Samsuri sahaja merupakan tokoh kelompok profesional. Itupun beliau memuncak naik selepas ramai golongan muslim demokrat meninggalkan PAS untuk menubuhkan AMANAH, serta jambatan emas yang disediakan oleh Hj Abdul Hadi Awang kepada Dr Samsuri. Apabila adanya usul untuk mencalonkan Sanusi yang juga dari kelompok bukan agamawan(aktivis) sebagai Naib Presiden, ia seakan-akan untuk memastikan undi ahli kepada kelompok bukan agamawan(aktivis & profesional) terbahagi dua. Sama ada undi yang sepatutnya pergi kepada Dr Samsuri berpindah ke Sanusi, atau undi yang diterima oleh kedua-duanya rendah tertinggal jauh dari calon Naib Presiden dari kelompok agamawan, yang pastinya kedua-dua keadaan menyebabkan Dr Samsuri tewas pertandingan itu.

Sebab itu cadangan mencalonkan Menteri Besar Kedah itu ditafsirkan sebagai usaha pihak tertentu yang mungkin mahu Dr Samsuri tidak lagi duduk sebagai Naib Presiden PAS. Mengapa Dr Samsuri yang didakwa perlu disingkirkan? Sebabnya banyak, tetapi yang paling jelas, anak emas Presiden PAS ini tidak disenangi pihak tertentu. Malah gembar-gembur yang mengatakan bahawa Hj Hadi mahu berundur sebagai Presiden PAS juga menjadi faktor Dr Samsuri wajar diturunkan, agar pengganti Hj Hadi mestilah dikalangan mereka yang tidak berminat kepada Dr Samsuri. Pemilihan dijangka terus hangat menjelang pencalonan dari kawasan-kawasan bagi jawatan PAS peringkat pusat.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            