Apabila gendang Pilihan Raya Umum Negeri Sabah dipalu, semakin rancak parti-parti politik menjalankan naratif kempen mereka bagi menawan hati rakyat Sabah. Paling ketara adalah keputusan parti komponen dalam Pakatan Harapan yang berasaskan Sabah iaitu UPKO meninggalkan gabungan yang menjadi tunjang Kerajaan Persekutuan.
Keputusan UPKO tersebut dibuat oleh Presidennya, Ewon Benedick sebagai tindak balas kelakuan Kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak sehaluan dengan semangat Sabahan. Sebelum itu semangat Sabahan merujuk kepada sentimen Sabah mesti dipimpin oleh orang Sabah dan Sabah menentukan halatujunya sendiri tanpa bergantung kepada Putrajaya. Oleh itu Ewon meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta membawa keluar UPKO dari PH. Secara tidak langsung, kedudukannya sebagai Pengerusi H Sabah juga terlucut sama.

Pun begitu, benarkan Kerajaan MADANI telah mengabaikan Sabah seperti kekecewaan yang digambarkan oleh Ewon. Apakah benar MADANI tidak menghormati semangat perjanjian MA63 yang menjadi asas pembentukan Malaysia? Ewon memberikan alasan bahawa MADANI tidak menghormati semangat MA63 sedang dizaman Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menterilah, lebih banyak tuntutan dalam perjanjian tersebut dilunaskan. UPKO juga mendakwa bahawa MADANI menolak hak 40% pemulangan hasil Sabah seperti yang diputuskan oleh mahkamah sedangkan MADANI hanya merayu kepada alasan penghakiman bukannya keputusan tersebut.
Dari sudut lain, UPKO dan Ewon dilihat sudah terperangkap dengan sentimen Sabahan yang sekian kali teralun menjelang Pilihan Raya. Meskipun WARISAN, STAR, SAPP dan GRS juga turut menerima tempias sentimen ini, namun UPKO kelihatan lebih ketara dalam berhadapan isu ini memandangkan UPKO merupakan komponen dalam PH. Kedudukan UPKO dalam PH dipersepsikan buruk sehingga menyebabkan keputusan meninggalkan PH dibuat. Dengan cara itu, UPKO akan kelihatan seperti wira rakyat Sabah sebagaimana yang didakwa oleh Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook.

Namun adakah benar sentimen Sabahan mesti dilaksanakan atau digerakkan seperti yang dibuat oleh UPKO. Sentimen itu digerakkan melalui corak konfrantasi dengan Putrajaya sebagai pemerintah utama Malaysia. Ia mirip dengan gerakan yang dibuat oleh WARISAN. Walaupun WARISAN juga merupakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dan seorang ahli parlimennya adalah Timbalan Menteri kepada Kerajaan MADANI, tetapi sejak setahun yang lalu, WARISAN semakin rancak berkonfranstasi dengan MADANI dalam perihal Sabah.
Begitu juga dengan STAR dan SAPP yang mulanya menjadi komponen GRS, bergerak sendirian atas faktor parti tempatan mesti memimpin Sabah, manakala tindakan GRS berkerjasama dengan PH merupakan satu usaha membelakangkan sentimen Sabahan. Justeru parti pimpinan Dr. Jefrrey Kitingan dan Yong Teck Lee itu dilihat memilih pendekatan berkonfrantasi ketika melakukan sentiman Sabahan. Bagi UPKO, WARISAN, STAR dan SAPP berkonfrantasi dengan Putrajaya merupakan jalan paling berkesan untuk menjayakan Sentimen Sabahan.

Adapun begitu, mengapa GRS pimpinan Hajiji Noor atau BN pimpinan Bung Mokhtar Radin memilih jalan yang lebih damai dalam melagukan sentimen Sabahan? GRS dan BN tidak terperangkap dengan sentimen tersebut tetapi menawarkan kerjasama yang lebih erat dengan Putajaya demi mengangkat Sabah sebagai negeri yang maju. Dengan cara itu, sentimen Sabahan bukan sekadar retorik, tetapi perjuangan yang berjaya melimpahkan kekayaan dan kesejahteraan kepada bumi Sabah.
Jika kita melihat kepada sejarah, parti-parti yang pernah memimpin Sabah semuanya ada dan pernah mengalami sentimen Sabahan. Namun bagaimana mereka membawa pendekatan sentimen tersebut kepada rakyat dan Putrajaya menjadi penentu kestabilan dan kemajuan Sabah.
USNO misalnya dipimpin oleh Tun Datu Mustapha dalam tempoh yang cukup baik sebelum diambil alih oleh Tun Said Keruak dalam tempoh yang singkat. Ketika kepimpinan USNO permulaannya, Sabah dan Kuala Lumpur sangat erat, mereka bekerjasama demi Sabah dan Malaysia. Tetapi apabila Tun Mustapha mula berkrisis dengan Tun Abd Razak, Sabah dan KL menjadi renggang. USNO mula berkonfrantasi dengan UMNO menyebabkan kestabilan Sabah terganggu. Pembangunan Sabah mula terbantut. Krisis negeri berlaku memaksa Tun diturunkan dan digantikan oleh Tun Said sebelum USNO ditolak rakyat dalam PRN 1976.
Apabila BERJAYA pimpinan Tun Fuad Stephens dalam tempoh enam bulan dan digantikan oleh Hariss Salleh menerajui Sabah, mereka memilih untuk bekerjasama dan seiringan dengan Persekutuan. Sabah dan KL kembali erat dan menerima pembangunan yang lebih pesat. Seakan-akan Sabah menerima kestabilan politik yang tuntas akibat daripada kerjasama yang kukuh antara Sabah dan Persekutuan. BERJAYA mampu memimpin Sabah selama 2 penggal tanpa sebarang gangguan. Jadi apa sebab BERJAYA tumbang 1985? Bukan kerana politik tetapi isu agama dan budaya antara rakyat Sabah sendiri menyebabkan Joseph Pairin Kitingan melalui PBS menang tipis PRN tersebut.


Sebagai wira baharu di Sabah, Pairin mengemudi Sabah secara konfrantasi dengan KL atau BN. Walaupun ada ketika PBS merupakan komponen dalam BN, tetapi aksi PBS yang dilihat bertegang dengan KL demi melihat lebih Sabah berbanding parti lain menyebabkan kedudukan politik Sabah terumbang-ambing. Kemajuan Sabah mula tersekat akibat permainan politik bersifat Sabahan. Kesannya rakyat Sabah gagal menerima pembangunan berpanjangan akibat turun naik sentimen Sabahan sejak zaman Tun Mustapah.

Akhirnya tahun 1994, PBS gagal bertahan dalam kerajaan dan BN melalui UMNO Sabah memimpin Sabah selama 24 tahun. Sejak itu krisis politik kurang berlaku di Sabah. Malah kestabilan yang dipacu berjaya meletakkan Sabah sebagai negeri yang pesat membangun.
Daripada kilasan sejarah yang tercatat, dapatlah dibuktikan bahawa sentimen Sabahan yang dilagukan secara konfrantasi seperti yang dipilih oleh WARISAN, UPKO, STAR dan SAPP lebih banyak merugikan kehidupan rakyat. Sedangkan kerjasama erat antara KL dan Sabah seperti yang diagendakan oleh GRS dan BN akan membina momentum yang lebih pantas kepada kemajuan Sabah. WARISAN sendiri satu ketika dahulu memilih sehaluan dengan PH di persekutuan tahun 2018 kerana apa? Demi mempercepatkan pembangunan Sabah. Justeru apakah yang lebih baik sama ada sentimen Sabahan dibawa secara rundingan atau konfrantasi telah ada jawapannya melalui catatan sejarah diatas.

