SelangorToday

ULASAN | SIAPA MASUK, SIAPA KELUAR ROMBAKAN KABINET 2023

Ura-ura yang Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk merombak kabinet semakin kencang, ia diakui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri 1 yang juga Presiden UMNO bahawa rombakan buat kali pertama setelah Kerajaan Perpaduan itu dibentuk akan berlaku dalam tempoh terdekat.

Namun sehingga hari ini, PM tidak membuat sebarang pengumuman dan telah pun berada di luar negara. Teori yang mengatakan bahawa rombakan akan dilakukan selepas pemenang PRK DUN Pelangai diumumkan ada kebarangkaliannya, tetapi ia menjadi sedikit celaru memandangkan Isnin ini(2 hari selepas PRK DUN Pelangai) Dewan Rakyat akan mula bersidang, manakala Belanjawan 2024 akan dibentangkan Jumaat ini. Munasabahkah rombakan berlaku ketika Dewan Rakyat bersidang serta sesi perbahasan Belanjawan sedang berlangsung.

Apa-apa pun segala keputusan luar jangka boleh berlaku dibawah era Kerajaan Perpaduan ini. Lebih penting lagi, siapakah politikus-politikus yang bakal masuk dan terkeluar daripada rombakan kabinet kali ini? Semua pengamal politik, penganalisis dan penyokong parti dalam Perpaduan sedang membuat jangkaan masing-masing. Sebaliknya yang panas punggung adalah mereka yang mengelilingi para menteri ketika ini sedang menghitung sama ada mereka kekal dengan kedudukan sekarang atau disingkirkan.

Tumpuan untuk beberapa portfolio penting sedang menjadi perhatian umum termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri. Kebetulan kementerian ini dipikul oleh pimpinan KEADILAN. Penulis beranggapan rombakan kabinet kali ini tidak akan menjejaskan kedudukan para pimpinan KEADILAN lapisan menteri. Paling kurang mereka akan bertukar portfolio. Kemungkinan mereka digugurkan amatlah tipis. Perlu diingat bahawa ahli politik mesti mempunyai unjuran langkah ke hadapan yang lebih banyak dalam setiap langkah ke depan yang diambil. Maka faktor politik juga mempengaruhi kedudukan pimpinan KEADILAN tidak terjejas.

Sebaliknya pimpinan KEADILAN lapisan timbalan menteri bakal mengalami pengguguran akibat kurang berjaya memberikan persembahan yang memuaskan termasuk tidak memberi kesan baik langsung kepada KEADILAN selaku parti utama dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagi DAP pula, mungkin dua nama yang mengalami kedudukan tidak selamat adalah V. Sivakumar dan Hannah Yeoh. Sivakumar mempunyai rekod yang sedikit terganggu akibat penahanan pegawai beliau sendiri setelah beberapa bulan menjadi Menteri. Kurang penonjolan beliau dalam menguasai keadaan semasa berkaitan pekerja dan gaji menjadi faktor nama beliau sedang dipertimbangkan semula.

Ini juga memberikan motivasi kepada pimpinan MIC yang dikatakan bakal kembali menyertai kabinet bagi mengukuhkan sokongan kaum India. Jelas Vigneswaran Sanasee selaku Presiden MIC tidak akan menyertai kabinet memandangkan beliau bukan ahli Dewan Rakyat dan ruang untuk beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara juga sudah habis ketika menjadi Speaker Dewan Tertinggi Parlimen itu. Maka S.Saravanan pemimpin paling kanan dan juga Ahli Parlimen Tapah itu mungkin politikus yang bakal berada dalam kabinet akan datang.

Dari segi luaran, Hannah Yeoh dilihat sangat cemerlang mengemudi Kementerian Belia dan Sukan. Namun atas pandangan politik, ia kurang memberikan impak baik kepada Kerajaan Perpaduan. Bukankah semua menyedari, KBS adalah kementerian generasi masa depan, KBS juga menjadi platform memperkukuhkan sokongan anak muda kepada pemimpin kerajaan. Apabila ia diuruskan secara lurus atau bersifat korporat tanpa serampang dua mata yang mampu memberi nilai tambah kepada kerajaan, maka ia sesuatu yang tidak baik kepada kerajaan.  Bekas menteri KBS berjaya memposisikan diri dalam masyarakat khususnya belia sambil memperkukuhkan aspirasi kerajaan. Ini mungkin satu yang tidak dicapai oleh Hannah Yeoh.

AMANAH lah parti komponen yang menunggu pengumuman PM memandangkan rombakan ini juga bertitik-tolak daripada pemergian Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Bagi penulis apa jua pandangan kepada Presiden AMANAH, Mohamad Sabu atas prestasinya dalam kabinet, beliau akan kekal sama seperti Anthony Loke dari DAP. Bagi pengganti Salahuddin dalam kabinet(tidak semestinya diberi portfolio KPDN)pula, dua nama sedang dijadikan tumpuan iaitu Naib Presiden AMANAH, Dr. Mujahid Yusof dan Adly Zahari. Mengikut posisi parti, kedua-dua mereka adalah pimpinan ketiga AMANAH manakala kedua-dua mereka layak diserap ke kabinet memandangkan Dr. Mujahid adalah Ahli Dewan Negara dan Adly adalah Ahli Parlimen Alor Gajah.

Bagaimana Aiman Athirah? Beliau bukan tidak layak malah dalam protokol HARAPAN beliau adalah Ketua Wanita HARAPAN. Namun jumlah menteri wanita yang sedia ada telah pun ramai, menyebabkan kebarangkalian untuk beliau dipilih adalah tipis. Mungkin beliau kekal sebagai Timbalan Menteri Wanita disamping adanya Setiausaha Politik Salahuddin, Suhaizan Kayat(Pulai), bekas Setiausaha Politik Menteri Wilayah, Hj Azli Yusof(Shah Alam) dan bekas Exco Kanan Kerajaan HARAPAN Johor, Aminolhuda Hassan(Sri Gading) yang bakal diserap sebagai timbalan menteri. Hanya Sany Hamzan(Hulu Langat) yang belum pernah diberikan peranan sebagai ahli pentadbiran(boleh jadi untuk dipilih), manakala Dr. Dzulkefly cukup rendah untuk diletakkan sebagai timbalan menteri.

UMNO sebagai rakan sekutu baru HARAPAN dilihat cuba bangkit sepantas mungkin untuk menyembuhkan luka PRU 2018 dan mengekang gelombang PN. Oleh itu, rombakan kabinet kali ini akan menjadi ruang pengukuhan UMNO kembali dalam politik Malaysia. Johari Ghani hampir pasti bakal menyertai kabinet. Cuma sama ada keinginan beliau mahu menerajui MOF tercapai ataupun diberikan tanggungjawab di Kementerian Wilayah. Menteri Besar Pahang juga dilihat ada potensi untuk menyertai kabinet bagi memastikan kesemua 5 pemimpin teratas UMNO mampu melebarkan pengaruh ke seluruh Malaysia.

Kedudukan Tengku Zafrul sahaja yang mungkin menjadi persoalan memandangkan tempoh beliau sebagai Ahli Dewan Negara bakal tamat dalam pertengahan penggal PRU ke-15 ini. Sama ada PM mahu menamatkan lebih awal atau menunggu tempoh itu berakhir dengan sendirinya. Prestasi beliau dalam menarik pelabur asing menjadi faktor beliau kekal dengan andaian UMNO perlu memikirkan bagaimana cara beliau perlu kekal dalam kabinet sehingga habis penggal PRU ke-15.

Perihal MCA mungkin amat mudah untuk dilihat, kemungkinan beliau dalam kabinet amatlah tipis, tapi sekurang-kurangnya MCA akan diberikan ruang sebagai timbalan menteri sama seperti ruang itu diberika kepada PBRS parti sabah yang menjadi komponen dalam BN. Manakala kedudukan menteri dan timbalan menteri dari UPKO, GPS, GRS dan WARISAN sukar untuk diramal memandangkan pengaruh mereka sangat kuat dan jumlah kerusi mereka dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara amatlah terhad.

Akhirnya, keutamaan rombakan ini adalah memberikan nafas yang lebih segar dan bertenaga dalam Kerajaan Perpaduan. Prestasi yang cemerlang itu mestilah mendapat suntikan atau pengaruh media yang padu agar ia benar-benar sampai ke akar umbi. Manakala pegawai yang dipilih mengelilingi menteri itu haruslah benar-benar berkeupayaan, bukan setakat kelulusan tinggi tetapi juga punya licik politik dan mempunyai reputasi baik dalam kalangan penjawat awam.

Exit mobile version