Penulis mengimbas kembali kisah politik antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim ketika mereka berdua berada di dalam dan luar kerajaan. Budi apakah yang dimaksudkan oleh Tun kepada Anwar dan tidak pernahkah Anwar berbudi kepada Tun?
- Apabila kenyataan media Tun Mahathir Mohamad yang diadakan 22 Januari 2024 telah membangkitkan kelakuan Anwar Ibrahim kepada beliau dan sahabatnya Tun Daim Zainuddin, timbul pula perihal jasa dan budi yang dua Tun ini telah lakukan kepada Perdana Menteri ke-10 itu.
- Kata Tun Mahathir melalui petikan berita dalam portal Malaysiakini, Tun mempersoalkan tindakan Anwar ini sebagai cara membalas budi kepada Tun dan Tun Daim setelah mereka membantu menaikkan Anwar sebagai pemimpin kerajaan.
- Kenyataan bekas Perdana Menteri selama 22 Tahun(kali pertama) dan 22 bulan(kali kedua) itu mendapat reaksi yang pelbagai dari penyokong dan pemimpin politik. Bagi pihak yang bersama Pengerusi HARAPAN, mereka mempersoalkan budi apa yang Tun Mahathir lakukan untuk Anwar sambil diiringi bahan-bahan bergambar mata lebam Anwar dan himpunan reformasi setelah ahli parlimen Tambun itu dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada 2 September 1998.
- Sebaliknya yang masih bersama Tun Mahathir membangkitkan ruang dan peluang yang Tun Mahathir berikan kepada Anwar didalam UMNO dan kerajaan sejak tahun 1982 hingga mereka berseteru. Anwar naik dalam tampuk kepimpinan tertinggi kerajaan dalam tempoh kurang 20 tahun yang dimulai sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada Menteri Kewangan.
- Apa yang sepatutnya dinilai, apakah Tun Mahathir sahaja berbudi pada Anwar atau Anwar juga turut pernah berbudi pada Tun Mahathir? Bagi penulis, mereka berdua pernah saling terhutang budi. Lebih utama ada ketika Tun Mahathir juga perlukan Anwar seperti mana ketika Anwar memerlukan Tun Mahathir.
- Ketika Tun Mahathir menerima tugas sebagai Perdana Menteri ke-4 daripada Tun Hussein On, pembangkang semasa itu amat lemah kesan daripada penyingkiran PAS daripada Barisan Nasional. Kerajaan ketika era 70an sentiasa berhadapan dengan tekanan daripada golongan belia yang diketuai oleh Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM).
- Tun Mahathir melihat peneraju ABIM, iaitu Anwar Ibrahim mempunyai bisanya tersendiri yang mampu mengganggu kelancaran kepimpinan politik Tun Mahathir. Sebagai seorang intelektual politik yang pernah menganggu-gugat kepimpin Tunku Abdul Rahman, Tun Mahathir sekali lagi melaksanakan strategi politiknya dengan mempelawa Anwar untuk menyertai UMNO.
- Dengan cara itu, keberadaan Anwar dalam kerajaan akan melumpuhkan pergerakan ABIM yang sedang merancak sebagai badan pendesak kerajaan. Kedua, Tun Mahathir berjaya mengawal tindakan dan teguran Anwar kepada kerajaan memandangkan Anwar telah pun berada dalam kerajaan. Secara tidak sedar Tun menerima manfaat(budi) daripada penyertaan Anwar ke dalam UMNO.
- Walaupun apa pun cerita yang disampaikan oleh pelbagai pihak tentang Anwar menyertai UMNO, Tun bersedia menerima orang yang hampir seratus peratus tidak serasi dengannya sebagai anak buahnya. Sudah pasti kerana langkah tersebut mendatang keuntungan kepada Tun khususnya.
- Baik sebagai Ketua Pemuda UMNO, Naib Presiden UMNO mahupun sebagai Timbalan Presiden UMNO, Anwar merupakan tokoh yang paling terkehadapan mempertahankan Tun ketika diserang oleh musuh dalam selimut atau musuh yang nyata.
- Ketika kepimpinan Tun Mahathir ditekankan oleh kumpulan yang menentangnya seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musah Hitam, Anwar lah antara yang mempertahankan Tun Mahathir selain Sanusi Junid dan Mohamed Rahmat.
- Penentangan yang kuat oleh team B meletakkan kedudukan Tun Mahathir berada di hujung tanduk setelah beliau sanggup mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan tetap menjadi Perdana Menteri meskipun jika kalah sebagai Presiden UMNO. Maka pengaruh Anwar dan Najib selaku bekas Ketua Pemuda UMNO dan penyandang Ketua Pemuda UMNO telah memberikannya kepada Tun untuk menerajui UMNO bagi penggal tersebut dengan kelebihan sebanyak 43 undi sahaja.
- Jika Anwar seorang orator dan menteri pertanian tidak memberikan sokongan kepada Tun Mahathir seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi(Pertahanan) dan Tan Sri Shahrir Samad(Kebajikan Masyarakat) hampir pasti Tun tidak lagi menjadi Presiden UMNO.
- Semasa Tun Mahathir memecat Anwar pada tahun 1998 pula, sokongan masyarakat melayu kepada UMNO merosot. PAS yang menjadi pendamping utama Anwar selepas tersingkir daripada kerajaan mendapat 27 kerusi di Parlimen bawah teraju Ustaz Fadzil Noor. Momentum melayu yang tidak meningkat kepada UMNO menyebabkan Tun Mahathir mengungkit sikap melayu mudah lupa seperti mana sajak yang beliau sampaikan ketika Perhimpunan Agung UMNO dan kemudian bersedia untuk meletakkan jawatan.
- Tun terpaksa meletakkan jawatan demi memastikan UMNO kembali menjadi pilihan orang melayu setelah langkahnya memecat Anwar. Jika Tun percaya UMNO akan kembali kukuh tanpa Anwar, mengapa Tun sanggup menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Tun Abdullah yang beliau tidak pernah yakini untuk mewarisi kepimpinannya. Kesannya Tun kembali menyerang Tun Abdullah setelah citarasanya tidak diendahkan oleh tun Abdullah.
- Lumpuhnya pergerakan politik Tun akibat tindakan beliau berseteru dengan Anwar. Walau apa pun sebab Tun bertindak kepada Anwar, jelas penyingkiran Anwar telah menamatkan riwayat politik Tun sebagai Perdana Menteri ke-4. Sedangkan ketika Anwar bersama Tun, Tun masih kekal menjadi PM walaupun kekuatan pihak lawannya mengusai separuh ahli UMNO dan jemaah menteri(Team Tengku Razaleigh 1987).
- Akhirnya Tun melihat keupayaannya untuk menjatuhkan Najib Tun Razak pada tahun 2018 tidak akan berjaya tanpa sokongan dan dokongan Anwar Ibrahim. Jika Tun Mahathir mampu menumbangkan ahli parlimen Pekan itu, tidak perlu Tun Mahathir sanggup turun ke mahkamah demi mendapatkan sekeping gambar bersama Anwar sebagai tanda persetujuan Anwar bahawa Tun Mahahthir adalah rakan gabungan Pakatan Harapan untuk menumbangkan Najib.
- Strategi tu berjaya mengalahkan BN di kesemua negeri kecuali Pahang dan Perlis. Dan Tun Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri kali kedua atas dokongan 80% daripada parti berketua Anwar Ibrahim. Riwayat politik Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri setelah Anwar bersedia memberikan laluan.
- Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan kisah politik Tun Mahathir dan Anwar, bahawa mereka berdua saling berbudi antara satu sama lain demi bertahan dalam arena politik Malaysia. manakala budi yang ditaburkan tidak boleh menjadi halangan kepada tindakan diambil kepada salah laku yang dibuat oleh seseorang. Amalan ini pastinya merencatkan pembangunan negara jika budi dijadikan asas kepada tindakan pelapasan kepada sesuatu hal.