SHAH ALAM, 10 April – Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof mengingatkan semua pihak agar berlaku adil dalam menilai sesuatu isu walaupun berbeza pandangan politik, khususnya dalam membincangkan kenaikan harga minyak yang sedang berlaku.
Beliau memetik peringatan agar kebencian terhadap mana-mana pihak tidak mendorong seseorang berlaku tidak adil, sebaliknya keadilan perlu ditegakkan berasaskan kebenaran dan ketakwaan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kenaikan harga bahan api bukanlah sesuatu yang disengajakan, sebaliknya berpunca daripada faktor global termasuk konflik di Timur Tengah melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel yang menjejaskan kestabilan pasaran minyak dunia.
“Perbincangan yang sihat dan berasaskan fakta amat kita hargai kerana ia mencerminkan kematangan rakyat. Namun, terdapat juga pihak yang membuat tuduhan tanpa asas sehingga boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.
Kenyataan beliau dilihat merujuk kepada pandangan Presiden Parti Islam Se-Malaysia, Abdul Hadi Awang yang sebelum ini mendakwa kenaikan harga minyak di Semenanjung tidak berasas.
Dalam kenyataan tersebut, Abdul Hadi mengingatkan umat Islam agar tidak membiarkan diri ditipu oleh helah politik dan ekonomi, termasuk isu kenaikan harga minyak. Beliau menegaskan tiada sebab kukuh untuk harga minyak dinaikkan di Semenanjung Malaysia kerana negara mempunyai sumber petroleum sendiri dan tidak terlibat dalam sekatan antarabangsa terhadap Iran di laluan strategik seperti Selat Hormuz.

Mengulas lanjut, Azli menjelaskan bahawa isu harga minyak tidak boleh dinilai secara simplistik kerana ia melibatkan pelbagai faktor seperti harga minyak mentah global, kos penapisan, logistik, insurans, kadar pertukaran mata wang serta ketidaktentuan geopolitik.
Tambahnya, pasaran minyak dunia yang saling bergantung menyebabkan semua negara terkesan, termasuk yang berada jauh daripada konflik atau tidak terlibat secara langsung di laluan strategik seperti Selat Hormuz.
“Ini adalah realiti global yang dihadapi bersama, bukan isu unik kepada Malaysia sahaja,” jelasnya.
Mengulas langkah kerajaan, Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu berkata pelbagai usaha telah diambil bagi mengurangkan beban rakyat termasuk meneruskan subsidi bahan api, sekali gus memastikan harga yang dibayar rakyat kekal antara yang terendah berbanding negara lain.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan bersama agensi berkaitan dan pakar ekonomi terus berusaha mencari keseimbangan antara kemampuan fiskal negara dan kebajikan rakyat.
“Keputusan yang dibuat bukan mudah, tetapi melalui pertimbangan teliti. Oleh itu, masyarakat diseru agar menilai isu ini secara adil, berpandukan ilmu dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat,” katanya.