Ahli Parlimen Shah Alam, Yang Berhormat Khalid Samad menempelak UMNO-BN seolah-olah mahu menjadi hero dalam memimpin kestabilan politik di Malaysia. Katanya dalam bahan kempen Pilihan Raya Negeri Johor, beliau mendakwa bahawa UMNO-BN bekerjasama dengan PAS dan PBBM serta pelarian KEADILAN meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih oleh rakyat dengan memberikan sokongan kepada Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 8.
Setelah mereka semakin tersepit, mereka menarik sokongan yang sebelum ini diberikan kepada Mahiaddin sehingga Ahli Parlimen Pagoh itu terpaksa melepaskan jawatannya sebagai PM. Sekali lagi, Istana terpaksa memilih seorang PM baharu. Tambah Pengarah Komunikasi AMANAH itu, kini UMNO-BN membuat kucar-kacirnya di Johor apabila bertindak membubarkan DUN Johor walaupun tiada siapa termasuk pembangkang menggangu kerajaan Johor yang sedia ada.
Tindakan mengadakan PRN Johor itu semata-mata mahu memperoleh kuasa yang lebih besar untuk bebas melaksanakan ketirisan yang pernah berlaku sebelum PRU 2018 dahulu. Maka Mantan Menteri Wilayah itu menggesa rakyat Johor mengundi PH sebagai pilihan mandat rakyat sebelum ini dan hanya PH yang mampu mengukuhkan kestabilan politik di Malaysia seperti MOU yang ditandatangani oleh PH dan pihak kerajaan. Rakyat Johor diingat jangan tertipu dengan dakyah UMNO-BN.