Pengerusi AMANAH Selangor menempelak sesetengah pihak yang menyatakan bahawa melayu islam akan terancam teruk dibawah pemerintahan Pakatan Harapan sama ada menjadi kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri. Dalam ucapan Jelajah Harapan Rakyat yang diadakan di Pandan Dalam Rabu lalu, Yang Berhormat Ir. Izham Hashim menyatakan bahawa yang terancam sebenarnya ialah UMNO yang menjadi pembangkang buat pertama kalinya selepas 10 mei 2018. Beliau menambah, UMNO dan wang tidak boleh dipisahkan, tanpa wang,UMNO tidak mampu bergerak dan bertahan sebagai kerajaan. Maka UMNO menggunakan isu-isu perkauman untuk menggoyahkan kerajaan PH satu ketika dahulu. Rakan-rakan yang termakan umpan daripada UMNO terus terperangkap dan menumbangkan kerajaan PH. Kini tegas Izham, UMNO pula menjatuhkan rakan-rakan yang membentuk kerajaan bersama mereka dahulu dan kembali memerintah negara.
Izham yang juga Exco Kemudahan Awam dan Infrastuktur, Pemodenan Pertanian dan Asas Tani Selangor itu memberi jaminan bahawa di Selangor kerajaan masih stabil dan akan kukuh sehingga PRU ke-15 berbanding negeri Johor dan Melaka sehingga perlu diadakan Pilihan Raya Negeri. Tetapi Izham tetap melihat bahawa perangai UMNO yang tidak boleh menjadi pembangkang mahupun sebagai pengikut menyebabkan rakyat yang terpaksa disusahkan melalui Pilihan Raya.
Menyentuh pertarungan dalam PRU akan datang, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah itu melihatnya, hanya PH plus dan BN sahaja yang akan menjadi tumpuan di Negeri Selangor. meski di negeri lain, UMNO begitu angkuh dan sombong bertanding sedirian, namun di Selangor, UMNO perlukan PAS melalui Muafakat Nasional untuk memasuki pilihan raya dan menunggang isu kaum dan agama. Beliau mahu rakyat membuka mata bahawa UMNO akan tetap berperangai menyusahkan rakyat selagi belum kita tamatkan riwayatnya melalui mengalahkan beliau dalam PRU yang akan datang.