Meskipun hanya ada seorang ahli parlimen sahaja, langkah MUDA nampak cergas dan pantas seiring dengan namanya
- Parti MUDA atau nama penuhnya Ikatan Demokratik Malaysia menjadi perhatian umum sejak ia ingin ditubuhkan sehinggalah ia rasmi ditubuhkan. Tambahan lagi, apabila UMNO-BN membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor dan mengadakan Pilihan Raya Negeri menyebabkan Parti MUDA lebih dipandang dalam arena politik.
- Meskipun hanya ada seorang ahli parlimen sahaja, langkah MUDA nampak cergas dan pantas seiring dengan namanya. Sebagai parti paling muda ditubuhkan dari pihak pembangkang, MUDA mampu menjana kutipan dana dalam sesuatu program dengan lebih tinggi. Ia dilihat sebagai tanda-tanda bahawa MUDA mendapat sokongan yang kuat dari pelbagai pihak.
Nasib Untung MUDA
- Seperti diawal penulis perkatakan, PRN Johor mampu melonjakkan nama MUDA dipersada politik jika gerakannya dalam melangkah atau mencatur politik kena pada tempatnya. Dahulu MUDA telah ditekan berkali-kali apabila penubuhan beliau dihalang oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan pelbagai alasan. Memandangkan MUDA tidak bersama parti pemerintah sama ada BN dan PN, lebih sukar untuk pemohonan menubuhkan MUDA diluluskan. Namun mereka yang dipimpin oleh Yang Berhormat Syed Saddiq tidak mengaku kalah dan membawa ke mahkamah. Akhirnya keputusan mahkamah menyebelahi MUDA. Ini nasib untung yang diperoleh MUDA sedang semasa PKR dan AMANAH hendak ditubuhkan dulu terpaksa mengambil alih parti sedia ada atas sebab penubuhannya bersifat anti-kerajaan.
- MUDA juga dilihat memperoleh nasib untung apabila dalam PRN Johor, PH sepakat memberikan beberapa kerusi untuk ditandingi oleh MUDA seterusnya melangkah dalam PRN Johor sebagai rakan startegik PH. Sehingga 10 Februari 2022, PH melalui PKR, AMANAH dan DAP, masing-masing menawarkan 3 kerusi, 4 kerusi dan 2 kerusi kepada MUDA. Langkah ini adalah permulaan kepada agenda besar yang sering dilontarkan oleh AMANAH dan DAP pasca langkah Sheraton. MUDA dilihat terbuka bekerjasama dengan PH, dan sebagai balasan, 9 kerusi lumayan diberikan kepada MUDA untuk ditandingi. Maka ini adalah nasib untung buat MUDA juga kepada PH jika dilihat pada dalam kerangka besar.
Arah tuju MUDA
- Dalam pertarungan PRN Johor kali ini, undi 18 ataupun pengundi dari umur 18 sehingga 20 tahun akan menjadi antara penentu kemenangan seseorang calon selain pengundi sedia ada 21 tahun keatas. Hampir kesemua parti-parti politik tidak mampu membuat ramalan dan andaian memandangkan mereka gagal melihat perimeter yang jelas menilai sokongan anak-anak muda dalam sesuatu pilihan raya. Berapa ramaikah pengundi baru? Berapa peratus pengundi baru yang akan keluar mengundi? Apakah faktor yang boleh mendorong pengundi baru mengundi calon? Ini antara pemboleh ubah yang dinilai setiap kali pilihan raya tetapi kali ini tiada jawapannya. Kesemua parti hanya mencatur dengan mata tertutup sebelah.
- Tidak terkecuali juga, MUDA harus bergerak laju tanpa meninggalkan arus undi 18 ini. Namun penulis ingin membangkitkan beberapa persoalan agar boleh dijawab oleh pimpinan MUDA seterusnya menyebarkan luas kepada masyarakat. Selain Syed Saddiq, mungkin Dr. Thanussha Francis selaku Naib Presiden MUDA atau Cik Amira Aisya selaku Setiausaha Agung MUDA untuk menjawabnya.
- PRN Johor kali ini boleh dijadikan paltform utama MUDA menyebarkan isi perjuangannya kepada masyarakat di Johor. Memandangkan ia PRN pertama undi 18 tahun, maka segala tindak tanduk parti politik termasuk MUDA akan diambil kira oleh pengundi negeri-negeri lain. MUDA pernah menyatakan bahawa MUDA bukanlah parti berasaskan orang muda semata-mata, tetapi berpegang kepada kesatuan pelbagai kaum. Namun,apakah segmen pengundi yang akan disasarkan oleh MUDA dalam pilihan raya? Sedang parti yang mahu membawa nilai perpaduan kaum juga perlukan segmen pengundi yang jelas untuk disasarkan. Jika sebaliknya MUDA bertanding atas nama mahu merangkul suara orang muda dalam politik semasa, adakah MUDA akan bertanding sebanyak kerusi yang ada di seluruh negara kerana hampir semua kawasan mempunyai pengundi 18 tahun pada PRU akan datang?
- Pastinya MUDA mempunyai kelainan berbanding PKR dan DAP yang juga membawa nilai perpaduan dalam partinya. Idealisme perjuangan MUDA harus menjadi pegangan MUDA untuk berpolitik, maka wajar jika idealismenya dijelaskan kepada umum. Namun kerjasama MUDA dan PH dalam PRN kali ini adalah atas kebersamaan MUDA menentang kerajaan PN dan BN. Tetapi MUDA wajar merungkaikan nilai yang mereka bawa agar kerjasama diperingkat seterusnya bersama PH mampu terjalin.
- Adakah MUDA hanya bergantung pada batang tubuh Syed Saddiq semata-mata untuk mengangkat agenda anak muda? Atau mereka bersedia menampilkan muka-muka yang lebih baru bagi meneroka peluang-peluang baru dalam politik Malaysia. MUDA mahu meletakkan Syed Saddiq sebagai calon Perdana Menteri mereka? Atau MUDA bersedia duduk dibawah payung tokoh lain sebagai Perdana Menteri?
Ikatan MUDA – PH
- Selepas PRN nanti, jika MUDA dan PH berjaya mencatat rekod lebih baik berbanding PRN Melaka, ini membuktikan bahawa strategi khemah besar yang digagaskan oleh AMANAH dan DAP serta kesudian MUDA menyertainya sementara PKR berbesar hati menyokong adalah berjaya. Maka adakah ketika itu, MUDA akan kembali menjadi blok ketiga tanpa dan tidak akan bersama PH? Sedangkan semasa ini, kesatuan pembangkang memberi manfaat dan saingan kepada parti pemerintah.
- Kesediaan MUDA menjadi rakan strategik PH menyerlahkan sebahagian hala tuju MUDA. MUDA sesekali tidak akan bersama BN sebagai sebuah parti yang memerintah 60 tahun dengan penuh kemungkaran. Manakala MUDA tidak bersama PN atas pengkhianatan undi rakyat dan pencabulan kesepakatan. Oleh itu, PH adalah gabungan yang terbaik buat MUDA. Jika alasan tidka bersama PH kerana PH gagal memerintah semasa 22 bulan, Presiden MUDA adalah salah seorang anggota pentadbirannya. Maka disitu kita melihat MUDA harus bersama PH.
Hakikat Pilihan Raya di Malaysia
- MUDA perlu menerima hakikat bahawa pilihan raya di negara kita memerlukan kesepakatan antara parti-parti yang ada untuk memenangi pilihan raya. Tidak pernah dalam sejarah bahawa sebuah parti mampu memenangi 2 per 3 jumlah kerusi parlimen yang ada. Maka langkah MUDA kelak untuk menjadi blok sendirian meski mempunyai sokongan anak muda tidak mampu memberi pulangan yang baik kepada MUDA.
- Akhirnya, MUDA akan menjadi nasib yang rugi jika selepas PRN Johor nanti, MUDA mengambil jalan sendirian walau memenangi beberapa kerusi. Orang muda akan melihat ia sebagai sebuah lagi pengkhianatan selepas Langkah Sheraton. Kesediaan PH memberikan 9 kerusi kepada MUDA sebagai tanda kasih mereka kepada adik paling bongsu walaupun bertaraf adik angkat. Jangan dipersiakan peluang ini kerana asasnya, MUDA memerlukan PH dan PH memerlukan MUDA.
Oleh,
Cikgu Syazmir HN