SelangorToday

UPSR & BANJIR : MENJAWAB PERMAINAN KELOMPOK ANTI KERAJAAN PERPADUAN

Beberapa hari ini polemik pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3(PT3) menjadi hangat dan mendapat reaksi pelbagai pihak. Meskipun pemansuhan dua ujian terbesar sistem pendidikan di Malaysia itu telah dimansuhkan, namun isu tersebut sentiasa hangat diperbincangkan.

Belum reda isu pemansuhan UPSR dan PT3, muncul pula keluhan kelompok-kelompok tertentu yang cuba memperlihatkan ketidakpekaan Kerajaan MADANI kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) apabila ujian yang dijadualkan bermula 2 Disember 2024 akan diteruskan seperti biasa meskipun terdapat lebih 5 negeri yang sedang mengalami keadaan banjir sejak 24 November 2024.

Memperlekehkan penjelasan Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat bahawa pemansuhan UPSR dan PT3 bagi mengelakkan tekanan kepada murid dibangku sekolah, kelompok yang dipercayai bersikap anti kerajaan perpaduan itu menggunakan penjelasan Fadhlina Sidek itu sebagai modal mereka menghentam kerajaan kerana memansuhkan UPSR dan PT3.

Namun begitu, dalam ledakan zaman edan yang penuh dengan tipu muslihat, sedarkah kita semua bahawa UPSR dan PT3 telah dimansuhkan secara tergesa-gesa oleh Menteri Kanan Pendidikan ketika Perikatan Nasional memerintah Malaysia pada tahun 2021. 

Diakui semasa kepimpinan Dr. Maszlee Malik, perancangan untuk mengubah sistem penilaian daripada berfokus kepada pentaksiran berpusat kepada pentaksiran bilik darjah ada dalam kerangka reformasinya. Namun begitu, perubahan itu bermula dengan proses bertahap-tahap yang akan menyesuaikan keadaan masyarakat, meningkatkan kewibawaan guru dalam menilai serta mengelakkan sebarang perubahan drastik kepada kurikulum yang disampaikan kepada murid.

Buktinya, ujian penilaian pentaksiran secara berpusat di sekolah bagi tahap satu sekolah rendah yang melibatkan murid tahun 2019 dimansuhkan dengan menggantikan pentaksiran bilik darjah. Langkah ini disifatkan sebagai usaha untuk menjadikan semula sekolah sebagai taman ilmu buat murid-murid yang baru mengenal erti persekolahan.

Dengan tidak menindakkan matlamat asal UPSR iaitu penguasaan 3M seperti membaca, menulis dan mengira,sukatan dan penilaian dibentuk mengikut kesesuaian perkembangan murid. Sebaliknya ketika covid-19 melanda negara, pendidikan yang mula hilang arah tuju akibat ketidakstabilan politik dan kecelaruan kepimpinan telah memaksa kerajaan memansuhkan UPSR dan PT3 secara tergesa-gesa. Akibatnya murid yang sebelum ini diadun dengan pendekatan berorintasikan peperiksaan menjadi ‘kejutan budaya’ dan impaknya dapat dilihat hari ini.

Adapun begitu dikedudukan kerajaan MADANI mereka mengambilalih tugas kepimpinan negara ketika Malaysia telah pun memansuhkan UPSR dan PT3, oleh itu jika UPSR dan PT3 dikembalikan semula secara ‘u-turn’ ini akan memberi kesan buruk yang lebih hebat kepada generasi yang tercicir akibat Covid-19. Sebab itu kerajaan MADANI memilih untuk mengekalkan pemansuhan UPSR dan PT3 serta memperkasakan pelbagai aspek yang wujud atas kelemahan sistem sedia ada sepanjang ia terlaksana. 

Oleh itu adalah janggal apabila kelompok anti kerajaan perpaduan ingin menyalahkan kerajaan MADANI atas sebab memansuhkan UPSR dan PT3 sedangkan kerajaan MADANI hanya meneruskan langkah caca-marba yang diambil oleh pemerintah terdahulu yang kini anti kerajaan perpaduan. Tambahan lagi, kerajaan MADANI dengan penuh tanggungjawab memikul tugas yang diberi dengan penuh cermat bagi mengelakkan generasi muda terhimpit dengan kegopohan kepimpinan terdahulu sehingga merobek sistem pendidikan.

Sementara itu, berkaitan dengan banjir, Kementerian Pendidikan Malaysia akan menyedari nasib yang menimpa calon-calon SPM. Tetapi keputusan kerajaan untuk meneruskan sesi tersebut tidak dengan hanya berpeluk tubuh, sebaliknya KPM dengan agensi kerajaan yang lain menggerakkan jenteranya untuk memastikan semua calon SPM yang ditimpa banjir hadir ke pusat peperiksaan yang berdekatan agar mereka boleh melaksanakan ujian seperti yang dijadualkan. 

Bagaimanapun melihat kepada aspek simpati dan kepekaan kepada keperluan emosi calon, kerajaan tidak sambil lewa membuat keputusan tersebut sebaliknya yakin tahap situasi yang sedang mereka hadapi dengan ujian yang bakal mereka duduki masih dibawah kawalan. Tambahan lagi, ujian yang bermula adalah ujian bertutur dan mendengar baik bahasa melayu mahupun bahasa inggeris, justeru ia belum masuk kepada ujian tahap tekanan tinggi seperti ujian bertulis melibatkan 8 hingga 10 mata pelajaran yang diambil.

Pilihan kerajaan diyakini akan mengurangkan kesan kepada bukan sekelompok atau senegeri sahaja, sebaliknya meminimumkan kesan kepada seluruh generasi calon SPM sesi 2024. 

Sekali lagi kelompok anti kerajaan perpaduan menempelak sikap yang diambil oleh kerajaan MADANI kerana meneruskan SPM meskipun hujan, sedangkan ketika Dr. Radzi Jidin memimpin KPM juga, SPM diteruskan ketika musim banjir.

Justeru usah memanipulasikan isu pemansuhan UPSR & PT3 serta penerusan ujian SPM ketika banjir kerana langkah ini juga pernah dan dilakukan oleh pembangkang. Lebih penting langkah kerajaan sama sekali bukan untuk menghancurkan sistem pendidikan sebaliknya sedang berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan serta mengurangkan dampak daripada kelemahan sistem sedia ada. 

Exit mobile version