Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron menegaskan bahawa pelaksanaan Pelan Tindakan Pembangunan Semula Bandar (Urban Renewal Action, URA) bukanlah satu bentuk rampasan tanah, sebaliknya merupakan usaha untuk memulihkan kehidupan penduduk di kawasan bandar yang semakin terpinggir.
Menurut beliau, cadangan URA bukan bertujuan menghapuskan status tanah rizab Melayu atau menyingkirkan pemilik asal, sebaliknya memberi nafas baharu kepada flat-flat lama yang semakin uzur, projek terbengkalai, dan kawasan perumahan bandar yang tidak lagi selamat untuk didiami.
“Anak muda hari ini makin sukar memiliki rumah mampu milik di kawasan bandar. URA hadir sebagai harapan — menawarkan rumah moden, selesa dan selamat — tanpa mengorbankan hak pemilik asal,” jelasnya.
Danial turut menyatakan bahawa di kawasan DUN Batu Tiga, terdapat banyak pangsapuri lama yang amat memerlukan perhatian dan pembangunan semula. Beliau mendedahkan bahawa ramai pemilik asal sudah berpindah kerana beberapa faktor termasuk saiz rumah yang terlalu kecil, kemudahan asas seperti lif dan sistem paip yang rosak akibat usia bangunan melebihi 30 tahun, serta nilai hartanah yang tidak meningkat sejak sekian lama.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Ia hanya boleh diubah melalui perancangan semula bandar yang terancang dan adil,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa isu pembangunan semula bandar telah dibawa ke dalam perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor awal tahun ini. Menariknya, cadangan ini turut mendapat sokongan daripada seorang Ahli Dewan Negeri pembangkang yang menghadapi isu sama di kawasannya.
“Kami bersetuju bahawa pelaksanaan URA mestilah telus, menjaga hak pemilik asal, dan dibangunkan secara inklusif dan profesional,” tambahnya.
Danial menegaskan bahawa URA bukanlah agenda politik sebaliknya merupakan agenda masa depan rakyat bandar.