Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk seri Ismail Sabri Yaacob telah mengumumkan bahawa pembekuan akaun suami yang culas membayar nafkah isteri yang diceraikan akan dilaksanakan tidak lama lagi. Ismail Sabri mengumumkan penguatkuasaan tersebut semasa menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Sabtu. Namun, kenyataan tersebut telah memaksa mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Dr. Mujahid Yusof Rawa bersuara.
Dr. Mujahid menyatakan bahawa pengumuman PM itu adalah salah satu inisiatif yang sedang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk memartabatkan Mahkamah Syariah. Inisiatif ini digerakan oleh beliau selaku Menteri yang bertanggungjawab menguruskan Mahkamah Syariah. Namun Ahli Parlimen Parit Buntar itu menambah, cabaran utama semasa inisiatif ingin dilaksanakan adalah keputusan Mahkamah Syariah tidak terikat dibawah akta Kementerian Kewangan . Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah seolah-olah tidak diiktiraf bagi tindakan kuatkuasa dan ini menyedihkan, kata Naib Presiden AMANAH itu.
Tambah beliau, semasa beliau diberikan amanah sebagai menteri, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dibawah beliau dipertanggungjawabkan untuk berunding dan menyelaras dengan bahagian undang-undang Bank Negara dan Kementerian Kewangan supaya pindaan dapat dibuat. Namun tergendala akibat pertukaran kerajaan. Oleh itu, Dr. Mujahid berharap agar Perdana Menteri memberikan komitmen sepenuhnya melibatkan Kementerian Kewangan untuk merealisasikan inisiatif yang hendak dilaksanakan.