SelangorToday

‘Ust Zulfikar Orang Tempatan, Orang sini’, Dr Hatta Jawab Sentimen Sabahan di Sulabayan

[PRN Sabah] SEMPORNA, 15 NOV — Naib Presiden Parti AMANAH Negara, Senator Dr Mohd Hatta Ramli, menepis keras dakwaan pembangkang yang cuba menggambarkan calon AMANAH yang mewakili Pakatan Harapan di DUN Sulabayan, Ust Zulfikar Ab Mijan, sebagai ‘orang Semenanjung’, sambil menegaskan bahawa dakwaan itu sengaja dimainkan untuk menghasut pengundi.

“Ust Zulfikar orang kita, orang sini. Bukan orang Semenanjung,” tegas Dr Hatta dalam ceramahnya, menambah bahawa masyarakat setempat sudah lama mengenali calon tersebut dari segi bahasa, lenggok tutur dan budi pekertinya.

Beliau berkata, politik sentimen sempit seperti itu langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Malaysia for Malaysia. Kita Malaysia. Ust Zulfikar orang Malaysia, orang sini. Kalau nak letak saya orang Perak bertanding di sini, tuan-tuan pun boleh fikir patut undi atau tidak,” katanya disambut sorakan hadirin.

Dr Hatta menegaskan bahawa AMANAH bukan datang ke Sulabayan sekadar membawa janji kosong, tetapi sebagai sebahagian daripada kerajaan yang mampu menyelesaikan isu setempat secara langsung.

“Kami bukan datang dengan teori. Kami mewakili pemerintah. Ada isu, kita bincang terus dengan kerajaan,” katanya.

Beliau memberi contoh isu Hospital Semporna yang menurutnya layak dinaik taraf menjadi hospital pakar.

“Saya sendiri doktor. Hospital Semporna ini patut sudah jadi hospital pakar. Menteri Kesihatan ialah Naib Presiden AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad. Kita boleh cakap direct, tak payah berkias,” katanya.

Menurutnya, inilah kelebihan mempunyai calon kerajaan yang mampu membawa suara rakyat terus kepada pembuat dasar.

Menjawab dakwaan kononnya parti nasional seperti AMANAH akan ‘mengambil hak Sabah’, Dr Hatta menjelaskan bahawa itu hanyalah propaganda untuk menimbulkan kebencian.

“Kita parti nasional, ada cawangan seluruh negara, termasuk Sabah. Tapi kita tetap mengangkat orang Sabah sebagai wakil. Itu ciri parti bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak menikmati segala manfaat pembangunan yang sedang dipacu kerajaan.

“Apa salahnya kebaikan yang Malaysia nikmati, Sabah juga nikmati?” ujarnya.

Mengakhiri ceramah, Dr Hatta menyeru pengundi menilai calon berdasarkan kemampuan sebenar, bukan propaganda.

“Kalau ada rasa was-was tentang Ustaz Zulfikar, yakinlah beliau calon terbaik—berilmu, anak tempatan, dan mewakili kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah,” katanya.

PRN Sabah menyaksikan Sulabayan menjadi kerusi tumpuan, dan AMANAH yakin momentum sokongan tempatan akan berpihak kepada Ust Zulfikar.

Exit mobile version