SelangorToday

USTAZ FADZIL NOOR: PEMIMPIN GERAKAN ISLAM YANG MEMIMPIN MASSA

Setiap tarikh 23 Jun, pastinya dunia politik dan gerakan Islam akan mengenang kembali jasa dan pengorbanan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) dan Parti Islam Se-Malaysia(PAS) iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Noor.

Meskipun telah meninggalkan perjuangan dan dunia yang fana ini selama 22 tahun, namun kisah dan khidmat Presiden PAS yang ke-6 itu masih diperbualkan oleh masyarakat. Sifat mesranya serta ketangkasan mengilas hujah pihak lawan sangat diingati kawan dan lawan politik beliau.

Penulis juga setiap tahun tidak pernah tinggal mahupun melupakan tarikh tersebut sebagai satu kaedah untuk terus melihat, mempelajari dan mengkaji kepimpinan Bekas Ahli Parlimen Pendang itu dalam menjalani arus politik Malaysia yang serba mencabar dan rencam. Bagi edisi kali ini, penulis melihat Ustaz Fadzil Noor telah memecahkan tembok penghalang yang menjadi permainan persepsi atau tanggapan yang tidak tepat terhadap peranan yang dimainkan sebagai pemimpin mahupun Gerakan Islam itu sendiri.

Adapun ketika ABIM sangat berbisa satu ketika dahulu disebabkan PAS sedang bersama kerajaan dalam Barisan Nasional, namun apabila PAS tersingkir daripada BN, PAS bangkit sebagai sebuah parti Islam di Malaysia dan mewakili Gerakan Islam yang menjadi mata rantai Gerakan Islam sedunia. Bolehlah dianggapkan bahawa PAS ketika era Almarhum Hj Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor merupakan Gerakan Islam. Ia turut juga bertitik tolak daripada peranan PAS diperingkat antarabangsa.

Menariknya, Ustaz Fadzil membina satu jambatan yang kukuh dan ampuh sebagai sebuah Gerakan Islam berpaksikan konsep Malaysia. Diawal perubahan kepimpinan memang menerima acuan Revolusi Iran, tetapi pendekatan mahupun konsep yang dibawa Ustaz Fadzil telah membawa PAS sebagai Parti dan Gerakan Islam berjalur tengah atau sederhana. Selain mampu meredakan sikap salah sangka kaum bukan Islam kepada PAS, langkah ini sebenarnya membawa PAS berada di tengah-tengah arus masyarakat.

Kita dapat lihat meskipun pada hari ini, PAS menguasi lebih 50 kerusi di Dewan Rakyat serta mengemudi 4 buah negeri di Malaysia, namun ia tidak mampu meletakkan PAS sebagai sebuah parti yang memimpin dan dirujuk. Sebaliknya ketika era Ustaz Fadzil, hasil pendekatan yang lebih lunak namun tegas, serta mesra namun berbisa itu mampu mengumpulkan pelbagai kelompok profesional ke dalam PAS.

Hari ini golongan profesional menyertai PAS, tetapi mereka adalah dari mereka yang mahu memulakan kerjaya mereka dan belum terkenal dipersada negara. Berbeza ketika di zaman bekas ADUN Anak Bukit dan Bukit Raya itu, tokoh-tokoh pofesional yang telah terkenal dan berjaya tekad untuk menyertai PAS.

Diakui bahawa kemasukan tokoh-tokoh profesional ini mungkin atas ledakan reformasi yang tercetus akibat peristiwa pemecatan Perdana Menteri ke-10 ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri tahun 1998. Tetapi ledakan tersebut bermula apabila Ustaz Fadzil sendiri mengambil pendirian untuk meggerakkan ‘GERAK’ sebagai solidariti massa kepada Anwar Ibrahim.

Jelas sekali, Ustaz Fadzil memecah kongkongan bahawa Parti dan Gerakan Islam hanya bergerak atas mimbar dan di masjid sahaja. Sebaliknya Ustaz Fadzil membawa PAS turun ke tengah-tengah masyarakat memimpin rakyat yang terdiri daripada Islam dan bukan Islam.

Satu ketika dahulu, PAS dianggap sebagai parti lebai yang duduk di kampung-kampung. Namun ia berubah sekelip mata dibawah kepimpinan Ustaz Fadzil, seluruh masyarakat bersama PAS, seluruh Badan Bukan Kerajaan(NGO) bersamanya dan parti-parti politik lain bersetuju untuk bersama PAS. Walau hanya kerana demi perjuangan menentang kezaliman, tetapi jika bukan kerana atas keyakinan kepada kewibawaan Ustaz Fadzil, mereka boleh sahaja bergerak atas jalur lain.

Di Dewan Rakyat PAS mengemudi pembangkang. Malah isu-isu yang dibangkitkan di Dewan Rakyat dengan jumlah 27 orang bukan hanya tertakluk kepada isu Islam sahaja. Tetapi PAS ketika itu membawa pendekatan yang lebih universal dalam menjadi pihak semak imbang kerajaan. Erti kata muda, kaum bukan Islam juga boleh mendengar hujah wakil rakyat PAS, dan hujah mereka dibawa sebagai satu isu massa ke pengetahuan masyarakat.

Ini bertitik tolak daripada kesediaan dan pandangan jauh Ustaz Fadzil Noor yang membawa pendekatan yang terbuka serta rahmah. Kalau itu tidak berlaku, PAS akan diperhatikan seperti PAS hari ini. Ruang lingkupnya sangat sempit hanya kepada isu agama semata. Sedangkan rakyat yang dipimpin dikawasan ada juga yang bukan Islam. Lebih memenatkan, segala isu dijadikan sebagai yang terkait dengan kaum dan agama sehingga memaksa pihak berautoriti menjawab isu tersebut.

Lemah dan tidak mempunyai keupayaan menghadam fakta apabila wakil rakyat yang dipilih kerana terikut atas sentimen yang dipermainkan semata-mata. Sebaliknya latar belakang dan kualiti wakil rakyat tersebut dikesampingkan.

Jauh ketinggalan dengan apa yang telah Ustaz Fadzil letakkan PAS pada satu ruang atau sudut yang paling cemerlang apabila PAS menjadi nadi dan suara dari rakyat. Bukan terhad kepada isu agama, malah kezaliman, pengkhianatan dan solidariti kepada keselamatan dunia turut diletakkan atas kepimpinan PAS. Ustaz Fadzil memecah demensi baharu tentang kefahaman sebenar perihal Islam.

Islam yang memimpin dari konteks sebenar adalah dilihat universal dan menyantuni semua kelompok atas asas yang sama. Bukannya Islam yang memimpin apabila hanya menjadi juara kepada kelompok tertentu tetapi menjadi ancaman kepada kelompok lain.

Kepimpinan Ustaz Fadzil bukan sahaja membawa PAS menjadi besar dan berperanan dalam masyarakat, namun lebih utama, ia telah memberi dimensi baharu kepada sebuah Gerakan Islam yang memimpin isu umatnya secara universal demi mencapai matlamat yang dituntut dalam Islam.

Exit mobile version