Salah satu daripada makna ‘fitnah’ di dalam Al Quran adalah إشتباه الحق بالباطل – menserupakan kebenaran dengan kebatilan – (Imam Tabari) atau dengan makna yang lebih mudah difahami adalah “menjadikan yang batil itu sebagai hak” dengan ‘berlakon’ atas watak dan wajah agama.
Saya senaraikan lima ‘fitnah’ besar terhadap agama yang dilakukan oleh PAS, bersandarkan takrifan Imam At Tabari di atas.
1. Bermudah- mudahan memberikan gelaran Ulama kepada sesiapa sahaja asalkan berpakaian ‘macam’ ulama atau hanya kerana petah bercakap dan menyebutkan beberapa istilah agama. Fitnahnya akan berlaku apabila ‘cakap’ ulama celupan parti itu diyakini dan dipercayai sebagai mewakili agama. Alangkah besarnya fitnah kepada agama ini !
2. PAS ‘memusing’ tengkok ‘nas’ yang dihafal oleh mereka, dan digunakan mengikut ‘selera’ dan ‘nafsu’ mereka. Sebagai contoh apabila mereka ‘berkawan’ dengan DAP, maka ayat Mujadalah akan dibaca dan diulas sesuai selera dan nafsu Pas, apabila mereka memusuhi DAP, maka ayat tentang permusuhan pula mereka laungkan. DAP adalah DAP yang sama ketika ‘berkawan’ dengan PAS dan ketika ‘dimusuhi’ oleh PAS ! Bukankah ‘agama’ terfitnah dengan sikap ‘sombong’ dan ‘jahat’ PAS !
3. PAS adalah juara ‘pecah belah’ masyarakat, amalan politik ‘orang kita’ dan melabelkan pihak yang berbeza sebagai ‘musuh’ Allah, ‘jatuh’ aqidah dan dakwaan merepek yang lain. Bukankah ‘agama’ yang dicitrakan oleh PAS tidak bertepatan dengan ‘agama’ Islam versi Al Quran dan As-Sunnah? Dan inilah fitnah terbesar PAS atas salutan nama agama.
4. Islam adalah agama yang ‘teguh’ hujahnya, sementara ia bersifat ‘muhkamat’ dan ‘mutagayyirat’, namun semua ‘hujah’nya bersifat teguh dan dibincangkan berasaskan kepada kaedah yang telah dibina dan dibentuk !, namun PAS telah membina kaedah tersendiri dengan menjadikan ‘maslahah’ PAS sebagai ‘sandaran’ dalam menentukan hujah dan hukum. Ini bukan ‘tuduhan’, bahkan inilah amalan yang berlaku dalam PAS, contohnya dalam ‘kes’ saman LGE terhadap Mastura, lihat apa kata Mursyidul Am PAS, bukankah ‘maslahah’ PAS yang diutamakan ?
5. Antara sendi Iman yang tertinggi adalah ‘beriman’ kepada ketentuan baik dan buruk yang ditentukan oleh Allah, adapun PAS – sebahagiannya – terlalu berani untuk menentukan ‘tempat kembali’ manusia bersandarkan pegangan politik semata-mata. Ini adalah ‘fitnah’ kepada citra agama yang dimainkan oleh PAS !
Ini bukan jawapan kepada dakwaan ‘budak kayaiaq’ PAS ! Namun, atas premis ‘siapakah yang membawa fitnah kepada agama’ kita bersedia untuk ‘berdebat’ bila-bila dan di mana-mana sahaja.
Intaha !
Ridzwan Abu Bakar
PSU Amanah Nasional