SelangorToday

USTAZAH MARIAM ABD RASHID CAKNA ISU BANJIR KILAT DI MERU

Mesyuarat penyelarasan bersama agensi berkaitan akan dibuat segera bagi mengatasi masalah banjir di beberapa lokasi tumpuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru.

Wakil rakyatnya Mariam Abdul Rashid berkata musibah yang kerap berlaku disebabkan kurang kolam tadahan selain longkang tersumbat yang menghalang aliran air terutama ketika hujan lebat.

“Kita mengambil maklum permasalahan diadukan penduduk dan berharap langkah jangka pendek yang akan dibincangkan (bersama agensi berkaitan) dapat menyelesaikan masalah bah ini segera.

“Dalam pelan Lima Tahun Tekad Meru juga satu daripadanya adalah mengatasi banjir dengan memastikan projek tebatan banjir dibuat segera dan penyelenggaran saliran dijalankan kerap,” katanya.

Sebelum itu, Mariam meninjau beberapa lokasi banjir di Jalan Chempaka, Jalan Paip, Kampung Budiman, Taman Daya dan Taman Daya Maju setelah menerima aduan.

Pada 12 Ogos, beberapa kawasan di Meru dilanda banjir kilat menyebabkan jalan dan rumah penduduk terjejas, namun tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Exit mobile version