 
                SHAH ALAM, 7 Sept – Konvensyen AMANAH Selangor 2025 sebulat suara meluluskan usul yang dibawa Pengarah Komunikasi Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Selangor, Nooraimi Hani Ahmad Suhaimi, berhubung keperluan reformasi Mahkamah Syariah agar lebih mesra wanita.
Usul berkenaan menekankan penambahbaikan dalam isu kekeluargaan Islam termasuk nafkah, hadhanah dan perceraian supaya lebih efisien serta tidak membebankan wanita dan anak-anak.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah penambahan hakim dan pegawai syarie, peluasan bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah, pendigitalan sistem e-Filing dan e-Bicara, pembukaan Mahkamah Tinggi Syariah di daerah utama serta penyediaan peruntukan mencukupi kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS).

Usul tersebut turut mendapat sokongan Pemuda AMANAH Selangor melalui wakilnya, Fauzan Rosli, yang menegaskan kaum lelaki perlu lebih memahami cabaran wanita, khususnya ibu tunggal. Sementara itu, perwakilan Kota Raja, Nur Syazwani, pula mengaitkan usul ini dengan kes Nurin Alisa yang tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Menteri Agama.
Menurutnya, kerenah birokrasi mahkamah menyebabkan ramai wanita akhirnya berputus asa dan mengabaikan tuntutan hak serta kebajikan anak-anak.
Nooraimi dalam ucapannya menegaskan usul ini selari dengan perjuangan AMANAH serta agenda AWAN dalam memperjuangkan wanita dan konsep rahmatan lil alamin.

“Semakin banyak kes wanita terhimpit dalam tuntutan nafkah anak selepas perceraian. Ramai suami culas dan kesannya amat besar kepada emosi, mental dan fizikal wanita. Reformasi Mahkamah Syariah bukan pilihan, tetapi kewajipan,” katanya.
Usul reformasi Mahkamah Syariah ini dianggap antara yang paling signifikan dalam konvensyen kerana menyentuh soal keadilan, maruah dan masa depan wanita serta kanak-kanak di Selangor.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            