Dalam suasana politik yang semakin pelbagai dan rencam, rakyat Malaysia perlu sentiasa memelihara keamanan negara tanpa mengira perbezaan fahaman atau pandangan politik.
Perbezaan pendapat adalah lumrah dalam sistem demokrasi, namun bagaimana cara kita menanganinya mencerminkan kedewasaan kita sebagai masyarakat yang berperlembagaan.

Politik Bukan Medan Permusuhan
Menjadi hak setiap warganegara untuk menyatakan pandangan secara aman dan bertanggungjawab. Namun, apabila perbezaan pandangan disulami dengan perhimpunan beramai-ramai, emosi melampau, fitnah, atau hasutan, ia boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat kestabilan negara.
Kita mesti ingat bahawa kuasa dan jawatan, termasuk jawatan seorang Perdana Menteri, tidak ditentukan oleh demonstrasi atau tekanan luar, tetapi melalui sistem yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan Perpaduan: Kerajaan Sah di Sisi Perlembagaan
Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun 2022, tiada parti atau gabungan politik yang memperoleh majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan. Maka, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa budi bicara baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik seorang Perdana Menteri yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Inilah asas pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10. Oleh itu, kerajaan ini dianggap kerajaan yang sah dari segi Perlembagaan, bukan dibentuk secara sewenang-wenangnya, tetapi melalui peruntukan undang-undang tertinggi negara.
Bagaimana Perdana Menteri Boleh Digugurkan?
Rakyat perlu memahami bahawa menurunkan seorang Perdana Menteri tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, apatah lagi melalui tekanan jalanan atau desakan politik luar Dewan Rakyat.
Satu-satunya cara yang sah untuk menggugurkan seorang Perdana Menteri ialah melalui Usul Tidak Percaya (Vote of No Confidence) di Parlimen. Ini selaras dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan:
“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan Kabinet…”
Selain itu, seorang Perdana Menteri hanya boleh dilucutkan jika disabit kesalahan oleh Mahkamah atas pelanggaran undang-undang jenayah, mengikut proses kehakiman yang adil. Dalam hal ini, Mahkamah bertindak secara bebas mengikut Perkara 121 Perlembagaan.
Perhimpunan Aman Tiada Hujah Kukuh
Kebelakangan ini, terdapat pihak yang menganjurkan perhimpunan aman dengan tujuan menggugat kepimpinan negara, termasuk mendesak Perdana Menteri meletak jawatan. Namun, penganjur-penganjur ini gagal membentangkan sebarang hujah yang kuat dan sah di sisi undang-undang bagi menyokong tuntutan mereka.
Tiada bukti bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti Dewan Rakyat. Tiada keputusan Mahkamah yang menyabitkan beliau melanggar undang-undang. Maka, tuntutan untuk menjatuhkan beliau melalui desakan awam semata-mata adalah tidak berasas dan bertentangan dengan prinsip demokrasi berperlembagaan. Sebaliknya hakikatnya ekonomi negara bertambah baik, Skim Gaji baharu dan gaji minimum, mata wang yang kukuh, harga barang asasi terkawal dan pelaburan amat besar masuk ke dalam negara. Terlalu banyak penilaian oleh agensi luar meletakkan bahawa kedudukan Malaysia berada dalam keadaan yang kukuh dan semakin bertambah baik.
Perhimpunan sebegini, jika dibiarkan tanpa kawalan, berisiko menjejaskan kestabilan, menimbulkan persepsi negatif terhadap negara, dan membuka ruang kepada provokasi yang lebih besar.
Perhimpunan Aman Tidak Boleh Mengorbankan Aspek Keselamatan Awam
Perlembagaan memang memberi hak untuk berhimpun secara aman di bawah Perkara 10(1)(b), namun hak ini tertakluk kepada syarat dan batas tertentu seperti yang digariskan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Perhimpunan yang tidak terkawal boleh menjejaskan ketenteraman awam, mengganggu kehidupan rakyat, atau menjadi medan hasutan boleh mengundang risiko keselamatan dan perpecahan. Dalam apa jua keadaan, keamanan dan keselamatan negara mesti diutamakan. Dengaan erti kata lain penganjur perlu bertanggung jawab bagi memastikan ia adalah perlu dan dalam masa yang sama mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
Hormati Sistem, Kukuhkan Demokrasi
Institusi-institusi negara seperti Parlimen, Mahkamah, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Institusi Diraja adalah tunggak demokrasi. Kita harus memperkukuh, bukan melemahkannya.
Jika wujud kelemahan, ia perlu diperbaiki melalui proses reformasi dan undang-undang dan bukan dengan cara menggugat kestabilan yang telah dibina.
Kesimpulannya Rakyat Perlu dewasa dalam demokrasi dan matang dalam tindakan
Malaysia memerlukan rakyat yang matang dalam tindakan, tenang dalam berbeza pandangan, dan setia dalam menjaga keharmonian. Kita boleh menegur pemimpin, tetapi biarlah teguran itu disuarakan melalui saluran sah dan dengan penuh adab.
Jangan gadaikan kestabilan negara untuk keuntungan politik sementara. Demokrasi yang matang adalah demokrasi yang aman.
Oleh: Shamsul Ma’arif Ismail
Timbalan Pengerusi
Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional