SelangorToday

VIRUS HMPV DEMAM SELESEMA BIASA, 327 POSITIF TAHUN LALU – DR.DZULKEFLY

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 327 sampel positif virus ‘human metapneumovirus’ (hMPV) sepanjang 2024, meningkat berbanding 225 kes yang dilaporkan pada 2023.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bagaimana virus berkenaan merupakan demam selsema biasa dan kerap berlaku terutama ketika cuaca sejuk.

“Setakat beberapa hari tahun ini, tiada kes dilaporkan dan ini bukan penyakit baharu. Ia tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Ia merupakan jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae,” katanya selepas melawat mangsa banjir Taman Seri Alam, Saujana Utama hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata pihaknya sentiasa memantau jangkitan berkenaan selain menasihati orang awam supaya mengamalkan langkah kebersihan dengan kerap mencuci tangan dan menutup mulut serta hidung ketika batuk atau bersin.

Beliau turut menasihatkan individu yang berisiko tinggi dan bergejala untuk memakai pelitup muka terutama di tempat tertutup atau sesak dan segera mendapatkan rawatan jika gejala berpanjangan.

“KKM terutama menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) sedang berkomunikasi secara aktif dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan China (CDC) China juga mengesahkan tiada perisytiharan kecemasan berkaitan hMPV dibuat,” katanya. -SelangorKini

Exit mobile version