SelangorToday

WACANA BERKAITAN REFORMASI INSTITUSI WAJAR DIPERBANYAKKAN – MP SHAH ALAM

Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menyeru semua pihak untuk sama-sama meningkatkan advokasi dan  kesedaran tentang agenda reformasi institusi di Malaysia.

Beliau berkata agenda yang menjadi keutamaan kerajaan madani ini mestilah mendapatkan kerjasama antara semua pihak termasuk diluar kerajaan dalam memastikan kefahaman berkaitan reformasi institusi berjaya disampaikan kepada masyarakat.

Melalui satu posting yang dimuat naik semalam, Hj Azli diberi peluang mengambil bahagian dalam wacana sempena Pelancaran Penerangan Video Dokumentari Berkenaan Pendanaan Politik yang dianjurkan oleh BERSIH dan IDEAS di Petaling Jaya.

Hj Azli yang juga Pengerusi Biro Pendidikan AMANAH Nasional menjelaskan, pelancaran video dokumentari berkenaan menandakan usaha bersepadu pelbagai pihak untuk menyelami selok-belok pendanaan politik.

Tambah beliau, ia juga langkah mendokumenkan usaha gigih dan berterusan untuk mendedahkan dan mengawal selia pengaruh wang dalam politik.

Hj Azli turut berkata, langkah ini juga bertujuan memberi kefahaman yang jelas terkait pendanaan politik sambil memupuk dialog terbuka di kalangan pihak berkepentingan.

Maka proses menyebarkan maklumat berkaitan peri pentingnya pendanaan politik sebagai salah satu cabang reformasi institusi wajar diperbanyakkan.

Mengulas lagi, Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu menjelaskan beliau antara ahli parlimen kerajaan yang turut menganggotai Jawatankuasa Rentas Parti Parlimen Malaysia yang berkaitan Integriti, Governan dan aAnti-Rasuah (APPGM-IGAR) telah pun menumpukan kepada isu pendanaan politik.

Hj Azli sendiri sering membangkitkan isu ini ketika berbahas di parlimen agar kerajaan terus komited dan mampu merangka satu Rang Undang-undang Pendanaan Politik kelak.

Jika kerajaan madani berjaya menggubal rang undang-undang ini, ia merupakan satu usaha besar yang berjaya dilakukan bagi mereformasikan institusi di Malaysia. – SelangorToday

Exit mobile version