SHAH ALAM, 8 November – Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) meletakkan sasaran baharu untuk meningkatkan penyertaan calon wanita kepada 50 peratus menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), seiring dengan tema “Wanita Negara Peneraju Perubahan.”
Setiausaha AWAN Nasional, Hajah Mashitah Ismail, berkata langkah itu merupakan sambungan perjuangan politik progresif AMANAH yang berpaksikan nilai Islam dan kerangka MADANI.
“Pada PRU-15, AMANAH mengetengahkan 26 peratus calon wanita — tertinggi antara parti komponen kerajaan. Fokus kini ialah meningkatkan penyertaan wanita kepada 50 peratus menjelang PRU-16,” katanya ketika berucap di Konvensyen Nasional AMANAH 2025 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.
Beliau menjelaskan, sasaran itu bukan sekadar simbol kuota, tetapi sebahagian daripada usaha menyuburkan ekosistem kepimpinan wanita yang adil, berilmu dan berakhlak dalam politik negara.
“Perjuangan ini bukan hanya untuk keadilan politik, tetapi untuk membina suasana yang menyuburkan bakat, ilmu dan hikmah kepimpinan wanita dalam kerangka Islam dan semangat MADANI,” ujarnya.
Mashitah turut memaklumkan bahawa satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu sedang digubal bersama NGO dan akan dibentangkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 11 November ini.

RUU tersebut akan memperkukuh dasar yang mengikat parti-parti politik supaya membuka ruang penyertaan lebih luas kepada wanita serta memberi insentif khas kepada parti yang mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita.
Dengan inisiatif ini, AWAN percaya Malaysia mampu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa yang memimpin dengan iman, hikmah dan rahmah — selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.