Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara(AWAN) Selangor, Rawiyiah Zakaria menyelar pihak-pihak tertentu yang memanipulasi keberadaan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu dalam sebuah majlis kutipan amal bagi sekolah jenis kebangsaan di Sepang. Kata Rawiyiah, pihak yang membentuk persepsi bahawa keberadaan Aiman dalam acara yang turut memaparkan sumbangan dana daripada syarikat pengeluar arak tersebut kepada Lembaga Pengelola Sekolah adalah tidak adil dan keterlaluan.
Rawiyiah berkata, sebagai wakil rakyat di kawasan Sepang, sudah tentu Aiman turut sama menyumbang kepada pengumpulan dana sekolah tersebut. Maka atas kapasiti sebagai penyumbang dan ahli parlimen, Aiman dijemput ke majlis tersebut. Namun apa yang lebih utama adalah, dalam majlis tersebut tiada sebarang minuman keras mahupun promosi minuman tersebut dilakukan. Syarikat pengeluar minuman keras itu hanyalah penyumbang dana kepada sekolah sama seperti peranan Ketua Wanita AMANAH itu di majlis tersebut.
Rawiyiah yang juga Pengarah Eksekutif Wanita Berdaya Selangor itu menambah, meskipun Aiman hanya diminta untuk bergambar dengan penyumbang dana, Aiman mengakui kesilapannya dan memohon maaf. Justeru Wanita AMANAH Selangor merasakan tindakan mengaitkankan Parti AMANAH Negara dengan syarikat minuman keras atau promosi minuman tersebut adalah satu yang keterlaluan. Rawiyiah menyeru semua pihak untuk menghentikan manipulasi ini demi hanya mahu mendapatkan sokongan politik semata-mata.- SelangorToday