Seiring dengan pertempuran yang bakal berlaku apabila Parlimen dibubarkan Jumaat lalu, Wanita Pakatan Harapan atau Wanita HARAPAN Malaysia bakal melancarkan jentera Pilihan Rayanya pada Sabtu ini 15 Oktober 2022 pada jam 2 petang. Melalui sebuah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Soraya Salim, Ketua Penerangan Wanita HARAPAN Malaysia, acara yang bakal menjadi permulaan kepada gerak kerja bersepadu antara semua parti komponen dalam HARAPAN akan diadaka di dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.
Selain melancarkan jentera PRU, acara tersebut juga akan melancarkan Iltizam Wanita HARAPAN sebagai tawaran Wanita HARAPAN kepada para pengundi sempena PRU yang bakal diadakan. Iltizam itu juga merupakan sebahagian daripada tawaran HARAPAN yang merangkumi perlindungan hak serta jaminan kesejahteraan dan kemakmuran pelbagai lapisan masyarakat. Dijangka acara yang mengangkat tema ‘Wanita Harapan Negara’ itu akan dilancarkan oleh Pengerusi HARAPAN Malaysia , Anwar Ibrahim yang juga calon Perdana Menteri HARAPAN Malaysia.
Tambah Soraya, pelancaran ini bakal menghimpunkan jentera Wanita HARAPAN seluruh Malaysia khususnya dari akar umbi sebagai barisan hadapan kemenangan HARAPAN dalam PRU ke-15 serta menjadi wadah menggembleng kebangkitan rakyat menolak kebobrokan pentadbiran BN-PN. Tegas Soraya lagi, Iltizam Wanita HARAPAN untuk Malaysia adalah terjemahan aspirasi dan kejituan tekad Wanita HARAPAN mencetus era baharu politik negara ke arah pemerintahan bermaruah, adil dan inklusif diterajui HARAPAN Malaysia. – Selangor Today