
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kata Fadhlina mungkin tidak dapat beri tumpuan sepenuhnya kepada parti kerana menggalas portfolio pendidikan yang sangat penting.
Beliau percaya Rodziah mampu mencipta kejutan pada pemilihan kelak, berdasarkan pengaruhnya dalam kalangan akar umbi. Rodziah pernah menjadi exco kerajaan Selangor dari 2018 hingga 2023.
“Kalau Rodziah menang dia dapat memberi perhatian menguatkan sayap Wanita dan jika PH membentuk kerajaan pada PRU16, Rodziah boleh mendapat jawatan.
“Jika Fadhlina kalah pun, saya percaya dia akan terus membawa suara Wanita ke Putrajaya dan bukan terhenti begitu sahaja,” katanya.

Kelmarin, Rodziah mengumumkan beliau akan pertimbang untuk bertanding jawatan ketua Wanita PKR pada pemilihan Mei depan, kerana ingin beri ‘nafas baharu’ kepada sayap yang didakwa semakin lesu.
Semalam, Fadhlina mengumumkan beliau akan pertahan jawatan itu, yang dimenangi pada pemilihan 2022 selepas menewaskan Rodziah dengan kelebihan 32 undi.
Rodziah nafi menyasarkan jawatan menteri jika menang pertembungan berkenaan.
Kedudukan Fadhlina Sidek sebagai menteri pendidikan sepatutnya boleh mengangkat kedudukan Wanita PKR namun keadaan sebaliknya apabila sayap itu dikatakan semakin lesu, kata penganalisis.

Mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Rodziah Ismail, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata Wanita PKR dilihat kurang menonjol mahupun lebih dikenali meskipun ketuanya seorang menteri pendidikan — jawatan kanan dalam Jemaah Menteri.
Sebaliknya, dasar-dasar diperkenalkan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir dilihat berjaya mempromosikan Umno sebagai ‘lebih intelek’ di peringkat pengajian tinggi. -FMT