Wanita Muda AMANAH(WARDA) Nasional hari ini menempelak permainan politik fitnah yang semakin kerap dilakukan oleh PAS.
Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua WARDA Nasional, Siti Nur Aishah Mohd Zain, WARDA merasa amat kesal apabila PAS masih menggunakan fitnah sebagai alat politik.
WARDA mempersoalkan adakah PAS ketandusan idea dan produk untuk diketengahkan kepada rakyat? Sebaliknya jika PAS benar-benar mahu menegakkan Islam, mengapa menggunakan perkara yang dilarang dalam Islam demi keuntungan politik?
Justeru itu, WARDA menegaskan anak muda menolak sekeras-kerasnya politik fitnah yang selalu dimainkan.
“WARDA percaya bahawa politik sebenar adalah politik nilai yang berlandaskan prinsip Islam- keadilan, kasih sayang, dan kebenaran. Politik bukan hanya soal merebut kuasa, tetapi tentang membawa kesejahteraan kepada rakyat dengan prinsip yang baik. Inilah politik rahmah yang digagaskan Islam selaras dengan pengutusan Rasulullah SAW.” kata beliau yang juga Ketua WARDA Selangor
Tambahnya, Islam mengajar umatnya untuk menjaga ketinggian adab dan akhlak mulia seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang digelarkan sebagai Al-Amin, maka AMANAH menolak sekeras-kerasnya budaya politik fitnah, adu domba dan kebencian dalam politik.
Sementara itu, WARDA sebagai sayap termuda AMANAH menyatakan bahawa parti yang akan mencapai usia 1 dekad itu berada di persada politik tanah air untuk berpolitik dengan berusaha memajukan rakyat dengan dasar yang membawa kebaikan. Amanah akan terus mencari solusi untuk membela kebajikan rakyat dan mewujudkan sebuah negara yang sejahtera buat semua rakyat. –SelangorToday