
KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 – Wanita Muda AMANAH Nasional (WARDA) menggesa pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan tegas terhadap kewujudan sebuah kumpulan di Facebook yang didakwa berkongsi kandungan mencurigakan dan bersifat lucah melibatkan pelajar sekolah.
Ketua WARDA, Masturah Abu Bakar, dalam satu kenyataan hari ini menzahirkan rasa kesal dan mengutuk keras tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai “menjijikkan, tidak bermoral dan merupakan jenayah keji yang menggugat keselamatan serta masa depan anak-anak.”
“Perbuatan mengeksploitasi pelajar dan remaja, apatah lagi dengan kecenderungan pedofilia yang berpotensi wujud dalam kumpulan ini, tidak boleh dibiarkan walau sesaat. Tiada ruang kompromi terhadap kandungan berunsur seksual melibatkan kanak-kanak, meskipun berselindung di sebalik alasan hiburan atau kreativiti,” tegasnya.
WARDA menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta menangkap pentadbir kumpulan dan individu yang terlibat. Pada masa yang sama, platform media sosial seperti Facebook turut ditegur agar tidak membiarkan algoritma mereka menjadi ruang subur untuk kandungan eksploitasi kanak-kanak.
Masturah turut mengingatkan bahawa Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan seperti ini. Antaranya, Seksyen 10(1) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan bagi penghasilan atau pengedaran bahan pornografi kanak-kanak, manakala Seksyen 15 mengenakan hukuman penjara hingga 10 tahun bagi penggunaan komunikasi untuk merangsang kanak-kanak secara seksual.
Beliau turut menyeru masyarakat, terutamanya ibu bapa, guru dan penjaga, agar lebih cakna dan aktif memantau penglibatan anak-anak di media sosial.

“Perlindungan terhadap kanak-kanak bukan pilihan, ia adalah kewajiban asas dalam membentuk sebuah masyarakat yang adil dan berperikemanusiaan. Tiada bentuk ‘kebebasan’ yang boleh dijadikan alasan untuk penderaan, penyalahgunaan atau eksploitasi terhadap kanak-kanak – sama ada fizikal, emosi mahupun digital,” katanya.
Masturah menutup kenyataan dengan peringatan tajam: “Jika kita tidak bersikap tegas hari ini, siapakah lagi yang akan melindungi generasi akan datang?”
WARDA menegaskan komitmennya untuk terus menjadi suara wanita muda dalam memperjuangkan hak dan keselamatan generasi masa depan, serta menuntut pihak berwajib agar tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk eksploitasi terhadap kanak-kanak.