SelangorToday

WARDA Diwujudkan Untuk Angkat Suara Wanita Muda – Aishah

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Timbalan Ketua Wanita Muda AMANAH (WARDA), Aishah Zain menegaskan bahawa penubuhan WARDA bukan sekadar memperluas sayap parti, tetapi sebagai platform penting untuk mengangkat suara dan memperkasa wanita muda dalam politik serta masyarakat.

Menurut beliau, WARDA berperanan melahirkan pelapis kepimpinan wanita muda yang berkualiti melalui latihan dan pembinaan keupayaan di semua peringkat – kawasan, negeri dan nasional.

“Kita ingin mempersiapkan dan melahirkan pelapis yang benar-benar berkualiti. Sebab itu WARDA memainkan peranan penting untuk memperkukuhkan organisasi di semua peringkat. Di sinilah bakat wanita muda diasah dan dilatih melalui kepimpinan, soft skill dan hard skill,” katanya dalam Wacana WARDA di Himpunan Satu Dekad AMANAH di Stadium Titiwangsa, Sabtu.

Aishah menambah, WARDA turut berusaha mengarusperdanakan isu-isu wanita muda supaya menjadi perhatian nasional dan tidak hanya dibincangkan dalam ruang lingkup wanita semata-mata.

“Kita mahu lebih ramai lelaki memahami dan memperjuangkan isu wanita muda. Sebab itu kita banyak bercakap tentang sokongan keluarga muda, pendidikan berkualiti, gaji bermaruah, ruang selamat dan cabaran sandwich generation,” jelasnya.

Beliau turut memuji usaha kerajaan negeri Selangor yang diterajui EXCO Wanita dan Kebajikan, YB Puan Anfaal Saari yang memperkukuh dasar ekonomi ihsan atau care economy, sebagai langkah signifikan membantu golongan wanita muda yang berdepan tanggungjawab berganda menjaga anak serta ibu bapa.

“Saya gembira melihat Selangor menjadi peneraju memperkenalkan dasar yang membantu sandwich generation. Kita berharap lebih banyak polisi dan insentif seperti ini diwujudkan di peringkat nasional,” katanya.

Dalam masa sama, Aishah turut menegaskan kepentingan memperluas penglibatan wanita muda di peringkat komuniti melalui platform seperti ahli majlis dan Pusat Aktiviti Belia (PABS), agar mereka bukan hanya menjadi simbol penyertaan, tetapi benar-benar diberi ruang memainkan peranan bermakna.

“Saya harap pimpinan di semua peringkat melihat wanita muda bukan sekadar simbolik untuk memenuhi kuota, tetapi memberi peluang sebenar kepada mereka untuk berperanan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan komitmen WARDA untuk memperkukuh advokasi wanita muda, termasuk melalui media sosial sebagai medan baharu menyuarakan pandangan dan perjuangan mereka.

“Insya-Allah, kita akan terus memperkukuhkan advokasi di media sosial dan memastikan suara wanita muda kekal didengari,” katanya penuh tekad.

Exit mobile version